Dari kuih tradisional ke kek perkahwinan: Tiga beranak ini cipta kejayaan dengan kepakaran tersendiri

Tiga beranak yang semuanya peniaga kuih dan kek, namun dalam kepakaran mereka tersendiri. Pengasas Mama Lait (dari kiri) Cik Nur Aqilah Azura, pengasas Asiah's Tarts iaitu ibunya, Cik Asiah Sabtu, dan adiknya Cik Nur Atherah Atika yang merupakan pengasas Athereal Bakery. (Gambar: BERITA Mediacorp/ Nur Syafeera, dan Nur Atherah Atika)
SINGAPURA: Pepatah ke mana tumpahnya kuah, kalau bukan ke nasi, memang sering digunakan bila adanya kesamaan antara anak dengan ibu atau ayah.
Bagi Cik Asiah Sabtu, 60 tahun, dan dua anaknya Nur Aqilah Azura, 37 tahun dan Nur Atherah Atika, 33 tahun, ia memang sudah lama diakui.
Ketiga-tiga anak beranak itu berniaga kuih dan kek, meskipun masing-masing dengan kepakaran tersendiri.
CIK ASIAH PENGASAS ASIAH'S TARTS, PAKAR KUIH TRADISIONAL SEJAK 1990-AN
Bermula sejak tahun 1990-an, Cik Asiah Sabtu merupakan pengasas Asiah's Tarts yang berniaga kuih tradisional, khususnya biskut raya.
Berkongsi cerita tentang bagaimana beliau mula perniagaannya, Cik Asiah berkata " Saya tengok mak mertua saya. Arwah itu buat kuih tart macam senang sahaja (tetapi) itu apabila saya tengok sahaja. Saya tak belajar dengan dia, tetapi saya tengok cara dia buat. Perlahan-lahan saya belajar sendiri."
Bermula dengan 'tengok-tengok' dan kemudiannya mencuba serta berlatih sendiri, kuih tart nanasnya kini antara kuih yang paling popular ditempah setiap menjelangnya Hari Raya.
Bahkan, dari nama perniagaannya, iaitu Asiah's Tarts, sudah jelas kuih mana yang menjadi kepakaran Cik Asiah.

ANAK KETIGA CIK ASIAH, ATHERAH, YANG PERTAMA IKUT JEJAK IBU NIAGA KUIH
" Pada bulan Ramadan selalunya saya lihat ibu saya buat kuih raya untuk ahli keluarga. Saya perhatikan cara ibu siapkan bahan-bahan, di mana beliau beli bahan-bahan dan cara beliau fokus membuat kuih, " kongsi Atherah, pengasas Athereal Bakery.
Sejak zaman sekolah lagi, Cik Atherah rajin melibatkan diri dalam jualan kuih atau 'Bake Sale' di mana beliau akan menjual kek cawan, muffin dan sebagainya.

Perjalanannya dalam membuat kek perkahwinan bermula ketika seorang rakan sekolahnya meminta Cik Atherah membuatkan kek untuk majlisnya. Seperti ibunya juga, beliau perlahan-lahan belajar sendiri dan membuat kajian online untuk memenuhi impian rakannya itu.
Beliau mula mengendalikan Athereal Bakery sepenuh masa pada tahun 2018. Setakat ini, beliau sudah hasilkan ribuan tempahan kek.
"Perisa kek yang paling popular adalah kek yang ada asas perisa 'French Vanilla', bersama inti limau dan buah beri biru disalutkan dengan krim keju berperisa 'maple', " kongsi Cik Atherah, yang juga rajin hadiri kelas membuat kek kendalian pakar antarabangsa.
Kek paling tinggi pernah beliau hasilkan setinggi empat tingkat.
Di Instagram sahaja, akaun Instagram Athereal Bakery punyai lebih 10,000 pengikut.
Memandangkan Cik Atherah rajin kongsi hasil air tangannya di akaun tersebut, ia berjaya menambat hati ramai pelanggan atau pengikut.

"Apabila saya ada pertunjukan kek untuk acara-acara berkaitan majlis perkahwinan dan saya hasilkan kek kahwin sendiri tanpa pertolongan siapa-siapa, saya akan meminta bantuan kakak atau adik saya untuk turut serta, " kongsi Cik Atherah.
Kongsinya juga, "Kami ada kepakaran yang berbeza. Kakak saya Aqilah tidak mahir membuat kek, saya pula tidak mahir membuat cookies, tanpa kami bantu satu sama lain. "
NUR AQILAH AZURA PENGASAS MAMA LAIT, SEDIAKAN KUIH KHAS BUAT IBU MENYUSU
Mama Lait ditubuhkan pada tahun 2016 ketika Cik Aqilah baru sahaja melahirkan anaknya yang kedua dan beliau membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai seorang guru prasekolah.

Seperti adiknya juga, minat Cik Aqilah juga datang daripada melihat ibunya di dapur sejak kecil lagi. Kongsinya lagi, ibunya tidak pernah menghalang mereka daripada bereksperimen di dapur.
" Setelah berhenti kerja, saya rasa bosan di rumah. (Dari situ) yang cadangkan saya buat semua ini adalah adik saya, Atherah. Saya pun suka buat kuih. Saya dapati tidak banyak kedai yang menjual kuih untuk tambah susu badan seperti biskut atau brownies. Jadi saya cuba," kongsi Cik Aqilah tentang permulaan perniagaannya itu.
Dari situ, beliau mulakan perniagaannya online di Instagram dengan menawarkan brownies untuk ibu-ibu berpantang. Setakat ini, pengikut Mama Lait di Instagram mencecah hampir 10,000 orang.
Kelainan dalam kuihnya adalah dalam bahan-bahan yang digunakan seperti bijirin flaxseed, oat, spirulina dan lainnya yang bermanfaat untuk ibu menyusu.
"Sebenarnya saya lakukan banyak percubaan dan mengalami kesilapan (trial and error) dalam menyesuaikan resipi. Saya cuba untuk dapatkan resipi yang lebih mudah untuk dimakan atau dinikmati.

" Kebanyakan orang ingat yang kuih laktasi ini hanya untuk para ibu. Sebenarnya, ia pengganti yang lebih baik berbanding biskut biasa di luar sana kerana ia mengandungi pelbagai bahan yang berkhasiat. Bagi saya, saya sering beri anak-anak saya biskut yang saya sediakan kerana ada lebih nutrisi, " tambah Cik Aqilah.
Atas usahanya itu, Mama Lait diberi kedudukan tiga teratas sebagai perniagaan kuih untuk ibu berpantang oleh syarikat blog makanan halal, HalalFoodHunt.
" Saya amat berterima kasih kepada keluarga saya atas sokongan mereka, " katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.