Dari keretakan hingga hakisan: Bagaimana merinyu kesan kecacatan bangunan di SG
Kecacatan bangunan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk keretakan, hakisan dan konkrit mengelupas.
Bangunan-bangunan di kawasan pusat bandar SG pada 12 Februari 2026. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
- BCA di Singapura mengawal selia pemeriksaan keselamatan bangunan melalui rejim berkala, melibatkan jurutera, pemilik bangunan dan syarikat seperti CapitaLand.
- Pemeriksaan menggunakan kaedah fizikal, dron, AI, dan robot untuk mengesan kecacatan struktur dan fasad, serta menilai tahap keseriusan masalah.
- Insiden runtuhan di Taman Perindustrian Toa Payoh pada Januari 2025 menekankan kepentingan pemeriksaan dan larangan binaan tanpa kebenaran.
- BCA sentiasa mengemas kini garis panduan pemeriksaan, menggalakkan pemeriksaan awal, dan menyesuaikan keperluan mengikut usia serta jenis bahan bangunan untuk keselamatan jangka panjang.
Cabaran bagi merinyu ialah menentukan sama ada kecacatan itu kecil atau petanda masalah yang lebih serius.
Selain menjalankan pemeriksaan fizikal, mereka turut menggunakan dron untuk mengimbas fasad bangunan dan kamera kecil bagi meneliti komponen struktur yang tersembunyi.
BAGAIMANA BANGUNAN DIPERIKSA
Penguasa Bangunan dan Binaan, BCA, yang mengawal selia keselamatan bangunan di SG, mempunyai dua rejim pemeriksaan.
Satu daripadanya meliputi keadaan struktur bangunan, manakala satu lagi memberi tumpuan kepada fasad.
Di bawah rejim Pemeriksaan Struktur Berkala, bangunan bukan kediaman perlu diperiksa setiap lima tahun.
Bangunan kediaman yang tertakluk kepada rejim itu pula perlu diperiksa setiap 10 tahun.
Pemeriksaan tersebut tidak merangkumi rumah berhalaman dan bangunan sementara.
Para jurutera menilai komponen struktur penting seperti asas, tiang, rasuk dan lantai bagi mengesan tanda kecacatan atau kemerosotan.
Menurut data BCA, lebih 600 bangunan didapati mempunyai kecacatan struktur setiap tahun antara 2023 hingga 2025.
Ia melibatkan lebih 7,000 bangunan yang diperiksa setiap tahun.
BCA menambah, tindakan pembaikan segera diambil dalam kes-kes tersebut.
Secara keseluruhan, sekitar 91% bangunan yang diperiksa dalam tempoh tiga tahun itu sama ada tiada kecacatan atau hanya mengalami kecacatan kecil.
Kecacatan kecil yang biasa berlaku termasuk keretakan pada lapisan lepa dan resapan air.
Masalah lebih serius pula boleh melibatkan hakisan dan konkrit mengelupas.
Sementara itu, pemeriksaan fasad diwajibkan setiap tujuh tahun bagi bangunan yang berusia lebih 20 tahun dan berketinggian melebihi 13 meter.
Masalah kecil pada fasad termasuk keretakan halus dan cat yang mengelupas.
Kecacatan yang lebih serius pula boleh melibatkan konkrit mengelupas dan panel kemasan yang longgar, yang memerlukan kerja pembaikan.
Pemeriksaan berkala bertujuan mengesan kecacatan pada peringkat awal supaya kerja pembaikan boleh dijalankan sebelum masalah menjadi lebih buruk.
Teknologi seperti dron dan kecerdasan buatan, AI, boleh menyokong pemeriksaan bangunan selain pemeriksaan fizikal.
Jurutera kanan utama Lee Hon Leong dari Lee Consultants berkata dron boleh digunakan untuk mengambil gambar fasad bangunan.
Ini membolehkan jurutera memeriksa kawasan yang sukar dicapai.
Menurutnya, ribuan gambar boleh diambil dalam satu pemeriksaan, manakala AI boleh digunakan untuk mengenal pasti lebih 90% kecacatan.
Kecacatan yang berpotensi kemudiannya ditandakan untuk pemeriksaan fizikal.
Jika perlu, pemeriksa fasad menggunakan kaedah akses tali, lif gunting atau lif boom untuk menjalankan penilaian secara fizikal.
Contohnya, kesan air atau karat mungkin menandakan kelembapan sudah memasuki sebahagian struktur bangunan.
Keretakan juga berbeza dari segi tahap keseriusannya.
Pemeriksa perlu menentukan sama ada keretakan itu hanya berlaku pada lapisan lepa atau menjejas konkrit bertetulang.
“Cat yang mengelupas mungkin perkara biasa bagi bangunan yang menggunakan lapisan lepa simen. Namun, terdapat kes yang sebenarnya lebih serius daripada sekadar cat mengelupas,” katanya.
Selepas pemeriksaan, pemeriksa akan menyediakan senarai kecacatan dan tahap keseriusannya.
Jika kecacatan itu boleh menyebabkan serpihan jatuh, cadangan serta kaedah pembaikan akan diberikan kepada pemilik bangunan.
Teknologi turut membantu pemeriksa meneliti bahagian bangunan yang tersembunyi.
Sebagai contoh, boreskop, iaitu kamera kecil yang boleh dimasukkan ke ruang tersembunyi, boleh digunakan untuk memeriksa komponen struktur di sebalik papan atau panel kemasan.
Tiga orang, termasuk dua kanak-kanak, terperangkap dalam kejadian itu.
Mereka diselamatkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
BCA kemudiannya menyatakan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang permohonan untuk pemasangan pelantar keluli dan sistem rak tersebut.
Encik Lee berkata tambahan binaan tanpa kebenaran antara perkara yang diperiksa jurutera.
Ini terutama sekali bagi bangunan perindustrian yang mungkin menanggung beban besar akibat penggunaan mesin berat.
Namun, beliau menyatakan bangunan-bangunan di SG secara amnya diselenggara dengan baik.
PEMILIK BANGUNAN DIGESA JALANKAN PEMERIKSAAN AWAL
BCA turut menggalakkan pemilik memeriksa dan menyelenggara bangunan mereka antara tempoh pemeriksaan wajib.
CapitaLand, misalnya, menggunakan robot perayap sebagai sebahagian daripada pemeriksaan tahunan di beberapa ruang yang sukar dicapai di atas siling.
Robot itu boleh bergerak di ruang siling dan memberikan imej serta data secara langsung untuk dianalisis.
Syarikat tersebut menyatakan pemeriksaan tambahan itu melengkapi pemeriksaan yang diwajibkan pihak berkuasa.
Ia juga membantu memastikan bangunan kekal selamat apabila semakin berusia.
Pemeriksaan seumpama itu boleh membantu mengurus kos penyelenggaraan dalam jangka panjang.
Pengarah kumpulan daya tahan bangunan BCA, Thanabal Kaliannan, berkata pemeriksaan awal membolehkan kecacatan dikenal pasti dan dibaiki sebelum menjadi lebih serius.
PEMERIKSAAN DISESUAIKAN DENGAN PERKEMBANGAN BANGUNAN
Keperluan pemeriksaan BCA turut berubah selaras dengan penggunaan kaedah pembinaan baharu dan lebih banyak jenis bahan binaan.
Bahan yang berbeza mungkin memerlukan kaedah pemeriksaan yang berbeza.
Sebagai contoh, pengimbas dan boreskop boleh digunakan untuk memeriksa kawasan tersembunyi dalam bangunan yang dibina menggunakan modul pasang siap.
Pertimbangan tersebut dimasukkan ke dalam senarai semak dan garis panduan pemeriksaan untuk jurutera.
Faktor lain ialah usia bangunan.
Bangunan lama mungkin memerlukan pemeriksaan yang lebih menyeluruh apabila bahan binaan mula merosot dari semasa ke semasa.
BCA menyatakan peraturannya dikemas kini sekurang-kurangnya setiap tiga tahun.
Garis panduan tambahan juga akan dikeluarkan jika perlu.
Pihak berkuasa itu akan terus bekerjasama dengan pemilik bangunan dan jurutera melalui sesi dialog serta latihan bagi memperkukuh keupayaan mereka menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaraan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.