Skip to main content

Singapura

Dapur Hassan bakal tutup kedai pada 4 Okt; sasar teruskan perniagaan menerusi wadah online

Anggaran Waktu Membaca:
Dapur Hassan bakal tutup kedai pada 4 Okt; sasar teruskan perniagaan menerusi wadah online

Bekas penjaga gawang Singapura, Hassan Sunny di hadapan kedainya, Dapur Hassan. (Gambar: Petikan skrin video Instagram/@dapurhassansg)

Diterbitkan : 02 Oct 2026 06:00AM
Dapur Hassan to close its shop on Oct 4; aims to continue the business online
  • Hassan Sunny announced that Dapur Hassan at Block 144 Tampines Street 12 will operate for the last time on Oct 4 after it had nearly shut down in mid-2024.
  • The stall had previously stayed afloat after Hassan's outstanding performance against Thailand in June 2024 drew support from Chinese football fans.
  • This latest closure is due to a shortage of staff, the health of his mother-in-law who does the cooking, and Hassan's training commitments with FC Jurong.
  • Hassan plans to take a break for two to three weeks, look for a central kitchen, continue sales through Grab, and hopes to meet his regular customers again.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Siapa sangka, bekas penjaga gawang Singapura Hassan Sunny sebenarnya merancang untuk menutup gerainya, Dapur Hassan, pada pertengahan 2024 selepas perniagaannya kurang menggalakkan.

Namun pada Jun 2024, rancangan itu terbatal selepas popularitinya tiba-tiba melonjak dalam kalangan penyokong bola sepak China.

Ini selepas beliau mempamerkan aksi cemerlang menyelamatkan 11 peluang gol semasa menentang Thailand dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA 2026, sekali gus membuka peluang kepada China untuk mara ke pusingan seterusnya.

Namun lebih dua tahun kemudian, rancangan untuk ‘tutup kedai’ itu benar-benar menjadi kenyataan apabila penjaga gawang FC Jurong itu mengumumkan menerusi Instagram pada 30 September lalu bahawa Dapur Hassan akan beroperasi buat kali terakhir di Blok 144 Tampines Street 12 pada Ahad (4 Okt).

"Tempoh Jun 2024 itu benar-benar membantu saya. Ramai warga China yang menyokong. Saya ingatkan sekejap sahaja dalam satu bulan sahaja, tetapi lebih 2 tahun kemudian, saya masih menerima pelanggan dari China sehingga kini.

"Namun penutupan ini bukan tentang sewa, ia sebenarnya isu lumrah yang membelenggu ramai pemilik makanan dan minuman (F&B) iaitu kekurangan kakitangan.

"Sayang sebenarnya, sebab kami mempunyai pelanggan tetap, terutama sekali pada hujung minggu. Ada yang datang dari Woodlands dan Bukit Panjang ke Tampines hanya untuk makan nasi sambal goreng dan nasi rawon kami," kongsi Hassan.

Dapur Hassan kini dikendalikan isteri Hassan, ibu mertuanya serta satu hingga dua pekerja tetap. 

Namun ibu mertuanya, yang merupakan tukang masak utama di gerai itu, sudah berusia 73 tahun dan sering kali harus berdiri lama di gerai untuk menjalankan tugasnya itu, yang turut memberi kesan terhadap kesihatannya.

Bagi Hassan pula, beliau masih kerap menjalani latihan bersama FC Jurong dan tidak dapat sering membantu di gerai.

"Agak sedih jugalah sebenarnya," tambahnya ringkas.

RANCANG TERUSKAN MENERUSI KHIDMAT ONLINE GRAB

Namun demikian, pelanggan tetap Dapur Hassan dijangka dapat terus menikmati hidangan gerai itu melalui khidmat online.

Ini memandangkan Hassan mempunyai rancangan untuk terus menjalankan operasi Dapur Hassan melalui khidmat penghantaran Grab.

"Kami akan mengambil tempoh dua hingga tiga minggu untuk berehat dahulu. Sementara itu, kami akan mengambil masa itu untuk berfikir dan buat perancangan, sambil mencari tempat bagi dapur pusat.

"Kami sudah melakukan kiraan dan penjualan melalui Grab agak memberangsangkan, Alhamdulillah, jadi kami tidak mahu sia-siakannya begitu sahaja.

"Cuma saya perlu berusaha lebih sedikit, mungkin perlu masak pula kali ini dan mengambil masa beberapa jam untuk memasak sebelum ke latihan bola sepak pada sebelah pagi," ujar Hassan.

SANGGUP TERLEPAS BERAKSI DALAM PERLAWANAN PADA HUJUNG MINGGU TERAKHIR

Pada masa yang sama, beliau turut berterima kasih atas sokongan yang diterima sejurus selepas video mengenai penutupan gerai tular di media sosial.

"Biasanya, mereka akan mula membersihkan gerai sekitar 2.00 petang, namun pada Khamis (1 Okt), mereka sudah selesai membersihkan gerai pada 2.00 petang.

"Pelanggan juga mencari saya di kedai tetapi saya pula ada latihan bola.

"Jadi pada dua hari terakhir pada hujung minggu ini, meskipun ada perlawanan persahabatan, saya sudah meminta izin dari pihak kakitangan kelab untuk tidak menghadirkan diri.

"Penutupan ini agak penting bagi saya, tidak 'sedap' pula untuk pelanggan datang dari jauh tetapi saya tidak ada di kedai," kongsi beliau.

Cinta Hassan terhadap jenama Dapur Hassan juga cukup menyerlah dan tidak mudah dipadam, memandangkan beliau bermula dari bawah dan tidak pernah menghadiri kursus kulinari sebelum ini.

"Saya minat memasak dan suka makanan. Sayang untuk berhenti begitu sahaja. Saya mahu meneruskan bukan untuk kekal relevan, tetapi ia ibarat keadaan yang saling menguntungkan - mereka suka makanan saya, dan saya juga dapat bertemu pelanggan tetap saya.

"Ia lebih kepada cinta kepada jenama ini kerana tidak mudah untuk bermula dari bawah, dan dengan cara ini, kejayaannya juga terasa 'lebih manis'.

"Sudah 23 tahun saya bermain bola, dan memandangkan saya gemar memasak, saya mahu gabungkan kedua-dua minat ini - 'food' dan 'football'." 

Sepanjang ditemu bual BERITA Mediacorp, ucapan terima kasih kepada para penyokongnya juga tidak lekang dari bibir Hassan.

Ini termasuk mereka yang menyokong gerainya dari dalam dan luar negara.

"Membuka satu lagi gerai mungkin akan mengambil masa yang lebih lama, mungkin makan berbulan atau setahun lamanya.

“Namun yang pasti, saya berharap dapat bertemu semula dengan pelanggan saya di gerai jika ia benar-benar dibuka semula nanti. Itulah yang akan saya usahakan," kata Hassan, sebelum mengakhiri wawancara bersama BERITA Mediacorp.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita