Skip to main content

Singapura

Dari mulut Dr Fatris Bakaram sendiri tentang pencapaian beliau selaku Mufti Negara...

Apakah antara pencapaian membanggakan Mufti Negara Dr Fatris Bakaram sepanjang memegang jawatan tersebut sepanjang sembilan tahun lalu?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Apakah antara pencapaian membanggakan Mufti Negara Dr Fatris Bakaram sepanjang memegang jawatan tersebut sepanjang sembilan tahun lalu?

Dalam wawancara Dr Fatris dengan media tempatan semalam (16 Jan), beliau berkongsi bahawa institusi fatwa yang progresif serta hubungan kukuh yang dibina dengan asatizah merupakan antara pencapaian utama beliau.

Menurut Ustaz Dr Fatris, pengalamannya menjadi Mufti adalah tempoh "9 tahun yang mencabar".

Namun pada masa yang sama, Mufti berhati masyarakat itu juga menyimpan bibit-bibit memori manis yang tidak dapat beliau lupakan.

Ditanya apakah antara pencapaian terbesarnya selaku Mufti, Dr Fatris berkata berinteraksi rapat bersama anggota masyarakat Muslim dan golongan asatizah di sini adalah salah satu daripadanya.

Melihat pembangunan asatizah saban tahun amat membanggakan menurut beliau, dan mereka merupakan antara golongan terpenting dalam memberi bimbingan kepada masyarakat dalam memahami "keputusan-keputusan sukar" yang dilakukan MUIS.

Maka itu, beliau berpegang teguh kepada prinsip bahawa setiap asatizah di sini perlu terus mempertingkatkan diri agar masyarakat Muslim mempunyai barisan asatizah yang berkaliber.

"Kita bukan sahaja dapat menyediakan bakat-bakat yang berpotensi untuk mengambil alih jawatan Mufti sahaja, malah lebih dari itu, dan saya dapat menjangkakan bahawa jawatan-jawatan lain juga akan memainkan peranan yang lebih besar, sama ada institusi di Mahkamah Syariah, Pejabat Pernikahan (ROMM), dalam MUIS dan mungkin ada jawatan-jawatan lain yang mungkin diadakan bagi memenuhi cabaran dan keperluan masyarakat," ujar Dr Fatris.

Dr Fatris menambah fatwa-fatwa yang dikeluarkan di bawah Jawatankuasa Fatwa Singapura juga melalui detik-detik yang membanggakan.

Fatwa yang disemak, mahupun yang baru dikeluarkan bersifat progresif, dan lebih penting lagi memberi huraian kepada masalah kompleks dan rumit yang dihadapi masyarakat Muslim Singapura.

Misalnya, bagaimana Jawatankuasa Fatwa memperkenalkan fatwa tentang pendermaan susu yang mengizinkan bayi Muslim yang lahir tidak cukup bulan menerima bekalan dari bank susu ibu - merupakan antara yang pertama di dunia.

"Di antara perkara yang saya amat bersyukur kerana itu merupakan perkara yang mungkin pencapaian saya bersama jawatankuasa fatwa yang saya pengerusikan ialah kita menjadi di antara penguasa agama atau penguasa fatwa yang antara yang pertama di dunia yang mengesahkan dan menerima konsep bank susu seperti ini, kita berjaya mengatasi persoalan-persoalan keraguan walaupun ada pada peringkat awal yang mempersoalkan tetapi kita dapat menjawab dengan baik, dan umumnya dapat dijalankan dan dipraktikan," tambah Dr Fatris.

Mufti Singapura itu berkata beliau yakin, lapisan kepimpinan seterusnya akan dapat meneruskan pencapaian-pencapaian itu dengan lebih baik lagi.

Dr Fatris akan melepaskan jawatannya secara rasmi sebagai Mufti Negara pada 1 Mac nanti. Beliau akan digantikan oleh Ustaz Dr Nazirudin Nasir. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita