Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Darul Arqam agih 2,000kg daging korban kepada 1,000 keluarga memerlukan; pecah rekod bagi konvoi kenderaan terbesar

Darul Arqam berjaya memecahkan rekod bagi konvoi kenderaan terbesar di Singapura hari ini (25 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Darul Arqam berjaya memecahkan rekod bagi konvoi kenderaan terbesar di Singapura hari ini (25 Ogos).

Ini selepas 2,000 kilogram daging korban dan barangan dapur diagihkan kepada 1,000 keluarga berpendapatan rendah menggunakan 142 kenderaan yang terdiri daripada 77 kereta, 64 motosikal dan sebuah lori.

Konvoi Darul Arqam itu kini diiktiraf sebagai yang terbesar di Singapura, sekaligus mengatasi rekod dalam Buku Rekod Singapura bagi konvoi kenderaan terbesar menghantar habuan amal melibatkan sebanyak 118 kenderaan, hampir sedekad yang lalu.

Sebagai tanda penghargaan atas usaha murni itu, Presiden Halimah Yacob sendiri turun padang untuk memeriahkan acara tersebut.

Seawal 9.30 pagi tadi, seramai 350 relawan berkumpul di pekarangan Darul Arqam untuk membawa keceriaan kepada golongan yang memerlukan.

Dianjurkan buat tahun ketiga, sasaran Qurban Drive 2019 adalah untuk mengagihkan sekitar 2,000 kilogram daging korban dan barangan dapur kepada 1,000 keluarga berpendapatan rendah.

Daging-daging korban itu hasil sumbangan Al-Falah Academy SG dan Hezom International.

Setiap keluarga menerima habuan seberat dua kilogram daging korban dan barangan dapur.

Dengan curahan bakti para relawan, empat hingga lima rumah berjaya dikunjungi oleh setiap relawan.

KERJA AMAL TINGKATKAN KESEDARAN

Kerja amal yang dijalankan pagi tadi turut meningkatkan kesedaran dalam kalangan relawan yang mengambil bahagian.

"Saya rasa gembira dapat membantu mereka yang amat susah. Dan kita pun sebagai kumpulan motosikal, kita pun rasa lebih bersemangat, bersatu padu untuk buat amal," kata Encik Ilham Adli Shah Aidi, seorang relawan yang pertama kali menyumbang tenaga kepada acara Qurban Drive.

Bagi tahun ini, Darul Arqam bekerjasama dengan lapan badan Melayu/Islam termasuk Pergas, Casa Raudha, Khidmat Kaunseling Islam, Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC), Masyarakat Majulah, Dana Pendidikan Harun Ghani, Yayasan Mendaki dan Singapore Deaf Muslim Community.

Agihan daging korban itu disambut baik oleh para penerima bantuan.

"Tengok orang rumah apa yang dia nak masak, masak merah ke atau bistik ke. Saya rasa gembira sangat. Syukur kepada Allah Taala," kata Encik Salleh.

Bagi Cik Arifah pula: "Saya akan kongsi dengan saudara saya yang baki saya masak. Yang beriani saya akan dapat makan dengan anak-anak saya."

KERJASAMA DIALU-ALUKAN BAGI BINA MASYARAKAT LEBIH INKLUSIF

Menurusi usaha kerjasamanya tahun ini, Darul Arqam berjaya membantu lebih ramai keluarga memerlukan berbanding 450 keluarga, tahun lalu.

Namun, menurut presidennya, Encik Imran Kuna, usaha ini tidak terhenti di situ saja.

"Kami berharap akan dapat bekerjasama dengan lebih banyak organisasi Islam dan organisasi yang menyalurkan bantuan pada masa hadapan.Ia bertujuan untuk membawa manfaat kepada para muallaf dan Muslim secara am untuk mengintegrasikan mereka," ujar Encik Imran.

Darul Arqam berharap usahanya itu akan terus mendapat sokongan dan diperluaskan pada masa akan datang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan