Dari jururawat hingga pemandu galeri, sukarelawan manfaat kemahiran bantu perkukuh pertahanan SG
Encik Xie Zheng (kiri) dan Cik Norafida (kanan) merupakan antara sukarelawan di bawah Rangkaian Sukarelawan Pertahanan Singapura.
SINGAPURA: Pertahanan negara bukan hanya tanggungjawab mereka yang menyarung seragam.
Menerusi Rangkaian Sukarelawan Pertahanan Singapura, lebih ramai individu daripada pelbagai latar belakang berpeluang menyumbang berdasarkan kemahiran, minat dan ketersediaan masing-masing.
Rangkaian itu menyelaras usaha sukarelawan merentas ekosistem pertahanan, termasuk Pasukan Sukarelawan Angkatan Bersenjata Singapura (SAFVC) dan Defence Collective Singapore (DCS).
Antara sukarelawan DCS ialah Encik Xie Zheng, seorang warga China yang menetap di Singapura.
Beliau menjadi pemandu sukarela di Singapore Discovery Centre (SDC) sejak 2023, dengan membawa pengunjung menyusuri kisah pertahanan dan perjalanan Singapura sebagai sebuah negara.
Bagi Encik Xie, pengalaman itu turut memberinya peluang untuk mengenali Singapura dengan lebih dekat.
“SDC agak unik kerana galerinya menceritakan tentang pertahanan dan kisah ketenteraan, serta bagaimana negara ini dibangunkan.
“Saya rasa ia menarik bagi saya untuk mengenali negara ini. Sebagai sukarela, kita bukan sahaja berkongsi kisah, tetapi juga belajar daripada mereka yang berkunjung ke sini,” katanya.
Encik Xie menjalankan lawatan berpandu dalam bahasa Inggeris dan Mandarin, selain membantu menterjemahkan skrip lawatan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Mandarin.
Penglibatannya juga memperluas pemahamannya tentang pertahanan.
Sebelum menjadi sukarelawan, beliau menganggap pertahanan lebih tertumpu kepada aspek ketenteraan dan pertempuran.
“Saya fikir pertahanan lebih kepada pertempuran tentera, seperti memegang senapang. Tetapi sebenarnya pada waktu aman, ia juga melibatkan pengurusan data dan bagaimana kita hidup secara aman dengan masyarakat yang berbeza,” katanya.
MANFAATKAN KEPAKARAN SEBAGAI JURURAWAT
Bagi Cik Norafida Ismail pula, kerjayanya sebagai jururawat membuka ruang untuk beliau menyumbang secara langsung kepada SAFVC.
Sebagai sukarelawan SAFVC beliau antara yang menyumbang secara langsung kepada keamanan dan keselamatan Singapura bersama anggota SAF menerusi pelbagai peranan operasi dan sokongan.
Jururawat berusia 48 tahun itu berkhidmat sebagai jurulatih perubatan, dengan pengalaman klinikalnya dimanfaatkan dalam latihan perubatan SAF.
“SAFVC merupakan satu lanjutan semula jadi bagi saya kerana saya seorang jururawat, jadi saya rasa ia adalah satu lanjutan yang sungguh bermakna untuk saya,” kata Cik Norafida.
Pengalamannya bersama SAFVC turut mengubah tanggapannya tentang pertahanan negara.
“Saya rasa pada mulanya jangkaannya adalah pertahanan setakat yang memakai seragam atau uniform, tapi setelah menyertai SAFVC saya rasa skopnya lebih luas daripada itu.
“Kami daripada SAFVC merangkumi pelbagai peranan. Saya rasa kami saling mempelajari daripada satu sama lain,” katanya.
Namun, menyumbang sebagai sukarelawan sambil meneruskan kerjaya sepenuh masa memerlukan beliau menguruskan masa dengan baik.
Selain tugas klinikal, Cik Norafida perlu menyesuaikan jadualnya dengan tugasannya dengan SAFVC, termasuk di Kem Nee Soon dan Pulau Tekong.
“Kalendar saya sungguh penuh. Jadi banyak masa perlu dikendalikan untuk saya membahagikan tanggungjawab sepanjang hari,” katanya.
LEBIH BANYAK PELUANG MENYUMBANG
Pemerintah sebelum ini mengumumkan rancangan untuk menggandakan jumlah sukarelawan pertahanan tentera kepada 3,000 dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
Sekitar 400 peranan baharu bagi orang awam juga akan diperkenalkan merentas 10 skim sukarelawan di bawah rangkaian tersebut.
Dengan peranan yang disesuaikan mengikut kemahiran, minat dan ketersediaan, rangkaian tersebut bertujuan membolehkan lebih ramai memainkan peranan dalam pertahanan Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.