Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dari pingat emas Olimpik ke pengakuan dadah: Garis masa Joseph Schooling

Kemenangan pingat emas di Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 melonjakkan nama Joseph Schooling sehingga terkenal di persada antarabangsa, namun baru-baru ini beliau mengaku mengambil ganja pada bulan Mei lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Dari pingat emas Olimpik ke pengakuan dadah: Garis masa Joseph Schooling

Joseph Schooling di Olimpik Rio 2016. (Gambar fail: AFP/Gabriel Bouys)

SINGAPURA: Kemenangan pingat emas dalam acara gaya kupu-kupu 100m di Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 memacu Joseph Schooling untuk menjadi terkenal di persada antarabangsa.

Namun beliau belum lagi dapat mengekalkan prestasi itu, yang menyaksikannya memenangi satu-satunya pingat emas Olimpik dan yang pertama bagi Singapura.

Pada Selasa (30 Ogos), kerjayanya terjejas teruk apabila Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan bahawa perenang berusia 27 tahun itu mengaku mengambil ganja pada bulan Mei tahun ini.

Mediacorp mengimbas kembali haluan Schooling sejak kemenangan bersejarahnya pada 2016.

Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016

13 Ogos 2016: Schooling, mahasiswa Universiti Texas, menang pingat emas Olimpik pertama bagi Singapura, dengan mengalahkan Michael Phelps dan Chad le Clos dalam acara kupu-kupu 100m. Beliau juga mencatat rekod baru Olimpik dengan catatan masa 50.39s. Sebelum ini, Phelps mencatatkan masa 50.58s di Beijing 2008.

15 Ogos 2016: Schooling kembali ke tanah air dengan diiringi sorakan daripada ratusan peminat di Lapangan Terbang Changi selepas Sukan Olimpik di Rio. Beliau diraikan secara rasmi di Parlimen bagi mengucapkan tahniah kepadanya atas kemenangan bersejarah itu.

18 Ogos 2016: Ribuan orang membanjiri laluan pejalan kaki bagi menyambut kemenangan Schooling semasa perarakan tiga perhentian dalam bas tidak berbumbung berwarna merah.

Beliau bermula dari Hab Sukan Singapura dan melakukan tiga perhentian - Pasar Marine Terrace, Plaza Comcentre Singtel dan Pusat Beli-Belah Raffles City.

Schooling berhenti untuk memberi tandatangan dan mengambil gambar di setiap perhentian, manakala peminat lain mengibarkan bendera Singapura dan sepanduk.

24 Nov 2016: Schooling menerima hadiah S$1 juta bagi pingat emas Olimpik, individu pertama untuk mendapat anugerah tertinggi itu melalui Program Anugerah Jutaan Dolar.

Kejohanan Dunia FINA 2017

30 Jul 2017: Schooling menduduki tempat ketiga bersama dalam acara kupu-kupu 100m di Kejohanan Dunia FINA di Budapest, Hungary, dengan masa 50.83s.

Pingat gangsa itu sama seperti apa yang diraih semasa edisi 2015, di bandar Rusia, Kazan.

Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur

Ogos 2017: Schooling menggondol enam pingat ems dalam tiga acara individu dan tiga acara berganti-ganti.

Mac 2018: Schooling bertukar menjadi atlit profesional dan dinamakan duta Hugo Boss, duta pertama Singapura di bawah jenama fesyen mewah itu.

April 2018: Beliau menandatangani kerjasama tiga tahun dengan DBS.

27 Jun 2018: Perenang itu melancarkan Swim Schooling, sekolah renang yang mengajar kanak-kanak berusia 3 hingga 11 tahun.

Sukan Asia 2018 di Indonesia

Ogos 2018: Schooling memenangi pingat emas dalam kedua-dua acara kupu-kupu 50m dan 100m, serta membantu pasukan-pasukan berganti-ganti gaya bebas lelaki 4x100m dan 4x200m menang pingat gangsa. Masa kemenangannya 51.04s bagi acara kupu-kupu 100m mencatat rekod baru Sukan Asia.

Kejohanan Dunia FINA 2019 di Korea Selatan

Jul 2019: Schooling gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir bagi acara-acara kupu-kupu 50m dan 100m.

Sukan SEA ke-30 di Filipina

Disember 2019: Schooling menang empat pingat emas dan dua pingat perak dalam enam acara, termasuk emas dalam acara kupu-kupu 100m lelaki.

Beliau menduduki tempat kedua, selepas kalah kepada rakan senegara Teong Tzen Wen dan Darren Chua masing-masing dalam acara kupu-kupu 50m dan gaya beas 100m.

31 Ogos 2021: Penangguhan atlit itu bagi Perkhidmatan Negara (NS) berakhir. NS Schooling ditangguhkan bagi jangka panjang sejak 2014.

18 Nov 2021: Bapa Schooling, Colin Schooling, meninggal dunia pada usia 73 tahun. Beliau didiagnosis dengan barah hati pada Jun 2021.

Beliau dikenali sebagai penyokong kuat kerjaya renang anaknya. Bagi membantu anaknya mencapai sepenuhnya potensinya, Encik Schooling dilaporkan menjual rumahnya di Perth dan mengeluarkan wang dari pelan endowmen, dengan membelanjakan lebih S$1 juta bagi membiayai latihan anaknya di Amerika Syarikat.

Olimpik Tokyo 2020

29 Jul 2021: Schooling gagal mempertahankan kejuaraan Olimpik dalam acara kupu-kupu 100m. Beliau tidak melayakkan diri bagi peringkat separuh akhir.

Beliau mencatat masa 53.12s dan menduduki tempat terakhir dalam pusingan awal di Pusat Akuatik Tokyo dan menduduki tangga ke-44 secara keseluruhannya.

Januari 2022: Schooling menjalani NS. Penangguhannya pada mulanya tamat selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020, tetapi dilanjutkan memandangkan Sukan Olimpik ditangguhkan ke 2021 akibat pandemik COVID-19.

Mac 2022: Schooling bertanding dalam kejohanan pertamanya sejak Olimpik Tokyo di Pusingan Kelayakan Sukan Utama Kumpulan Usia Kebangsaan Singapura. Beliau mencatat masa 52.09s dalam peringkat akhir kupu-kupu 100m, masa terbaik yang dicatatkannya sejak lebih dua tahun lalu.

Masanya itu juga melayakkan beliau ke Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Sukan Asia Tenggara ke-31 di Vietnam

14 Mei 2022: Pasukan berganti-ganti bagi gaya bebas 4x100m, yang terdiri daripada dirinya sendiri, Quah Zheng Wen, Mikkel Lee dan Jonathan Tan, menang tempat pertama namun kemenangan mereka dibatalkan disebabkan terjunan lebih awal daripada salah seorang perenang.

16 Mei 2022: Schooling menang pingat emas dalam acara kupu-kupu 100m lelaki. Beliau juga menang emas dalam acara bergilir-gilir 4x100m dengan Maximillian Ang, Quah dan Tan.

30 Ogos 2022: Schooling mengaku mengambil ganja di luar negara semasa beliau berlatih dan menyertai Sukan Asia Tenggara semasa diberi pengecualian jangka pendek dari NS sepenuh masa.

Ujian air kencingnya negatif bagi dadah terkawal namun beliau mengaku mengambil ganja pada bulan Mei.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan Schooling tidak lagi layak bagi cuti atau pengecualian jangka pendek dari NS kerana beliau menyalahgunakan hak tersebut.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan