Dari kematian anggota NS ke berita palsu: Ini 8 isu hangat di Parlimen pada 2019 yang wajar anda tahu
Sepanjang tahun lalu, lebih 200 laporan diterbitkan BERITA mengenai isu-isu yang dibangkitkan di dalam dewan itu. Kita imbas kembali beberapa isu yang dibahaskan di Parlimen sepanjang 2019.
SINGAPURA: Kepalsuan online yang disengajakan, kematian anggota Perkhidmatan Negara (NS) dan sistem aliran sekolah adalah antara tiga tajuk utama yang dibahaskan di Parlimen Singapura pada 2019.
Sepanjang tahun lalu, lebih 200 laporan diterbitkan BERITA mengenai isu-isu yang dibangkitkan di dalam dewan itu.
Kita imbas kembali beberapa isu yang dibahaskan di Parlimen sepanjang 2019.
KEPALSUAN ONLINE DISENGAJAKAN
Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) diluluskan pada Mei selepas perbahasan selama dua hari yang berlarutan lebih dari 14 jam.
Dilakar untuk menangani kepalsuan online yang disengajakan, ia diluluskan dengan undian majoriti 72 menyokong berbanding sembilan menolak, dengan tiga Anggota Parlimen Dilantik (NMP) mengundi berkecuali.
Para anggota pembangkang Parti Pekerja mengundi untuk menolak Rang tersebut.
Para anggota parlimen melahirkan kebimbangan, penakrifan kepalsuan mungkin terlalu luas dan tidak jelas lantas mempunyai kesan menakutkan orang daripada menyuarakan pendapat mereka.
POFMA sudah digunakan sebanyak empat kali sejak ia dikuat kuasakan pada Oktober.
PMD DILARANG DI LALUAN PEJALAN KAKI
Alat Mobiliti Peribadi (PMD) dibahaskan secara meluas di Parlimen pada 2019.
Kementerian Pengangkutan pada Mei menyatakan tiada rancangan untuk melarang penggunaan PMD di laluan pejalan kaki.
Pada Ogos, diumumkan bahawa kesemua 15 majlis bandaran yang ditadbir Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan mengharamkan penggunaan PMD di kolong blok dan koridor flat untuk meningkatkan keselamatan laluan awam.
Pada 4 November, Pemerintah mengumumkan larangan penggunaan skuter elektrik (e-skuter) di laluan pejalan kaki bermula keesokan harinya. Pesalah akan didenda sehingga S$2,000 dan penjara sehingga tiga bulan apabila larangan dikuat kuasakan 1 Jan 2020.
SISTEM ALIRAN SEKOLAH
Pendekatan sedia ada bagi proses aliran di peringkat sekolah menengah dimansuhkan secara berperingkat menjelang 2024. Di bawah perubahan tersebut, para pelajar sekolah menengah tidak lagi akan dimasukkan ke aliran Ekspres, Normal (Akademik) atau Normal (Teknikal).
"Dalam bentuk asalnya, proses pengaliran adalah berdasarkan andaian bahawa para pelajar perlukan rentak pembelajaran tertentu bagi semua mata pelajaran, namun hakikatnya ramai pelajar mempunyai kekuatan berbeza-beza bagi mata pelajaran yang berbeza," kata Menteri Pendidikan Ong Ye Kung di Parlimen.
"Lebih penting lagi, memasuki aliran yang dianggap 'lebih rendah' boleh membawa stigma tertentu yang menyebabkan hal itu menjadi nyata dan membatasi diri pelajar," tambah beliau.
KEMATIAN NS
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menekankan lagi tumpuannya pada keselamatan menyusuli kematian empat anggota NS semasa latihan dalam tempoh 17 bulan.
Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How pada Mac berkata para komander sudah menyemak semula secara menyeluruh pelan pengurusan keselamatan dan "rentak latihan".
Ini setelah Menteri Pertahanan Ng Eng Hen memberitahu Parlimen beliau "meminta maaf sedalam-dalamnya" atas kematian-kematian tersebut dan bahawa MINDEF serta SAF akan dipertanggungjawabkan ke atas setiap anggota NSman.
DOXXING
Tindakan doxxing, yang melibatkan maklumat peribadi seseorang diterbitkan dengan niat mengganggunya, dijadikan satu jenayah di bawah pindaan Akta Perlindungan dari Gangguan (POHA) pada Mei.
Semasa membahaskan pindaan tersebut, para AP berhujah bahawa tindakan mengambil tindakan keadilan di wadah online tanpa mengikut undang-undang, menceroboh hak peribadi seseorang selain menjejas kesihatan fizikal, mental dan kewangan mereka, selain kadang-kalanya menjejas individu yang salah.
Satu contoh 'online vigilantism' baru-baru ini adalah perbalahan melibatkan seorang pemandu Gojek dan penumpangnya, yang dirakam dan dimuat naik online.
MENGHUKUM KESALAHAN SEKSUAL
Isu bagaimana kes kesalahan seksual dikendalikan universiti tempatan mendapat perhatian setelah pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS) Monica Baey mendedahkan beliau menangkap seorang pelajar lain merakamnya semasa sedang mandi di asrama.
Hukuman yang dikenakan NUS ke atas pesalah itu berbetuk amaran bersyarat 12 bulan, namun Cik Baey merayu agar hukuman lebih berat dikenakan.
Menteri Pendidikan Ong Ye Kung mendedahkan terdapat 56 kes disiplin berhubung kesalahan seksual di enam universiti autonomi di Singapura sepanjang tiga tahun akademik yang lalu.
KEBOCORAN DATA HIV
Pada Januari dikhabarkan bahawa status positif HIV 14,200 orang dibocorkan online, berserta maklumat peribadi mereka. Data itu dibocorkan oleh rakyat Amerika Syarikat Mikhy Farrera Brochez.
Sebulan kemudian, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong membidas dakwaan bahawa kementeriannya cuba "menyembunyikan insiden" tersebut.
EHWAL KEWANGAN AHTC
Para menteri PAP membentangkan beberapa sebab mengapa anggota pembangkang Encik Low Thia Khiang dan Cik Sylvia Lim patut mengecualikan diri mereka daripada ehwal kewangan berhubung Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC).
Ini menyusuli satu keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober yang menetapkan Encik Low dan Cik Lim sebagai "bertindak secara tidak jujur dan mencabuli tanggungjawab fidusiari mereka" dalam melantik FM Solutions and Services sebagai ejen pengurusan AHTC.
Timbalan Perdana Menteri membentangkan usul pada 5 November di Parlimen yang menyeru para AP Parti Pekerja itu mengecualikan diri mereka, dan menyatakan itu yang "sekurang-kurangnya boleh mereka lakukan".
Ketua Parti Pekerja Pritam Singh berkata Parlimen "digunakan secara pramatang" untuk membahaskan pengecualian itu, sambil menegaskan kes tersebut belum lagi diselesaikan dan ruang rayuan ketika itu masih terbuka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.