Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dari Perintah Kecemasan hingga ke 'e-tagging': Pindaan Piagam Wanita pertingkat perlindungan bagi mangsa keganasan keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
Dari Perintah Kecemasan hingga ke 'e-tagging': Pindaan Piagam Wanita pertingkat perlindungan bagi mangsa keganasan keluarga

Gambar hiasan: Pixabay

Diterbitkan : 04 Jul 2023 10:55PM Dikemas Kini : 04 Jul 2023 10:57PM

SINGAPURA: Pindaan kepada Piagam Wanita diluluskan pada Selasa (4 Jul), dengan tujuan meningkatkan perlindungan bagi mangsa-mangsa keganasan keluarga dan memberi pemerintah lebih bidang kuasa untuk menangani kes-kes sedemikian.

Membentangkan Rang Undang-Undang untuk bacaan kedua di parlimen, Menteri Negara bagi Pembangunan Keluarga dan Sosial Sun Xueling menarik perhatian bahawa Piagam Wanita, yang juga Akta perundangan yang diluluskan pada 1961, menyediakan perlindungan bagi semua mangsa yang terselamat dari keganasan keluarga, tanpa mengira jantina.

Tahun lalu, sekitar 2,000 Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) dibuat kepada Mahkamah Keadilan Keluarga, yang mana 25 peratus daripadanya dibuat oleh kaum Adam.

Pindaan terbaru itu akan memberi Piagam Wanita rangka kerja yang lebih menyeluruh terhadap keganasan keluarga, kata Cik Sun.

Berikut adalah pindaan utama bagi Akta tersebut:

TAKRIFAN YANG DIKEMAS KINI

Takrifan bagi "keganasan keluarga" yang sedia ada sudah dikemas kini untuk menjadikannya jelas bahawa ia merangkumi penderaan fizikal, seksual, emosi dan psikologi.

Salah satu contohnya adalah tingkah laku yang mengawal atau memaksa - di mana pelaku mengugut untuk tidak memberikan nafkah bulanan kepada pasangan mereka, sentiasa membuat panggilan untuk mengetahui keberadaan mereka, dan mengasingkan mereka dari kawan-kawan atau keluarga, termasuk tidak membenarkan mereka meninggalkan rumah.

PELAKSANAAN LEBIH MUDAH DAN PANTAS

Dengan PPO, Perintah Kaunseling atau Perintah Pengecualian Domestik boleh dikeluarkan. Namun, masih terdapat kes-kes di mana pelaku terus mengganggu mereka yang terselamat di luar rumah mereka, atau membuat ancaman menerusi kiriman teks.

Dengan pindaan perundangan tersebut, mahkamah kini boleh mengeluarkan Perintah Jauhkan Diri atau Perintah Jangan Dihubungi demi mengelak berlakunya gangguan dalam bentuk lain.

Pelaku yang diberikan Perintah Jauhkan Diri tidak boleh memasuki atau terus berada di kawasan yang sering dikunjungi mereka yang terselamat, seperti tempat kerja atau pusat jagaan kanak-kanak. Perintah Jangan Dihubungi pula melarang lawatan atau perhubungan dengan mereka yang terselamat.

LEBIH BANYAK BIDANG KUASA

Pindaan tersebut akan memberi lebih banyak bidang kuasa kepada para "pelindung", yang merujuk kepada mereka yang mempunyai kelayakan serta pengalaman yang sesuai, yang dilantik Ketua Pengarah Kebajikan Sosial Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), untuk campur tangan dalam keadaan-keadaan tertentu.

Pelindung boleh mengeluarkan Perintah Kecemasan di tempat kejadian, dalam kes-kes berisiko tinggi di mana terdapat bahaya pelaku akan melakukan keganasan keluarga terhadap mereka yang terselamat.

Ia akan berkuat kuasa sejurus selepas ia dikeluarkan, selama 14 hari, agar dapat memberi masa kepada individu yang terselamat waktu untuk memohon bagi PPO.

Para pelindung juga dibenarkan untuk mendapatkan maklumat sama ada seseorang itu pernah mengalami atau berisiko untuk mengalami keganasan keluarga. Misalnya, mereka diberi kuasa untuk memasuki sesebuah rumah untuk membuat penilaian jika perlu.

Mereka juga boleh membantu mangsa, yang keberatan untuk melindungi diri mereka sendiri, untuk memohon bagi PPO atau perintah lain.

PEMANTAUAN ELEKTRONIK

Para pelindung boleh memohon kepada mahkamah bagi pelaksanaan pemantauan elektronik, yang termasuk 'e-tagging'.


Ini akan digunakan terhadap pelaku yang berisiko tinggi dalam kes-kes khas tertentu, di mana terdapat kecurigaan yang wajar bahawa PPO sudah dilanggar dengan kecederaan yang dilakukan terhadap mangsa; dan mangsa masih tidak mengambil langkah-langkah untuk melindungi diri mereka sendiri, kata Cik Sun.


MENGELUARKAN MANGSA DARI RUMAH

Sebagai jalan keluar yang terakhir dan apabila semua langkah campur tangan yang diambil gagal, pindaan tersebut membenarkan pelindung untuk memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan mangsa dari rumah mereka.


Pada masa yang sama, mahkamah juga mesti membuat Perintah Jagaan, Perintah Penyeliaan, atau kedua-duanya sekali.


Perintah Jagaan memberi tanggungjawab kepada seseorang yang sesuai untuk menjaga mangsa. Perintah Penyeliaan pula meletakkan mangsa di bawah jagaan seorang pelindung atau individu lain yang sesuai, yang dilantik mahkamah, untuk tempoh tertentu.

HUKUMAN LEBIH BERAT


Pelanggaran Perintah Kaunseling atau Perintah Rawatan Mandatori kini dianggap sebagai satu kesalahan. Ini disebabkan maklum balas yang diterima bahawa segelintir pelaku tidak mengambil Perintah Kaunseling dengan serius dan tidak menghadiri sesi-sesi kaunseling.


Hukuman bagi kesalahan melanggar perintah mahkamah juga bertambah berat.


Jika sabit kesalahan buat kali pertama, denda dinaikkan kepada maksimum S$10,000, daripada S$2,000, dan tempoh penjara juga dinaikkan kepada maksimum 12 bulan.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan