Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Darjah kebesaran tertinggi Istana Johor akan kukuhkan lagi hubungan dengan S'pura, kata Sultan Johor

Anggaran Waktu Membaca:
 Darjah kebesaran tertinggi Istana Johor akan kukuhkan lagi hubungan dengan S'pura, kata Sultan Johor

 (Gambar: Ministry of Communications and Information)

Diterbitkan : 06 May 2022 04:57PM Dikemas Kini : 06 May 2022 05:37PM

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini (6 Mei) mengurniakan darjah kebesaran tertinggi Istana Johor kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Menurut laman Facebook rasmi Sultan Johor, PM Lee dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Sultan Ibrahim , yang berusia 70 tahun turut mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) kepada isteri PM Lee, Cik Ho Ching yang baru bersara sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Holdings yang membawa gelaran Datin Paduka.

Majlis Pengurniaan itu diadakan dalam satu majlis penuh istiadat yang berlangsung di Istana Besar Johor yang turut disempurnakan oleh Permasuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta kerabat Diraja Johor yang lain.

Johor sebelum ini mengurniakan darjah kebesaran tertinggi kepada pemimpin Singapura sebagai mengukuhkan hubungan persahabatan antara Johor dan Singapura yang terjalin sekian lama.

Mereka termasuk mendiang mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew, yang menerima anugerah SPMJ pada 9 April 1984 sempena hari keputeraan Almarhum Sultan Iskandar ke-52.

Sementara itu, Sultan Ibrahim berkata pengurniaan darjah kebesaran tertinggi kepada PM Lee akan terus mengukuhkan hubungan persahabatan erat Johor dan Singapura yang terjalin sejak sekian lama.

“Hubungan Johor dan Singapura terjalin sekian lama dan pengurniaan darjah kebesaran tertinggi dari Istana Johor ini terus mengukuhkan hubungan dua hala.

“Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Singapura di atas peranan beliau selama ini dalam terus mengeratkan hubungan Singapura dan Johor,” kata Sultan Johor.

Awal dari itu, PM Lee dan rombongannya tiba di Istana Besar menaiki kereta rasmi pada 9.30 pagi manakala Sultan Ibrahim tiba lima minit kemudian.

Turut hadir di istiadat berkenaan ialah Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Darjah kebesaran itu diperkenankan pada Julai 1886. Selain mendiang Lee Kuan Yew, seorang lagi mantan Perdana Menteri Singapura, Encik Goh Chok Tong serta mantan Menteri Undang-Undang E W Barker turut dikurniakan anugerah tersebut.

Mantan Perdana Menteri Malaysia Abdul Razak, Hussein On, Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Mohd Yassin juga adalah ahli darjah kebesaran itu.

Sejak penganugerahannya pada 1886, 237 individu sudahpun dianugerahi darjah kebesaran tersebut.

Sumber : Bernama/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan