Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dari padang bola ke bidang pertahanan negara: LTA Nurul Khairiah Azhar dianugerahkan Pedang Merit SAF

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas mengharumkan nama negara di arena bola sepak, Leftenan (LTA) Nurul Khairiah Azhar, mahu berbakti juga kepada negara di medan pertahanan.

Itulah prinsip yang dipegang wanita berusia 26 tahun itu apabila mengambil keputusan untuk menyertai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). 

"Sejak zaman persekolahan, saya telah mewakili negara Singapura dalam bidang bola sepak. Justeru dengan kebanggaan yang diperolehi, saya ingin terus berkhidmat untuk negara dan menyumbang kepada masyarakat," kata LTA Nurul Khairiah.

Sejak menyertai SAF pada April lalu, LTA Nurul Khairiah merupakan satu-satunya kadet wanita dalam vokasi yang dipilihnya iaitu dalam divisyen logistik. 

Bahkan, beliau turut diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab selaku Komander Sayap Kadet dan Sarjan Mejar Sayap Kadet.

BOLA SEPAK DAN BIDANG KETENTERAAN TIDAK JAUH BEZANYA

Pengalamannya dalam bola sepak sejak di bangku sekolah juga sedikit sebanyak membantu dalam laluan kerjaya yang dipilih ini.

"Persamaannya (bola sepak dan ketenteraan) ialah pada kedua-dua bidang, saya mewakili Singapura tidak kira di dalam padang atau di dalam hutan. Persamaan yang kedua adalah kami akan bekerja bersama sebagai satu kumpulan untuk mencapai visi dan misi sebuah unit. 

"Namun perbezaannya adalah sebagai seorang pemain bola, saya harus bertahan selama 90 minit tetapi sebagai seorang tentera saya harus fokus untuk masa yang panjang," jelas Lta Nurul Khairiah, yang pernah bertanding dalam Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia dan Kejohanan Gabungan Bola Sepak Asia pada usia 15 tahun.

Selepas menjalani latihan di Sekolah Pegawai Kadet (OCS) selama 38 minggu, beliau muncul sebagai salah seorang daripada 417 kadet Angkatan Ketenteraan, Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) dan Angkatan Udara Singapura (RSAF) yang menerima pentauliahan sebagai pegawai SAF dalam Upacara Perbarisan Pentauliahan pada petang Sabtu (11 Jun).

Acara yang diadakan di Institut Ketenteraan SAFTI adalah yang pertama kali diadakan semula secara penuh sejak pandemik COVID-19.

(LTA Nurul Khairiah Azhar bersama keluarga)

Berkat kesungguhan dan prestasi yang dipamerkan sepanjang tempoh latihan, LTA Nurul Khairiah dianugerahkan dengan Pedang Merit yang hanya diberikan kepada 10 peratus pelatih terbaik di OCS.

Lebih manis lagi, beliau turut dipilih sebagai kadet terbaik dalam latihan fizikal.

"Saya amat gembira dengan pencapaian saya. Saya rasa berterima kasih kepada rakan-rakan, keluarga dan juga jurulatih saya. Kerana tanpa sokongan dan pengorbanan mereka, saya tidak akan dapat mencapai kecemerlangan sebegini. Dengan anugerah ini, saya lebih motivasi untuk bekerja keras, untuk memperbaiki diri saya," kata LTA Nurul Khairiah.

PENTING UNTUK SAF SENTIASA BERSEDIA HARUNGI KETIDAKTENTUAN GEOPOLITIK, ANCAMAN DIGITAL

Upacara itu turut dihadiri Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman selaku Pegawai Pemeriksa perbarisan tersebut. 

Dalam ucapannya, beliau menekankan tentang pentingnya untuk sentiasa bersedia mengharungi ketidaktentuan geopolitik yang dicetuskan konflik Rusia-Ukraine.

"Konflik tersebut telah menunjukkan bahawa ancaman digital akan terus lebih besar dari segi skala dan kecanggihan.

"Saya yakin bahawa SAF akan terus bangkit untuk tangani cabaran-cabaran baru. SAF yang kukuh dan berwibawa adalah penjamin utama bagi kedaulatan, keamanan dan keselamatan kita," ujar Dr Maliki.

Sempena sambutan 55 tahun perkhidmatan negara (NS) tahun ini, Dr Maliki juga mengingatkan para pegawai baru itu tentang peranan penting yang dimainkan NS dalam pertahanan negara.

"Sejak ia ditubuhkan pada 1967, lebih dari sejuta rakyat Singapura dan warga tetap sudah menjalani perkhidmatan negara. Kita perlu ingat, tentera kita tidak boleh berjaya tanpa sumbangan Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen).

"Ini adalah giliran kamu semua untuk mengikuti jejak mereka yang telah berkhidmat sebelum kami, mendukung tanggungjawab mempertahankan Singapura, perintis kita yang telah jalani NS dan melindungi Singapura sejak 55 tahun lalu," tambah Dr Maliki.

Turut hadir di perbarisan adalah pegawai kanan SAF, keluarga dan rakan-rakan para graduan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan