Skip to main content

Singapura

Dari pemandu Grab ke jurutera sofwe: Ini perjalanan kerjaya Farhan Ramdan & mengapa ekonomi 'gig' perlu pertingkat kemahiran pekerja

Selepas bekerja dalam industri aeroangkasa selama hampir enam tahun, Encik Farhan Ramdan memutuskan untuk bertukar kerjaya ke sektor minyak dan gas pada awal 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Dari pemandu Grab ke jurutera sofwe: Ini perjalanan kerjaya Farhan Ramdan & mengapa ekonomi 'gig' perlu pertingkat kemahiran pekerja

Encik Farhan Ramdan kini bekerja sebagai jurutera perisian di Grab selepas menjalani latihan lapan bulan di GrabAcademy. (Gambar: Grab)

Diterbitkan : 24 Aug 2021 10:26AM Dikemas Kini : 24 Aug 2021 02:56PM

SINGAPURA: Selepas bekerja dalam industri aeroangkasa selama hampir enam tahun, Encik Farhan Ramdan memutuskan untuk bertukar kerjaya ke sektor minyak dan gas pada awal 2020.

Namun setelah hanya sebulan, beliau dilepaskan oleh majikannya disebabkan oleh COVID-19.

Individu berusia 31 tahun itu yang juga bekerja sebagai pemandu Grab pada waktu lapang sebelum itu, sekali lagi kembali memandu kereta sewa ketika menganggur.

Pada ketika itu, Encik Farhan mendapat tahu tentang GrabAcademy - iaitu satu inisiatif latihan syarikat tersebut.

Beliau kemudian menyertai program latihan sambil bekerja sepanjang tempoh selama lapan bulan dalam bidang pembangunan perisian iaitu hasil kerjasama antara Grab, Microsoft, Politeknik Temasek dan pertubuhan bukan untuk meraih untung, Generation.

Kini Encik Farhan bekerja sebagai jurutera perisian di Grab.

Grab bukan satu-satunya syarikat yang menawarkan pekerja ekonomi gig (pekerja bebas) peluang untuk meningkatkan kemahiran sedemikian.

Awal tahun ini, syarikat penghantaran makanan foodpanda juga bekerjasama dengan Politeknik Temasek dan platform e-pembelajaran Gnowbe untuk menawarkan lebih 200 kursus dalam bidang-bidang seperti khidmat pelanggan, kewangan, kemahiran digital dan penjenamaan peribadi.

Awal bulan ini, Deliveroo pula mengumumkan bahawa ia akan memperluaskan lagi inisiatif pembelajarannya dengan tujuan untuk menggalak 1,000 pekerja penghantaran untuk selesai menjalani sekurang-kurangnya satu kursus latihan menjelang hujung tahun ini.

MERAPATKAN JURANG KEMAHIRAN

Para pekerja ekonomi gig tanpa kemahiran yang boleh dipasarkan akan menggigit jari jika syarikat-syarikat mengubah dasar-dasar pengambilan pekerja mereka, kata Profesor Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS) Sumit Agarwal.

"Sebaik-baiknya, terdapat skim-skim bagi pekerja ekonomi gig untuk menjalani latihan yang disesuaikan dengan pekerjaan bebas yang menawarkan potensi kemajuan dalam sektor tersebut," tambahnya.

Meluangkan masa untuk mempertingkatkan kemahiran adalah mencabar bagi kebanyakan orang, kata Anggota Parlimen Yeo Wan Ling (PAP-Pasir Ris-Punggol).

Cik Yeo berkata ini terutama sekali bagi para pekerja ekonomi gig dengan jadual kerja yang tidak menentu.

Salah satu keutamaan NTUC dan persatuan-persatuan kendaliannya adalah untuk memudahkan latihan bagi individu yang bekerja sendiri, kata beliau.

"Ini termasuk menyediakan latihan yang disesuaikan dengan jadual pekerja ekonomi gig, misalnya dengan sesi-sesi dua jam sewaktu tempoh masa lapang."

Syarikat-syarikat seperti Grab atau Deliveroo mungkin menawarkan peluang-peluang untuk mempertingkatkan diri bagi para pekerja ekonomi gig atas tanggungjawab sosial, kata jurulatih kerjaya Encik Adrian Choo.

Syarikat-syarikat tersebut mungkin menimbangkan keperluan jangka panjang para pekerja mereka yang mungkin tidak mampu terus memandu atau menghantar makanan, kata beliau.

Encik Choo menambah bahawa dengan melakukan demikian ia juga mengatasi isu tidak memanfaatkan tenaga kerja sepenuhnya.

Oleh itu, katanya lagi, peluang untuk mempertingkatkan diri seharusnya disesuaikan dengan individu sedemikian dan ini memerlukan perancangan kerjaya jangka panjang.

Dalam pada itu, kemahiran dan latihan juga mesti selalu dikemas kini, katanya lagi.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita