Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Darul Arqam agih S$118,000 bantu pelajar pengajian tinggi

Seramai 61 pelajar institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara menerima dermasiswa Darul Arqam Singapura tahun ini iaitu jumlah terbesar sejak 2016.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 61 pelajar institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara menerima dermasiswa Darul Arqam Singapura tahun ini iaitu jumlah terbesar sejak 2016.

Sebanyak S$118,000 diagihkan dengan setiap dermasiswa bernilai antara S$1,000 hingga S$4,000. Salah seorang penerima ialah Adam Farid Tang Ming Yang yang sejak kecil lagi bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Impiannya itu menerima satu "suntikan semangat" ketika beliau berusia 16 tahun selepas menjalani latihan amali di sebuah klinik kejiranan.

"Sejak detik itu, saya merasai kemesraan hubungan doktor-pesakit, dan juga kerana doktor yang pada masa itu mengajar saya memberi saya inspirasi dan saya menyedari bahawa menjadi seorang doktor adalah satu kerjaya yang memuaskan.

"Tugas seorang doktor itu adalah mengenai interaksi anda bersama pesakit, bertanyakan keadaan mereka, mengenali mereka dengan baik dan benar-benar mengenai memahami serta menunjukkan belas ihsan kerana mereka percaya anda," ujar Adam yang berusia 22 tahun.

TERPAKSA BELAJAR MELALUI ONLINE DEK COVID-19

Adam kini seorang penuntut tahun kedua dalam jurusan perubatan dan pembedahan di Kolej Perubatan Universiti Sains dan Teknologi Huazhong yang terletak di wilayah Wuhan, China.

Disebabkan COVID-19, beliau terpaksa pulang ke Singapura pada awal tahun ini dan meneruskan pengajian secara maya, sesuatu yang sukar kata Adam memandangkan pengajian beliau memerlukan kemahiran praktikal juga.

Namun begitu, peluang berada di sisi keluarga buat masa ini membuat dirinya berasa bersyukur serta menghargai mereka terutama sekali ibu bapanya.

Beliau berkongsi: "Dermasiswa Darul Arqam ini membantu saya kerana dapat meringankan beban kewangan keluarga saya terutama sekali ibu bapa saya yang sudah tua. Bukan itu saja, saya rasa dermasiswa ini sebagai satu sistem sokongan keluarga saya kerana abang dan kakak saya juga pernah menerimanya pada tahun-tahun sebelum ini."

Lantaran itu, Adam mahu dermasiswa itu bukan saja membantu dalam pengajiannya tetapi juga menjadi satu inspirasi kepada yang lain.

"Saya melihat diri saya bukan sahaja sebagai seorang doktor nanti tetapi juga sebagai seseorang yang memberi inspirasi kepada yang lain untuk berusaha mengejar impian mereka dan juga saya mahu sangat menyokong masyarakat Islam dalam sektor jagaan kesihatan kerana di situlah saya mendapat inspirasi seperti ingin membantu dalam menyempurnakan misi haji," ujar beliau.

Dengan ketidaktentuan landskap ekonomi kini dek COVID-19, Darul Arqam menyatakan pengagihan tahun ini amat bermakna dalam membangunkan generasi masa depan.

"Dalam tahun ini dengan pandemik ini, ramai yang kehilangan kerja dan ada yang dalam masalah kewangan bukan hanya dari segi itu. Maka, dengan bantuan ini saya rasa lebih ramailah yang dapat manfaat daripada dermasiswa ini.

"Maka kalau masyarakat dapat membantu lebih kepada Darul Arqam atau organisasi Islam yang lain maka kita dapat memperuntukkan lebih untuk memajukan lagi aktiviti-aktiviti kita," kata Timbalan Presiden Darul Arqam Encik Adam Foo.

Beliau juga melahirkan harapan agar para penerima seperti Adam akan terdorong untuk menyumbang semula kepada masyarakat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan