Skip to main content

Singapura

Dari awan biru, anak kapal SIA Group kini singsing lengan sebagai duta rumah jagaan

Seramai 30 anak kapal Singapore Airlines (SIA) Group menyertai Rumah Jagaan Ren Ci di Bukit Batok dan Ang Mo Kio sebagai 'duta jagaan' untuk membantu kegiatan seharian penghuni warga tua. 

Anggaran Waktu Membaca:
Dari awan biru, anak kapal SIA Group kini singsing lengan sebagai duta rumah jagaan

Noor Seha, seorang anak kapal kabin dan duta jagaan, mempelajari kaedah betul untuk memusingkan penghuni di atas katil (kiri) dan memberi makan kepada penghuni. (Gambar: Hospital Ren Ci)

Diterbitkan : 14 Oct 2020 10:51PM Dikemas Kini : 14 Oct 2020 10:54PM

SINGAPURA: Seramai 30 anak kapal Singapore Airlines (SIA) Group menyertai Rumah Jagaan Ren Ci di Bukit Batok dan Ang Mo Kio sebagai 'duta jagaan' untuk membantu kegiatan seharian penghuni warga tua.

Mereka membentuk kumpulan pertama anak kapal SIA yang dikerahkan untuk menghulurkan bantuan dalam persekitaran sebuah rumah jagaan, menurut Hospital Ren Ci dalam kenyataan medianya pada Rabu (14 Okt).

Kesemua 30 anak kapal itu dikerahkan ke dua rumah jagaan tersebut sejak 21 Sep lalu.

Pada April, SIA Group menyatakan ia akan menyediakan sekurang-kurangnya 300 duta jagaan untuk membantu mengisi jurang tenaga kerja di hospital "sedang jururawat hospital dialihkan daripada tugasan asal mereka kepada menjaga para pesakit yang dijangkiti COVID-19".

SIA Group terjejas teruk oleh sekatan perjalanan akibat pandemik COVID-19. Ia mengumumkan pemotongan sebanyak 96 peratus pada kapasiti gabungan antara SIA dengan SilkAir pada Mac. Pada September, kumpulan itu menyatakan ia akan memotong sekitar 4,300 jawatan di kesemua tiga syarikat penerbangannya.

Pada Rabu, Hospital Ren Ci menyatakan ia sudahpun memanfaatkan program duta jagaan SIA Group sejak Julai lalu.

"Anak kapal itu menggunakan dengan sebaiknya kepakaran mereka dalam menyediakan jagaan dan khidmat bertaraf dunia untuk meningkatkan pengalaman pengunjung," menurut hospital itu sambil menambah bahawa mereka membantu menjaga jarak selamat, khususnya semasa waktu-waktu sibuk.

Di rumah-rumah jagaan, duta-duta itu akan menghulurkan sokongan pentadbiran di wad-wad, menyediakan jagaan asas kepada para penghuni dan menjadi peneman semasa sesi terapi serta kegiatan riadah, menurut Hospital Ren Ci.

Menurut hospital tersebut, ini dilakukan di bawah penyeliaan kakitangan kejururawatan dan bersama para pegawai bersekutu.

"Latihan amali akan melengkapkan kemahiran dan perkhidmatan anak kapal yang cemerlang, di samping membolehkan mereka untuk memenuhi keperluan psikososial warga tua," jelas pihak hospital.

Dalam kalangan kumpulan pertama yang dikerahkan semula ke rumah jagaan ialah Cik Noor Seha, seorang anak kapal Scoot.

"Menjadi seorang anak kapal mengajar saya untuk menjadi proaktif dan bersimpati terhadap penumpang saya sambil memastikan keselamatan tetap menjadi keutamaan nombor satu. Ini adalah sesuatu yang boleh saya terapkan sebagai seorang duta jagaan di sini," ujar beliau.

Cik Noor berkata walaupun beliau baru bertugas di rumah jagaan itu selama tiga minggu sahaja, beliau "sudahpun terpikat dengan ikatan" yang terjalin dengan para penghuni.

Wanita itu menambah: "Saya yakin kemahiran dalam menyediakan khidmat jagaan yang saya pelajari di sini akan pastinya menambah nilai kepada peranan saya sebagai seorang duta jagaan serta pada masa hadapan, selaku seorang anak kapal apabila perjalanan udara disambung semula." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita