Skip to main content

Singapura

Dari Woodlands ke Pasir Ris, bazar Ramadan kejiranan bawa kemeriahan dekat dengan penduduk

Anggaran Waktu Membaca:
Dari Woodlands ke Pasir Ris, bazar Ramadan kejiranan bawa kemeriahan dekat dengan penduduk

Orang ramai mengunjungi bazar Ramadan bersebelahan stesen MRT Woodlands.

Diterbitkan : 05 Mar 2026 10:47PM Dikemas Kini : 05 Mar 2026 10:48PM
SINGAPURA: Bazar Ramadan di kawasan kejiranan Singapura semakin berkembang tahun ini, dengan pihak penganjur melaporkan peningkatan jumlah gerai memandangkan minat peniaga yang semakin bertambah menyusuli kehadiran pengunjung yang ramai pada tahun 2025.

Salah satu contoh adalah bazar bersaiz sederhana di sebelah Stesen MRT Woodlands, yang kini masuk tahun kedua dan menampilkan kira-kira 100 buah gerai.

Dianjurkan oleh TLK Events and Lighting, ia merupakan salah satu daripada empat lokasi kawasan kejiranan yang diuruskan oleh syarikat tersebut.

TLK menyatakan bahawa mereka melihat peningkatan sehingga 20 peratus bagi pengambilan gerai di seluruh tapak kendalian mereka tahun ini, termasuk di bazar yang baru dilancarkan di Pasir Ris.

Pertumbuhan ini sebahagian besarnya didorong oleh perkhabaran dari mulut ke mulut, dengan lebih ramai usahawan baharu mendaftar dalam bulan-bulan menjelang Ramadan, kata seorang jurucakap TLK kepada Mediacorp.

“Terdapat juga minat yang lebih besar daripada perniagaan kecil yang berminat untuk menguji konsep baharu dan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.”

Berbeza dengan bazar yang lebih besar seperti di Kampong Gelam dan Geylang Serai, pihak penganjur berkata tapak di kawasan kejiranan mereka memberikan penekanan yang lebih kuat kepada makanan tradisional, ditambah dengan campuran hidangan moden.

Di tempat lain, GRC Tampines, yang terlibat dalam penganjuran tiga bazar di seluruh estet tersebut - di Tampines Changkat, Tampines Central dan di sebelah Stesen MRT Tampines - menyatakan ia melihat peningkatan sebanyak 30 peratus dalam jumlah keseluruhan gerai.

Ia juga memperkenalkan elemen baharu di lokasi Tampines Central untuk menyuntik pengalaman baharu kepada pengunjung.

Seorang jurucakap berkata: “Tahun ini, kami melihat lebih banyak tema yang disusun rapi, penggunaan pilihan pembayaran tanpa tunai yang lebih luas, hiburan langsung, dan aktiviti mesra keluarga untuk meningkatkan pengalaman keseluruhan.

"Peniaga di Tampines Central dipilih dengan teliti berdasarkan kepelbagaian makanan gabungan yang mereka tawarkan, selaras dengan trend semasa dan menepati cita rasa penduduk.”

KOS LEBIH TINGGI, TETAPI JUALAN KUKUH

Di Woodlands, kedua-dua pemegang gerai baharu dan lama sudah mendaftar. Ramai menyatakan bahawa semangat kemasyarakatan yang kuat adalah sebab utama untuk berniaga di sana, walaupun kos meningkat.

Cik Asmah Osman, pemilik bersama gerai makanan Cahaya Timur, berkata sewa meningkat kira-kira 10 peratus berbanding tahun lalu.

Disebabkan itu, bersama dengan kenaikan kos bahan mentah, beliau terpaksa menaikkan harga sebanyak S$1 hingga S$2 bagi setiap item.

Menu beliau menampilkan hidangan seperti lamb shank, daging kambing, udang dan ikan, yang menurutnya adalah bahan yang mahal.

Cik Asmah, yang sudah menyertai bazar selama kira-kira 20 tahun, berkata sokongan pelanggan yang kuat membuatkan beliau terus kembali, sambil menambah bahawa pelanggan tetap malah mengingati gerainya dari tahun-tahun sebelumnya.

“Ada antara mereka yang sudah tua, ada yang sudah mempunyai anak. Saya terkejut. Mereka masih mengenali kami di sini,” katanya.

Bagi pemegang gerai lain, perniagaan sangat rancak. Cik Meagan Tan, pemilik ThePastaLab.sg, berkata pengunjung di Woodlands melebihi jangkaannya.

“Kami memperoleh pendapatan, saya rasa, dua kali ganda daripada apa yang kami perolehi di Geylang,” katanya, merujuk kepada bazar Geylang Serai, bazar Ramadan terbesar di Singapura.

“Orang di sini (di Woodlands) juga sangat mesra. Mereka berkumpul… semua orang akan beli bersama, seorang beli untuk seisi keluarga,” tambah Cik Tan.

FOKUS KEPADA MASYARAKAT

Pihak penganjur berkata bazar Woodlands direka khusus dengan memikirkan tentang penduduk, terutamanya mereka yang mungkin sukar untuk pergi ke bazar yang lebih besar seperti Geylang Serai.

“Jika kita mempunyai warga emas yang tidak dapat berjalan jauh, dengan mengadakan ini berhampiran rumah mereka, ia sangat membantu,” kata Cik Deanna Shaharuddin, pengerusi penganjur bazar Woodlands.

Cik Deanna, yang juga pengerusi jawatankuasa eksekutif kegiatan Melayu Kelab Masyarakat Woodlands, menambah bahawa acara sedemikian membantu jiran tetangga berhubung.

“Mempunyai bazar jenis ini… membantu membawa orang ramai berkumpul, di mana anda sebenarnya dapat bertemu dengan jiran-jiran anda,” tambahnya.

BAZAR RASMI PERTAMA DI PASIR RIS

Di bahagian timur, Pasir Ris menganjurkan bazar Ramadan rasmi pertamanya sebagai maklum balas kepada permintaan penduduk.
Related article image
Bazar Ramadan pertama dibuka secara rasmi di Pasir Ris.
Sebelum ini, bazar utama yang paling hampir adalah di Tampines.

Acara tersebut menampilkan kira-kira 50 gerai yang menawarkan campuran hidangan moden dan tradisional.

Peniaga berkata kos sewa yang lebih rendah di sana menjadikannya lebih menarik untuk membuka gerai.

Pengusaha gerai, Aliff Zainal, pengarah kios makanan jalanan Kream and Frites, berkata sewa adalah kira-kira 30 peratus lebih rendah berbanding di bazar yang lebih besar.

“Jadi, ia adalah percubaan yang baik untuk kami masuk ke sini,” tambahnya.

Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Changi, Sharael Taha berkata penduduk sudah meminta bazar yang lebih dekat dengan rumah, sambil menambah bahawa penganjur sengaja mengekalkannya dalam saiz yang lebih kecil.

“Kami mahukannya lebih berasaskan masyarakat. Jadi walaupun kami boleh mempunyai 80 gerai, kami mengecilkan saiznya kepada 50 gerai dan menyediakan kawasan untuk penduduk kami berkumpul dan berbuka puasa bersama-sama,” katanya.

Kawasan tersebut juga akan menjadi tuan rumah kepada persembahan oleh artis tempatan di ruang yang dapat memuatkan sekitar 100 penonton.

Encik Sharael menambah: “Salah satu perkara paling penting adalah bagaimana Ramadan boleh menjadi peluang untuk penduduk dari pelbagai kaum dan agama berkumpul bagi meraikan melalui makanan dan menikmati kebersamaan antara satu sama lain.

”Beliau berkata satu lagi ciri bazar masyarajat ini adalah beberapa gerai diperuntukkan kepada keluarga penerima bantuan yang tinggal di kawasan itu. Salah seorang daripada mereka adalah pesakit dialisis buah pinggang yang akan menjual biskut daripada perniagaan berasaskan rumah untuk mencari pendapatan tambahan semasa musim perayaan, tambahnya.

Bazar Pasir Ris berlangsung sehingga 19 Mac, manakala bazar di Woodlands berakhir pada 14 Mac.
Sumber : CNA/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita