Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dapatan tentang kes ajaran sesat akan dikongsi selepas siasatan polis selesai: Masagos

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pihak berkuasa akan hanya berkongsi dapatan mengenai kes individu yang menyebarkan ajaran sesat setelah siasatan polis selesai.

Demikian jawapan Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli kepada soalan parlimen yang diajukan oleh Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP), Faisal Manap.

Encik Faisal bertanya jika dapatan siasatan polis berkenaan kes tersebut akan didedahkan kepada pihak awam.

Dalam jawapan bertulisnya, Encik Masagos juga berkata MUIS menggesa masyarakat supaya mendapatkan bimbingan agama daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai dan para asatizah yang bertauliah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Kes itu melibatkan seorang lelaki 50-an tahun yang dikatakan mengaku dirinya sebagai seorang 'Nabi' dan mengamalkan ‘nikah batin’ dengan lima orang wanita.

Pada awalnya, MUIS sudah menjalankan siasatan atas lelaki itu antara Oktober 2015 dan Oktober 2017.

Lelaki itu diarahkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk menghentikan khidmat 'perubatan' dan menyebarkan ideologi serta amalan agama songsang kepada orang ramai pada November 2018.

Namun, kes tersebut dibuka semula oleh MUIS dan Jawatankuasa Fatwa apabila mereka menerima laporan mengandungi maklumat baru mengenai kes tersebut.

Jawatankuasa Fatwa MUIS kemudian mendedahkan sudah mengakhiri siasatan dalaman berhubung kes berkenaan dan merujuk kes itu kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) pada November 2021.

Ini merupakan kes pertama mengenai ajaran sesat yang dibawa ke mahkamah oleh MUIS.
Siasatan masih dijalankan dan menurut Encik Masagos, pihak berkuasa akan mengongsikan dapatan siasatan selepas ia selesai kelak.

Kata Encik Masagos juga, MUIS akan terus memberikan bimbingan agama dan peringatan kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura tentang bahayanya ajaran sesat.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan