Skip to main content

Singapura

Dari lelong permaidani ke lontar cakera, "tauke" Fotohi Carpet Gallery wakili SG dalam arena sukan

Anggaran Waktu Membaca:
Dari lelong permaidani ke lontar cakera, "tauke" Fotohi Carpet Gallery wakili SG dalam arena sukan

Reza Fotohi (kiri) merangkul pingat emas di Kejohanan Atletik Antarabangsa Masters Filipina menerusi acara lontar cakera dan lembing. Beliau (kanan) dikenali ramai sebagai 'tauke' Fotohi Carpet Gallery. (Gambar: Reza Fotohi, Syafeera Sofian/BERITA Mediacorp)

SINGAPURA: Sebut sahaja Reza Fotohi, ramai pasti mengenalinya sebagai 'tauke' Fotohi Carpet Gallery. Manakan tidak, beliau sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam penjualan permaidani di Singapura.

"(Pelanggan saya) sekadar kenal saya sebagai individu yang 'lelong' permaidani di Tanjong Katong Complex atau Singapore Expo," seloroh Encik Reza sambil tersenyum.

Namun, di sebalik kejayaannya sebagai usahawan, terdapat sisi lain yang mungkin tidak diketahui ramai pelanggannya.

Selain berniaga, Encik Reza ternyata juga seorang atlet lontar cakera dan lembing, yang sudah mewakili Singapura sejak 2016.
Reza Fotohi meraih beberapa pingat emas buat negara, termasuk di Kejohanan Atletik Antarabangsa Masters Filipina pada November tahun lalu. (Gambar: Reza Fotohi)
Sepanjang penglibatannya, Encik Reza bahkan, telah meraih beberapa pingat emas buat negara - termasuk yang terbaharu di Kejohanan Atletik Masters Hong Kong pada hujung November tahun lalu menerusi acara lontar cakera.

Meski usianya sudah mencecah 58 tahun, semangat Encik Reza masih membara.

Beliau bakal beraksi di Kejohanan Atletik Asia Masters di India bulan depan, untuk mempertahankan keunggulannya dalam acara lempar cakera dan lembing.

SUDAH BERSUKAN SEJAK USIA 13 TAHUN; KINI KEMBALI UNTUK "TEBUS SEGALA" IMPIAN BELUM TERCAPAI

Minat Encik Reza terhadap sukan sebenarnya bermula sejak usia semuda 13 tahun, ketika beliau aktif dalam acara sukan balapan 800 meter dan 1500 meter di peringkat nasional di negara asalnya, Iran.
Reza Fotohi sudah bersukan sejak usia semuda 13 tahun. (Gambar: Reza Fotohi)
Beliau kemudian berhijrah untuk mengembangkan perniagaan elektrikalnya di Turki dan Dubai, sebelum akhirnya menubuhkan perniagaan Fotohi Carpet Gallery di Singapura pada 1994.
Reza Fotohi sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam penjualan permaidani di Singapura. (Gambar: Syafeera Sofian/BERITA Mediacorp)
"(Semasa) saya mula berniaga, masanya tidak sesuai untuk saya menjalani latihan. Itulah sebabnya saya tinggalkan sukan balapan dan padang. Saya perlu korbankan salah satu daripadanya dan saya pilih korbankan latihan," luah Encik Reza, ketika ditemui BERITA Mediacorp.

Ditanya apa mendorong Encik Reza untuk ambil keputusan kembali bersukan 9 tahun lalu, ini jawapannya:

"Saya kembali sertai acara balapan dan padang, (kerana) ada sesuatu dalam diri saya yang sedang mekar, rasa seronok rasa macam zaman muda. Saya tak tengok saya punya umur. 15 tahun (atau) umur 58 tahun, tak ada yang beza."

Bagi penampilannya kali ini, Encik Reza mencuba lontar cakera dan lembing - sesuatu yang belum pernah diceburinya.
Reza Fotohi beraksi dalam acara lontar cakera. (Gambar: Reza Fotohi)
Beliau mengambil keputusan meninggalkan acara larian atas nasihat doktor, setelah menjalani prosedur pemasangan stent jantung pada 2012 akibat tekanan darah tinggi.

Kurang setahun selepas berlatih, beliau sudahpun mewakili Singapura dalam Kejohanan Atletik Asia Masters 2016, yang diadakan di Singapura.

Sebagai seorang yang telah menjadi warga Singapura sejak 2007, detik itu amat bermakna, seolah-olah menandakan perjalanan baharunya sebagai seorang atlet negara.
Reza Fotohi beraksi dalam acara lembing. (Gambar: Reza Fotohi)

"Sekarang saya lakukan ini, ia seperti menebus segalanya yang saya tidak dapat lakukan sebelum ini," ujar Encik Reza penuh semangat.

Sepanjang keterlibatannya, beliau berjaya memenangi beberapa pingat emas buat Singapura.

Tahun lalu saja, beliau merangkul lima pingat emas secara keseluruhannya menerusi penampilannya dalam Kejohanan Atletik Antarabangsa Masters Filipina, Kejohanan Atletik Antarabangsa Masters Johor-Singapura dan Kejohanan Atletik Masters Hong Kong.

Kejohanan Masters ini khusus untuk atlet berusia 35 tahun ke atas.

Setiap penyertaan Encik Reza dalam kejohanan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh beliau sendiri, termasuk yuran pertandingan, kos penerbangan dan penginapan.

Selain bertanding, Encik Reza juga aktif sebagai anggota jawatankuasa Persatuan Balapan dan Padang Masters Singapura (SMTFA).

TIDAK ABAIKAN PERNIAGAAN FOTOHI CARPET GALLERY MESKI ADA TANGGUNGJAWAB SEBAGAI ATLET

Walaupun jadualnya padat, Encik Reza tetap tidak mengabaikan tanggungjawabnya mengendalikan perniagaan Fotohi Carpet Gallery.

Encik Reza percaya tiada yang mustahil dapat dicapai jika berbekalkan disiplin, prinsip yang sama digunakannya baik dalam perniagaan mahupun sukan.

"Saya punya latihan pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat (di Stadium Home of Athletics). Dari 8.30 sampai 10.30 pagi. Kadang-kadang, pada Ahad petang juga. Selepas saya habis latihan, kemudian saya datang kerja. Saya akan bertugas dari 11.00 pagi. Setiap hari, saya buka kedai sendiri jam 11.00 pagi," kongsinya.


Beliau bersyukur atas sokongan keluarga dan para pekerja yang memudahkannya mengimbangi kedua-dua dunia.

"November dan Disember selalu waktu pertandingan. Alhamdulillah, saya ada orang baik kerja di Fotohi Carpet Gallery, (bahkan) jaga kedai lagi bagus daripada saya. Anak kedua saya juga membantu, pikul segala tugas," jelas bapa kepada empat orang anak itu.

HARAPAN REZA FOTOHI SEBAGAI SEORANG ATLET

Encik Reza bakal beraksi dalam Kejohanan Olahraga Masters Asia yang akan berlangsung di India bulan depan, sebagai sebahagian daripada kontinjen Singapura yang terdiri daripada sekitar 40 atlet.

Bagi Encik Reza pengalaman bertanding pada usia 50-an bukan sekadar soal pingat, tetapi juga tentang persahabatan dan semangat kebersamaan.

"Setiap pertandingan, kita cari kawan baharu. Sekarang saya ada ramai kawan dari negara lain; Hong Kong, Taiwan, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Filipina. Rasa macam kita muda lagi. Macam anak muda dengan banyak tenaga untuk berjumpa ramai kawan, punya semangat untuk bersaing," katanya.

Seperti dalam dunia perniagaan, Encik Reza tidak pernah menganggap usia sebagai penghalang untuk mengecapi segala yang diimpikan.

"Saya tidak mahu berhenti. Saya mahu teruskan sehingga saya tidak boleh melakukannya lagi. Saya harap untuk teruskan untuk 20, 30 tahun lagi. Terus berlatih dan bersaing. InsyaAllah."

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita