Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dapur bersama di dormitori Punggol kotor dek kurang tenaga kerja pembersihan: pengendali, MOM

Sebuah dapur bersama yang kotor di dormitori PPT1B di Punggol adalah disebabkan kekurangan pekerja pembersihan pada hujung minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Dapur bersama di dormitori Punggol kotor dek kurang tenaga kerja pembersihan: pengendali, MOM

Seorang penghuni dormitori PPT1B di Punggol berkata sebuah dapur dikongsi di sana tidak dibserihkan selama seminggu setakat 7 Nov 2021. (Gambar: Penghuni dormitori PPT1B)

Diterbitkan : 13 Nov 2021 08:07AM Dikemas Kini : 13 Nov 2021 08:08AM

SINGAPURA: Sebuah dapur bersama yang kotor di dormitori PPT1B di Punggol adalah disebabkan kekurangan pekerja pembersihan pada hujung minggu lalu.

Demikian menurut pengendalinya dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam kenyataan berasingan pada Jumaat (12 Nov).

“Ini menyebabkan sampah terkumpul di salah satu dapur yang dikongsi bersama. Pengendali dormitori mengerahkan kakitangannya pada 8 November untuk membantu kakitangan pembersihan membersihkan dapur yang dikongsi itu," jelas MOM dalam kenyataannya.

Satu video menunjukkan keadaan dapur bersama di dormitori tersebut dimuat naik ke laman Facebook masyarakat pekerja hijrahan dipanggil “In This Together” pada Ahad lalu (7 Nov).

Video itu, yang dirakamkan oleh seorang penghuni dormitori pada hari yang sama, menunjukkan makanan dibuang dan beg-beg plastik berselerakan di lantai dapur serta singki di premis yang terletak di 2 Seletar North Link.

Bercakap kepada Mediacorp pada Isnin (8 Nov), penghuni yang merakamkan video itu berkata dapur tersebut sudah berada dalam keadaan sedemikian selama lebih seminggu meskipun penghuni sudah menghubungi pihak pengurusan untuk membersihkannya.

Penghuni itu, yang enggan namanya didedahkan, menggambarkan dapur tersebut sebagai sarat dengan sampah dan licin disebabkan minyak di lantai.

Penghuni berkenaan memberitahu Mediacorp pada Selasa (9 Nov) bahawa dapur itu sudahpun dibersihkan.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp yang dihantarkan pada Isnin (8 Nov), S11 Dormitories menyatakan kakitangan pembersihannya sudah mengemas semua dapur bersama di dormitori tersebut pada pagi Sabtu lalu (6 Nov) termasuk yang dipaparkan dalam catatan media sosial berkenaan.

Dapur bersama itu dibersihkan pada setiap pagi dan kakitangan juga akan mengosongkan tempat membuang sampah pada sebelah malam, tambah pengendali itu.

“Bagaimanapun, pada sebelah malam 6 November dan 7 November, pekerja pembersihan berdepan masalah kekurangan tenaga kerja, yang diburukkan lagi oleh jumlah orang yang berhenti kerja dan kakitangan yang mengambil cuti sakit.

“Pada 8 November, kakitangan dormitori dan pasukan operasi mengambil tindakan pemulihan dan membantu kakitangan pembersihan untuk membersihkan dapur bersama itu sementara kontraktor pembersihan memberi tumpuan kepada menguruskan keadaan kekurangan tenaga kerja."

S11 Dormitories menambah kini terdapat "satu peningkatan ketara" dalam kebersihan dapur yang dikongsi bersama, yang dipaparkan dalam video tersebut.

Ini disebabkan tindakan yang diambil oleh kakitangan dormitori dan pasukan operasi untuk membantu kakitangan pembersihan. Ia juga hasil inisiaitif pasukan operasi "untuk membantu penghuni menghargai kepentingan menggunakan tong sampah" di dapur dan bukannya membuang merata-rata.

Ia menyatakan ini adalah satu insiden terpencil dan dapur-dapur yang dikongsi bersama di bahagian lain dormitori disenggara dengan baik.

Dalam kenyataannya, MOM menyatakan ia sedar akan video tersebut dan mengerahkan Pasukan Jaminan dan Sokongan ke Hadapan (FAST) untuk menyiasat perkara itu pada Isnin.

MOM menambah ia menjalankan siasatan berkala ke atas dormitori-dormitori.

Kali terakhir dormitori PPT1B diperiksa adalah pada 5 November serta 25 Oktober lalu dan "tiada pelanggaran serius terhadap piawai kebersihan" dikesan, menurut MOM.

Bulan lalu, masalah keselamatan makanan dan kebersihan mencetuskan kekacauan dalam kalangan pekerja hijrahan di dormitori Westlite Jalan Tukang di mana polis rusuhan dikerahkan. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan