Skip to main content

Singapura

Daripada robot hingga saringan barah, syarikat pemula Asia bawa AI ke dunia sebenar

Daripada robot humanoid dan dron bawah air hingga saringan barah dan pengesanan penipuan dalam masa nyata, syarikat-syarikat pemula Asia kini membawa kecerdasan buatan (AI) melangkaui perisian dan menggunakannya dalam dunia sebenar.

Anggaran Waktu Membaca:
Daripada robot hingga saringan barah, syarikat pemula Asia bawa AI ke dunia sebenar

Menteri Pembangunan Negara merangkap Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) Chee Hong Tat membunyikan gong bagi membuka dagangan di Bursa Singapura (SGX), bersama pengasas syarikat yang diketengahkan dalam NextGen Tech 30. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 30 Sep 2026 10:25PM
SINGAPURA: Daripada robot humanoid dan dron bawah air hingga saringan barah dan pengesanan penipuan dalam masa nyata, syarikat-syarikat pemula Asia kini membawa kecerdasan buatan (AI) melangkaui perisian dan menggunakannya dalam dunia sebenar.

Sebanyak 30 syarikat diketengahkan pada Rabu (30 Sep) menerusi NextGen Tech 30 (NGT30), satu inisiatif yang mengiktiraf dan menyokong syarikat teknologi yang sedang berkembang dari seluruh rantau ini.

Lebih separuh daripada syarikat yang dipilih tahun ini menggunakan AI dalam industri fizikal seperti ladang angin, gudang, farmasi dan tapak binaan, serta teknologi yang beroperasi di orbit rendah Bumi.

Ia menandakan peralihan daripada syarikat berteraskan perisian yang mendominasi kumpulan-kumpulan NGT30 sebelum ini.

Syarikat-syarikat tersebut turut membangunkan teknologi daripada cip khusus dan robot humanoid hingga satelit hiperspektrum serta sistem bahan api penerbangan mampan.

NGT30, yang kini memasuki edisi ketiga, diterajui wadah modal swasta yang berpangkalan di Singapura, Granite Asia, dengan kerjasama Bursa Singapura (SGX).

Hampir separuh daripada syarikat yang dipilih tahun ini berpangkalan di Singapura, manakala satu pertiga dari Jepun.

Syarikat lain pula berasal dari China, India, Malaysia dan Korea Selatan.

BANTU SYARIKAT BERKEMBANG DARI SINGAPURA

Berucap di acara tersebut, Menteri Pembangunan Negara merangkap Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) Chee Hong Tat berkata syarikat-syarikat itu mencerminkan kepelbagaian dan keupayaan inovasi Asia yang semakin berkembang.

Menurut beliau, teknologi yang dibangunkan mempunyai potensi untuk mengubah model perniagaan dan industri.

Namun, Encik Chee berkata pengiktirafan hanya langkah permulaan dan cabaran seterusnya adalah mengembangkan syarikat pemula yang berpotensi menjadi syarikat yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Sebuah syarikat pemula perlu membuktikan bahawa sesuatu idea boleh dilaksanakan. Syarikat yang sedang berkembang pula perlu melakukannya berulang kali, merentasi pasaran berbeza di luar negara sendiri dan pada skala yang jauh lebih besar," katanya.

Ini memerlukan modal yang boleh berkembang bersama syarikat, keupayaan organisasi yang dapat mengikuti perkembangan serta kebolehan menyesuaikan diri dengan pasaran berbeza.

"Matlamat kami adalah untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan syarikat membangun dari Singapura, berkembang daripada syarikat pemula dan menjadi peneraju serantau serta sejagat," kata Encik Chee.

AI BERGERAK KE DUNIA SEBENAR

Rakan Pengurusan Kanan Granite Asia Jenny Lee menyifatkan perkembangan tersebut sebagai peralihan kepada apa yang dipanggilnya "AI 3.0".

Menurutnya, AI kini bergerak melangkaui model AI dan ejen AI kepada penggunaan teknologi tersebut dalam persekitaran dunia sebenar.

Antara syarikat yang dipilih tahun ini ialah Menlo Research yang berpangkalan di Singapura.

Syarikat itu sedang membangunkan robot humanoid sumber terbuka bernama Asimov, selain ejen AI yang dinamakan Jan.

Pengasas Menlo Research Daniel Ong berkata memasukkan keupayaan AI generatif ke dalam sebuah mesin fizikal membawa cabaran yang sangat berbeza.

Meskipun sistem AI mampu memproses jumlah maklumat yang besar, robot masih menghadapi kesukaran melakukan tugas yang dilakukan manusia secara intuitif, termasuk berinteraksi dengan objek.

Menurut Encik Ong, antara cabarannya adalah melatih AI supaya memahami ruang fizikal dan hukum fizik secara intuitif sebelum dapat melakukan tugas seperti mengambil sesuatu dari lantai.
Related article image
Robot humanoid sumber terbuka Asimov yang dibangunkan Menlo Research. (Gambar: CNA)
AI BANTU SARING BARAH

Sebuah lagi syarikat yang dipilih ialah syarikat pemula Jepun, Craif, yang menggunakan AI dalam saringan barah.

Syarikat itu membangunkan teknologi yang mengasingkan mikroRNA daripada air kencing sebelum menggunakan AI untuk menganalisis profilnya bagi mengesan tanda-tanda yang dikaitkan dengan beberapa jenis barah.

Ini termasuk barah pankreas, paru-paru dan payudara.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas bersama Craif Ryuichi Onose berkata teknologi tersebut dapat mengesan barah dengan ketepatan sekitar 90 peratus.

Ujian itu sudah dilancarkan di Jepun dan diperluaskan ke Amerika Syarikat.

Syarikat tersebut kini merancang memasuki pasaran Asia Tenggara dan berharap dapat menawarkan ujian itu di Singapura pada 2027.

MODAL UNTUK PERINGKAT PERTUMBUHAN SETERUSNYA

Encik Chee berkata keperluan pembiayaan syarikat berubah sedang ia berkembang, daripada pelaburan peringkat awal kepada jumlah modal pertumbuhan yang lebih besar dan akhirnya, bagi sesetengah syarikat, pasaran awam.

Beliau berkata Singapura sedang berusaha memperkukuh ekosistem modal pertumbuhan dan menghubungkan syarikat yang berpotensi dengan sumber modal yang diperlukan untuk berkembang.

Awal tahun ini, MAS dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menubuhkan Kumpulan Kerja Modal Pertumbuhan bagi meneliti cara memperkukuh ekosistem tersebut.

Kumpulan kerja itu akan meneliti bidang seperti modal teroka, ekuiti swasta dan kredit swasta, serta menyokong keperluan pembiayaan syarikat pada pelbagai peringkat pertumbuhan.

Encik Chee turut merujuk kepada peningkatan kegiatan tawaran awam awal (IPO) serta usaha lain untuk memperkukuh pasaran ekuiti Singapura.

Pasaran IPO Singapura menunjukkan tanda-tanda pemulihan tahun ini, dengan langkah-langkah seperti program pembangunan pasaran ekuiti dan peraturan penyenaraian yang dipermudahkan membantu merancakkan pasaran.

BINA EKOSISTEM TEKNOLOGI LEBIH KUKUH

Namun, modal sahaja tidak mencukupi bagi membantu syarikat teknologi baharu berkembang.

Encik Ong berkata syarikat juga memerlukan pembekal, tenaga mahir dan perniagaan lain yang membangunkan teknologi saling melengkapi.

Beliau menarik perhatian kepada kelompok robotik di Shenzhen, China dan Odense, Denmark sebagai contoh ekosistem yang diperlukan bagi menyokong industri tersebut.

Menurutnya, Singapura mempunyai beberapa kelebihan tetapi persoalannya adalah sama ada negara ini dapat membangunkan ekosistem robotik yang cukup kukuh.

Sokongan pemerintah yang disasarkan serta pelabur yang bersedia mengambil risiko terhadap teknologi baharu juga boleh membantu menyediakan landasan bagi para usahawan untuk berkembang, tambahnya.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita