Skip to main content

Singapura

Dari gelombang haba ke kenaikan paras laut: SG bentang pelan penyesuaian iklim

Anggaran Waktu Membaca:
 Dari gelombang haba ke kenaikan paras laut: SG bentang pelan penyesuaian iklim
Gambar fail. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)
Diterbitkan : 03 Mar 2026 10:13PM Dikemas Kini : 03 Mar 2026 10:19PM
SINGAPURA: Singapura sudah membentangkan Pelan Penyesuaian Nasional yang pertama, merangkumi daya tahan terhadap haba, perlindungan banjir, benteng pantai, serta jaminan keselamatan air dan makanan.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu, yang mengisytiharkan 2026 sebagai Tahun Penyesuaian Iklim, menggariskan tunggak utama strategi tersebut, yang akan diterbitkan sebagai pelan rasmi tahun depan, semasa membentangkan belanjawan kementeriannya di parlimen pada Selasa (3 Mac).

Sambil memberi amaran tentang risiko iklim yang semakin meruncing, beliau memetik angka Forum Ekonomi Dunia yang menganggarkan bahaya iklim boleh menyebabkan kerugian ekonomi lebih satu trilion dolar di peringkat global menjelang 2050.

Tindakan iklim global kini berada dalam tekanan, tambah beliau.

"Ketidakstabilan ekonomi dan persaingan politik dunia, seperti konflik terbaharu di Timur Tengah, mengganggu fokus kita untuk melindungi alam sekitar.

"Negara-negara besar yang mengeluarkan banyak pencemaran mungkin mengabaikan tanggungjawab iklim mereka kerana sibuk menangani ketegangan global berkaitan keselamatan, tenaga, perdagangan, dan pelaburan.

"Dalam masa yang tidak menentu ini, alam sekitar menjadi mangsa yang tidak dapat dielakkan, dan planet kita akan menghadapi kesan perubahan iklim dengan lebih teruk dan lebih awal."
Related article image
Kerja-kerja untuk luaskan longkang 900m antara Rifle Range Road dengan Jalan Kampong Chantek dijadual selesai pada 2024 namun kini dijadual selesai pada 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Singapura tidak akan terkecuali, katanya, sambil memberi amaran bahawa perniagaan dan penduduk boleh terjejas akibat gangguan berkaitan iklim.

"Dalam dunia yang semakin tidak menentu, kita mesti mengutamakan usaha membina Singapura yang bersedia menghadapi perubahan iklim mulai sekarang.

"Kita mesti menyediakan prasarana, perniagaan, dan rakyat hari ini untuk berdaya tahan dalam masa depan yang terjejas akibat iklim," kata Cik Fu.

DAYA TAHAN HABA DAN BANJIR

Mengenai haba, Cik Fu berkata pemerintah akan memperkukuh penyelarasan antara agensi dan melabur lebih banyak dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk lebih memahami kesannya.

Singapura juga sedang memperluas rangkaian sensor tekanan haba di seluruh negara.

Mengenai banjir, beberapa projek naik taraf sistem saliran sedang dirancang, termasuk kerja-kerja di Longkang Subsidiari Pertama Bedok serta longkang subsidiari Timur dan Barat Sungei Serangoon.

DAYA TAHAN PANTAI

"Untuk melindungi pesisir pantai kita daripada kenaikan paras laut, kita akan membina benteng yang berterusan di sekeliling Singapura," kata Cik Fu.

Paras laut purata Singapura diunjurkan meningkat sehingga 1.15 meter (m) menjelang akhir abad ini, manakala kejadian cuaca ekstrem seperti air pasang besar dan angin ribut lebih kencang boleh melonjakkan paras laut sehingga 5m.

Kira-kira 30 peratus bahagian darat Singapura terletak kurang daripada 5m di atas paras laut purata.

Kajian awal untuk kawasan pantai barat laut dari Tuas hingga ke Lim Chu Kang sudah pun siap.

Antara langkah yang dicadangkan adalah menukar pintu kawalan air pasang surut dan meninggikan benteng bagi melindungi empat kolam air - Tengeh, Poyan, Murai, dan Sarimbun - yang merupakan sumber air tawar yang sangat penting bagi Singapura.

Agensi air negara PUB menyatakan benteng yang ditinggikan itu juga akan berfungsi sebagai laluan penyenggaraan dan menggabungkan ciri reka bentuk bagi memelihara hubungan ekologi dengan laut.

Bagi bahagian pesisir pantai yang lain, benteng itu akan memanfaatkan kawasan tinggi sedia ada, menyepadukan perlindungan pantai dalam pembangunan masa depan, dan menggantikan pintu kawalan pasang surut di benteng kolam air.

Reka bentuk kejuruteraan terperinci sedang dibangunkan, dengan pembinaan disasarkan bermula dari pertengahan 2030-an.

Satu lagi kajian berasingan sepanjang 15km pantai barat laut dari Lim Chu Kang ke Woodlands dijangka siap tahun ini.

LIBAT URUS AWAM

Pemerintah akan mengadakan perbincangan kumpulan fokus dan pameran awam tahun ini untuk mengumpul maklum balas mengenai Pelan Penyesuaian Nasional, kata Cik Fu.

Bagi menyokong inisiatif akar umbi, Dana Eko SG akan memperluas skop pembiayaannya bagi merangkumi projek penyesuaian iklim.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita