Dari jeriji besi ke kanvas, pesalah dadah lakar lembaran baharu menerusi seni
- Pesta Seni Masyarakat Reben Kuning (YRCAF) di Singapura menampilkan lebih 60 karya seni oleh banduan, bekas pesalah dan keluarga mereka, dengan tema "We Are Each Other’s Second Chances".
- Pameran ini dianjurkan untuk menonjolkan pentingnya peluang kedua dan sokongan masyarakat dalam proses pemulihan pesalah.
- Mohd Yazid Mohd Noor, bekas pesalah dadah, berkongsi bagaimana seni membantunya merenung kesilapan dan membina semula kehidupan semasa dan selepas penjara.
- Pameran yang dilancarkan oleh Menteri Josephine Teo di One Holland Village berlangsung sehingga 20 Ogos, dan sejak 2007 telah memberi peluang kepada lebih 400 banduan menonjolkan bakat seni mereka.
SINGAPURA: Buat pertama kalinya, karya seni yang dihasilkan bersama oleh banduan, bekas pesalah dan anggota keluarga mereka mewarnai Pesta Seni Masyarakat Reben Kuning (YRCAF) tahun ini.
Pesta itu merupakan sebahagian daripada usaha mengetengahkan pentingnya peluang kedua serta sokongan masyarakat dalam membantu golongan pesalah membina semula kehidupan.
Bertemakan “We Are Each Other’s Second Chances”, edisi tahun ini menampilkan lebih 60 karya seni oleh 38 banduan dan bekas pesalah.
Kraf tangan yang dipamerkan termasuk tiga karya kolaboratif yang melibatkan keluarga serta pelbagai rakan kongsi masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur YRCAF 2026, Superintenden Penjara (SUPT) Mohammed Fadly Safie, berkata tema tahun ini mencerminkan semangat Reben Kuning dan hakikat bahawa proses pemulihan memerlukan sokongan dua hala.
"Setiap karya seni ada kisah tersendiri. Bukan sahaja kreativiti, tetapi kemajuan diri dan harapan. Seni memberi ruang selamat kepada para banduan untuk meluahkan perasaan, belajar kemahiran baharu dan mencari semula hala tuju hidup mereka. Bila kita beri peluang kepada mereka ,kita bantu mereka untuk tabur bakti dan bina masyarakat bersatu padu," kata beliau.
DADAH MENJERUMUSKAN, SENI MENYELAMATKAN
Bagi salah seorang pesalah dadah, Mohd Yazid Mohd Noor, 59 tahun, seni yang dihasilkannya mencerminkan perjalanan peribadinya — daripada kesilapan dan penahanan, kepada usaha membina semula kehidupan.
Dadah pernah menjerumuskan Yazid ke titik paling gelap dalam hidupnya.
Tembok tahanan menjadi teman setianya sejak lebih 10 tahun lalu.
Namun, daripada sekadar memeluk tubuh, Yazid sebaliknya cuba mencari erti hidup untuk membuka lembaran baharu.
Mujur bagi Yazid, dia berjaya menemukan satu wadah untuk berbuat demikian, iaitu seni.
Seni membuka ruang untuk dia merenung kesilapan, meluahkan emosi dan mula membayangkan masa depan yang berbeza.
Yazid berkata: "Dengan melukis, saya rasa tenang semasa di dalam penjara. Ia menanamkan sifat kesabaran dalam diri saya. Bila kita buat satu lukisan itu kita perlu buat persiapan dahulu dan kita akan melaksanakan, habiskannya dengan penuh dedikasi dan semangat."
"Sifat ini, boleh saya bawa bila keluar nanti. Bila saya ingin tinggalkan tabiat, ini boleh saya bawa dalam diri saya. Apa yang saya ingin capai dalam kehidupan, saya perlu buat persiapan, semoga dapat capai apa yang saya inginkan dalam kehidupan," tambahnya lagi.
Semasa hukuman penjaranya antara 2014 hingga 2017, Yazid banyak meluangkan masa di Hab Visual Seni (VAH).
Di sebalik kanvas dan karya seni, Yazid mula menilai semula pilihan yang pernah dibuatnya.
Kini, Yazid sedang menjalani program berasaskan masyarakat di sebuah rumah peralihan tempatan.
Yazid berharap karya-karyanya dapat membuka mata masyarakat tentang pentingnya peluang kedua serta sokongan terhadap usaha bekas pesalah untuk kembali menjadi sebahagian daripada masyarakat.
Pameran seni itu yang dilancarkan oleh Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Josephine Teo, diadakan di One Holland Village sehingga Khamis (20 Ogos).
Sejak dilancarkan pada 2007, pesta seni itu telah memberikan peluang kepada lebih 400 banduan mengetengahkan bakat mereka dalam seni dan kraf tangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.