Darjat Mohd Razif Radi dikatakan lebih tinggi daripada wali, ajar konsep ‘talak tahi’: Saksi pendakwa
Demikian keterangan yang dibuat oleh salah satu daripada dua saksi pihak pendakwa yang hadir di mahkamah pada pagi Khamis (27 Jun) dalam hari keempat perbicaraan kes terhadap yang tertuduh.
Setakat ini, seramai lapan orang saksi sudah pun memberi keterangan masing-masing.
Saksi lelaki itu diperkenalkan kepada kelas-kelas pimpinan Mohd Razif oleh bekas rakan kerjanya pada 2009.
Menurut lelaki itu, rakan kerjanya itu menyifatkan Razif sebagai seorang “guru istimewa dan boleh beri keterangan tentang apa yang tidak boleh difahaminya”.
Dalam satu kejadian, saksi itu berjumpa dengan bekas rakan kerjanya itu yang membawa buku tentang Shayk Abdul Qadir Jilani, seorang tokoh ilmu Sufi.
Bekas rakan kerjanya itu lalu mengatakan kepada lelaki itu bahawa buku itu hanya segelintir daripada banyak ilmu yang dapat ditimbanya.
Dia kemudian mengajak saksi tersebut untuk menghadiri kelas pimpinan Razif.
Lelaki itu yang sedang dalam proses menuntut ilmu tasawuf, bersetuju untuk menghadirinya.
‘TALAK TAHI’, DARJAT RAZIF LEBIH TINGGI DARIPADA WALI TIMBULKAN RASA CURIGA
Saksi itu menjelaskan kepada Timbalan Pendakwa Raya, Hidayat Amir bahawa dia hanya menghadiri dua kelas pimpinan Mohd Razif dalam tempoh dua bulan.
Dalam dua kelas yang dihadirinya itu, jumlah peserta tidak melebihi 10 orang.
Dia mengatakan bahawa kelas-kelas itu diadakan di sebuah kedai yang menjual pakaian sukan di Golden Landmark.
Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa struktur kelas-kelas itu akan dimulakan dengan sesi mengaji dan disusuli dengan sesi ‘kuliah’.
Namun, ada beberapa perkara yang membuatnya ‘bingung’ tentang kelas itu.
Saksi itu mengatakan bahawa akan ada sesi di mana ‘roh’ akan memasuki badan Mohd Razif.
Saksi itu juga mengatakan bahawa ajaran yang disebarkan dalam kelas itu termasuk konsep ‘talak tahi' namun tidak dapat mengenal pasti mahupun ingat tentang tujuan ‘talak tahi’ itu.
Tambahan lagi, bekas rakan kerjanya yang memperkenalkan kelas-kelas itu kepadanya juga mengatakan bahawa Mohd Razif mempunyai darjat yang lebih tinggi daripada Wali.
Itu juga membuatkannya mula musykil dengan dakwaan-dakwaan bekas rakan kerjanya itu tentang Mohd Razif.
Saksi juga menanyakan tentang Shayk Abdul Qadir Jilani serta Al-Khidr - dua figura yang terkenal dalam bidang ilmu Sufi.
Menurut saksi itu, Mohd Razif kemudian menerangkan kepadanya bahawa “kedua-dua personaliti itu ada bersamanya”.
Namun dia mendakwa tiada kejadian atau petanda sepanjang kelas-kelas itu untuk menunjukkan demikian.
Selepas menghadiri dua kelas pimpinan Mohd Razif dan tidak mendapatkan ilmu tambahan, lelaki itu akhirnya memutuskan untuk berhenti menghadiri kelas tersebut.
MOHD RAZIF TANYA KEPADA SAKSI WANITA KALAU DIA INGIN DIMANDIKAN....
Saksi ketujuh iaitu seorang wanita pula hadir di mahkamah pada petang Khamis (27 Jun) untuk memberi keterangannya.
Secara keseluruhannya, dia telah menghadiri kelas pimpinan Mohd Razif sebanyak empat kali, dalam tempoh kira-kira dua bulan.
Saksi wanita itu pertama kali diajak oleh rakan kerjanya untuk ke kelas pimpinan Mohd Razif, yang dikatakan sebagai satu 'sesi perbincangan'.
Selain dirinya, beberapa rakan kerja lain juga diajak untuk menyertai sesi tersebut.
Menurut saksi itu, sesi pertama diadakan di sebuah kedai rumah di Kandahar Street.
Semasa sesi tersebut, para pesertanya hanya merangkumi saksi serta rakan-rakan kerjanya.
Saksi menjelaskan kepada mahkamah bahawa sesi pertama itu tidak merangkumi sebarang perkongsian tentang agama. Sebaliknya, ia lebih kepada sesi pengenalan tentang Mohd Razif.
Sesi kedua yang dihadirinya pula merangkumi ajaran tentang 'membersihkan diri'.
Para peserta kelas tersebut, kata saksi, perlu menghafal prosedur dan bacaan ayat di rumah.
Prosedur itu menurut saksi memerlukan seseorang itu untuk menggunakan pencungkil gigi untuk membersihkan dirinya selepas beristinjak, sambil membaca ayat-ayat tertentu.
Pada sesi ketiga, Mohd Razif menanya kepada saksi sama ada dia sudah menghafal apa yang disuruh.
Saksi tidak menidakkannya walhal dia sebenarnya belum lagi menghafal apatah lagi melakukan prosedur itu.
Menurutnya, prosedur itu sudah melanggar ajaran Islam. Dia merasakan bahawa dengan menggunakan pencungkil gigi, ia akan mencederakan dirinya. Dia juga berpendapat bahawa orang Islam tidak sepatutnya mencederakan diri sendiri.
Meskipun demikian, saksi berkata bahawa Mohd Razif akhirnya menyuruhnya untuk bersalaman tangan sebagai tanda dia sudah berkongsi ilmu tersebut kepada dirinya.
Berlandaskan pandangan tidak boleh berpegangan tangan dengan pihak yang bukan mahram, saksi berkata dia tetap melakukannya tetapi hanya bersentuhan bahagian penghujung jarinya.
Saksi mengatakan ke mahkamah bahawa sebelum sesi keempat dan yang terakhir dihadirinya bermula, dia sempat menggunakan tandas.
Namun, dia terdengar percikan air yang kuat di tandas sebelah, seakan-akan ada orang yang sedang mandi.
Apabila bertanya dengan rakan-rakannya di kelas tersebut, saksi berkata bahawa dia diberitahu bahawa salah seorang rakannya 'sedang dimandikan' oleh Mohd Razif.
Selepas Mohd Razif dan kawan saksi keluar tandas, saksi lalu mengatakan ke mahkamah bahawa dia ditanya oleh Mohd Razif kalau dia juga ingin dimandikan.
Saksi menambah bahawa dia tidak bersetuju.
Saksi juga berkongsi bahawa kelas diteruskan dan para peserta diajar tentang aspek mengambil wuduk.
"Mohd Razif berkata yang dia perlu melihat saya mengambil wuduk. Dia mengatakan bahawa dia akan menjadi saksi saya pada Hari Kebangkitan bahawa saya telah mengambil wuduk dengan betul," kata saksi kepada mahkamah.
Untuk seakan-akan menunjukkan dia ada kuasa, saksi mengatakan bahawa Mohd Razif mengajaknya ke 'Changi' di mana dia boleh menunjukkan kepada saksi bahawa dia boleh membawa turun bulan.
Meskipun dengan kenyataan yang dibuat Mohd Razif, saksi tetap menolak permintaan Mohd Razif.
Disebabkan itu, saksi berkata bahawa Mohd Razif tidak lagi benarkan saksi untuk menghadiri kelasnya.
Selain dua saksi itu, seorang lagi saksi tampil di mahkamah pada Khamis (27 Jun), namun hanya pihak pasukan peguam bela dan pendakwa raya dibenarkan dalam bilik mahkamah.
Perbicaraan kes itu akan dilanjutkan pada Jumaat (28 Jun).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.