Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dari kelong ke Istana: Jamuan negara upacara angkat sumpah tampil bahan makanan tempatan

Negarawan dan anggota parlimen akan dapat menikmati bahan-bahan makanan tempatan semasa jamuan makan malam di Istana pada Rabu (15 Mei) sempena meraikan Perdana Menteri baharu Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Negarawan dan anggota parlimen akan dapat menikmati bahan-bahan makanan tempatan semasa jamuan makan malam di Istana pada Rabu (15 Mei) sempena meraikan Perdana Menteri baharu Singapura.

Encik Lawrence Wong, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-empat negara pada pukul 8.00 malam, bersama Barisan Menteri Kabinet beliau. Jamuan malam negara itu akan diadakan selepas upacara angkat sumpah jawatan tersebut.

Bahan-bahan tempatan, termasuk ikan, produk ayam itik dan sayur-sayuran, bakal menjadi sajian utama dalam kira-kira 20 hidangan, yang dihidangkan secara bufet serta makanan lain oleh lima penjaja.

Salah satu perniagaan yang menyumbang makanan di acara itu adalah The Fish Farmer, iaitu ladang ikan seluas 6.5 hektar di Pulau Ubin.
Kelong itu - iaitu platform luar pesisir yang dibina untuk menternak ikan - boleh menternak kira-kira 3,00 ikan setiap hari bagi restoran dan pasar raya, termasuk kakap putih (barramundi), siakap (sea perch), belanak (fish mullet) dan bandeng (milkfish).

Sepanjang minggu lalu, ladang itu bersiap sedia untuk membekalkan lebih 200 ikan merah yang diternak di laut tempatan bagi acara tersebut.

Sejak 2007, firma itu melabur dalam kajian untuk memastikan ikan-ikannya ada ruang dan masa mencukupi untuk membesar, di samping bergantung kepada arus untuk membawa zat semula jadi dan oksigen.

Pengasasnya Malcon Ong berkata undangan untuk menyertai acara penting seperti itu memberi penternak tempatan sepertinya dorongan di peringkat nasional.

"Ini sangat menggalakkan bagi saya dan peladang tempatan lain kerana makanan tempatan kita perlahan-lahan diterima, dan kami berharap seluruh Singapura akan terus menyokong makanan tempatan," kata beliau.

Para peladang menjala ikan merah di kelong The Fish Farmer di Pulau Ubin.

Selepas itu, ikan tersebut segera dibungkus untuk dimasukkan ke dalam kotak penyejuk yang diisi dengan air batu dan dihantar ke dapur di hotel Parkroyal Collection Pickering, di mana persediaan besar-besaran sedang dijalankan.

Selain ikan dari Pulau Ubin, berkotak-kotal makanan segar lain seperti telur, udang, taugeh dan sayuran lain juga diambil dari ladang-ladang di merata negara.

Ikan merah itu akan digunakan untuk masakan ikan tandoori, sementara taugeh ditampilkan dalam hidangan tauhu goreng. Udang pula akan digunakan untuk vadai dan telur digunakan bagi pastri Perancis sebagai pencuci mulut.

Hidangan-hidangan lain yang menggunakan bahan tempatan termasuk nasi lemak, popiah, mi udang, roti john, salada itik panggang, mi siam 'vegetarian' dan beraneka kuih.

PERSIAPAN JAMUAN

Hidangan bagi jamuan negara itu diselia oleh Cef Eksekutif Parkroyal Collection Pickering, Alvin Leong, yang memimpin sepasukan sekitar 50 tukang masak.
Beliau perlu merancang dengan baik bagi menu yang seimbang, demi memastikan terdapat pelbagai protein, kanji dan sayuran mencukupi untuk semua tetamu.

Encik Leong juga menyelaraskan penghantaran dari pembekal ke hotel. Beliau berkata penting untuk fokus mengekalkan kesegaran bahan-bahan sepanjang penghantaran dan penyimpanan dengan mematuhi standard prosedur ketat.

Selain itu, Encik Leong memastikan terdapat kakitangan mencukupi dan peralatan dapur memuaskan.

Persediaan bagi acara jamuan itu sudah bermula sejak tiga hari lalu, dengan kakitangan menghiris dan memerap bahan-bahan yang diperlukan untuk menyiapkan menu yang mencerminkan identiti berbilang budaya Singapura.

"Kami akan menyediakan bahan-bahan - memotong, menghiris, memerap dan menyimpannya dengan baik. Pada hari jamuan, kami akan masak. Sebaik sahaja makanan siap, ia akan ditutup rapi dan dihantar ke Istana," kata beliau.

Di Istana, Cef Leong akan menjalankan pemeriksaan rapi ke atas setiap hidangan demi memastikan mutu, kebersihan dan keselamatan makanan terpelihara mengikut panduan keselamatan makanan.

SOKONG LADANG TEMPATAN

Encik Leong berkata para peladang dimaklumkan lebih awal tentang jumlah besar tempahan supaya mereka ada masa mencukupi untuk membuat perancangan dan memastikan bekalan mencukupi dan boleh dituai apabila tiba masanya.

"Bahan makanan yang ditanam atau diternak dalam negara menawarkan kesegaran luar biasa memandangkan ia dituai dan dihantar tepat pada masanya ke dapur - semuanya dalam Singapura, sekali gus mempertingkat mutu dan rasa hidangan," kata beliau.

Beliau menambah langkah mendapatkan bahan-bahan sedemikian memperkukuh jalinan hubungan masyarakat dengn menyokong perniagaan tempatan, dan menyumbang kepada sekitaran berdaya mampan dengan mengurangkan pengeluaran karbon yang dijana menerusi pengangkutan.
Sumber : CNA/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan