SINGAPURA: Pelbagai ilmu dan pengetahuan tentang perancangan harta dapat ditimba di acara Perkampungan Legasi Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) yang buat julung-julung kalinya diadakan.
Acara yang berlangsung di Suntec Singapore pada Jumaat (30 Ogos) itu bertujuan untuk meneruskan usaha mendidik masyarakat Melayu/Islam tentang perancangan warisan.
Sebuah forum khas tentang wasiat juga diadakan dan menutup tirai Bulan Wakaf MUIS yang berlangsung sepanjang bulan Ogos. (Gambar-gambar: Nurhelmy Hakim)
Forum yang menampilkan anggota panel yang terdiri daripada Mufti Dr Nazirudin Nasir, anggota Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islamik, Ustaz Haron Masagoes Hassan dan peguam, Rafidah Wahid itu dihadiri hampir 400 peserta.
Antara yang dibincangkan dalam forum tersebut termasuk asas perancangan warisan Islam, proses pembahagian harta pusaka untuk orang Islam serta panduan lengkap untuk menulis Wasiat.
Acara sehari itu diadakan hasil kerjasama MUIS dengan beberapa rakan kongsi utama termasuk agensi pemerintah seperti Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) serta bersama golongan pakar dalam industri termasuk kumpulan guaman Islam, PEGUAM, dan Syarikat Dana Amanah Keperluan Khas (SNTC).
Di acara itu, para peserta antara lain dapat mempelajari cara menulis wasiat untuk merancang warisan, mengenali fatwa-fatwa mengenai harta pusaka serta memastikan perancangan kewangan masing-masing.
Satu sesi perbincangan bersama sekitar 80 asatizah juga diadakan untuk membolehkan mereka timba pengetahuan yang lebih mendalam tentang WMS.
MASIH ADA JURANG PEMAHAMAN TENTANG WAKAF MASYARAKAT YANG PERLU DIRAPATKAN
Menteri Negara Kanan Pertahanan, Zaqy Mohamad yang hadir di acara ini berharap usaha akan diteruskan selepas Bulan Wakaf tersebut untuk tingkatkan pemahaman masyarakat tentang perancangan harta peninggalan.
"Forum dan Perkampungan Legasi ini menandakan akhirnya bulan Wakaf. Kita berharap untuk mendidik masyarakat dan menggalak untuk memberi wakaf bukan sahaja warisan keluarga mereka tetapi untuk keperluan masyarakat akan datang," kata Encik Zaqy.
"Ini supaya kita dapat menyokong masjid kita, madrasah kita dan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dengan lebih baik. Kita berharap untuk membangunkan masyarakat Islam yang lebih teguh, cekal dan lebih fokus kepada bukan sahaja aset keluarga tetapi juga untuk satu masyarakat di mana generasi masa lalu, warisan yang ada diberikan menerusi wakaf," jelas Encik Zaqy.
Meskipun pelbagai aktiviti sudah dijalankan sepanjang Bulan Wakaf, Encik Zaqy akur bahawa masih ada jurang pemahaman tentang wakaf masyarakat dan usaha itu wajar diteruskan.
"Melalui perbincangan dengan masyarakat, ada yang belum begitu biasa dengan konsep WMS. Ramai yang menggunakan faraid sebagai kayu ukur. Kita sekarang ada alternatif lain iaitu WMS dan kita mahu gunakan tenaga wakaf. Ini satu konsep yang baharu tetapi kita akan meneruskan usaha menerusi platform dan perbincangan untuk lebih membawa pemahaman mendalam untuk masyarakat kita," kata Encik Zaqy.
Menurut jurucakap MUIS, lebih 1,000 rakan kongsi dan anggota masyarakat terlibat dalam acara-acara yang dijalankan sepanjang Bulan Wakaf.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.