Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dapat maklum balas keadaan beberapa ruang solat "teruk", ‘The Great Musollah Clean Up’ kembali diadakan

Anggaran Waktu Membaca:
Dapat maklum balas keadaan beberapa ruang solat "teruk", ‘The Great Musollah Clean Up’ kembali diadakan

Dari Kiri: Abdul Hadi Bin Bohari, 36 tahun, Irfan Hakim Bin Abdul Hadi, 9 tahun, Siti Raihanah Binte Ahmad, 35 tahun. (Gambar: Nurfazirah Azman)

SINGAPURA: Seawal jam 10.30 pagi, Encik Abdul Hadi Bohari bersama isteri, Siti Raihanah Ahmad sudah menyingsing lengan untuk membersihkan lima 'musollah' di beberapa lokasi.

Sempena cuti sekolah ini juga, mereka membawa anak lelakinya, Irfan Hakim Bin Abdul Hadi, 9 tahun bersama untuk menjayakan usaha bermakna ini.

Antara 'musollah' yang dibersihkan termasuk ruang solat di Hospital Besar Singapura (SGH) dan di tempat meletak kereta di pusat membeli-belah UE Square.

Usaha ini di bawah inisiatif 'The Great Musollah Clean Up' anjuran Musollah.com dan Khidmah.sg yang kembali diadakan kembali selepas empat tahun ekoran pandemik.

"Inisiatif pembersihan 'musollah' sudah dimulakan sejak 2015 jadi ini kali keempat (diadakan), ketiga-tiga kali acara diadakan adalah sebelum COVID-19 jadi disebabkan COVID-19 kami berhentikan selama empat tahun, jadi tahun ini kami mulakan semula. Biasanya kami buat sekali dalam dua tahun," kongsi Pengarah ISGN Group, Fadzuli Wahab kepada wartawan Nurfazirah Azman.
Pengarah ISGN Group, Fadzuli Wahab. (Gambar: Nurfazirah Azman)
Menurut Encik Fadzuli, inisiatif itu dimulakan kembali disebabkan maklum balas daripada para jemaah tentang keadaan teruk beberapa ruang solat.

"Ada tempat, contohnya seperti di Tampines Mall, keadaannya sangat teruk, tempat-tempat ini yang selalu kita kunjungi, selalu kita solat bila kita pergi membeli-belah, jadi sedihlah kalau kita lihat. Walaupun kadangkala ada pembersih yang membersihkan tetapi ada sejadah-sejadah ataupun telekung kadangkala berbau. Jadi tidak ada orang yang menukarnya", kongsi Encik Fadzuli.

AMBIL KESEMPATAN CUTI SEKOLAH UNTUK BAWA ANAK SERTAI ACARA

Ini juga yang mendorong keluarga Encik Hadi untuk menyertai usaha ini. Selain dapat membersihkan ruang-ruang tersebut, ia juga peluang baik bagi memberi pendedahan kepada anak lelakinya kepada kerja-kerja kesukarelawanan.

"Saya sebenarnya ingin mengambil kesempatan masa percutian sekolah untuk anak sulung saya ini, bawanya ke aktiviti membersihkan 'musollah' di merata Singapura. Saya rasa acara ini amat baik dan bermanfaat sebab saya pun tidak tahu berapa banyak 'musollah' yang kami ada di sini.

"Ada juga banyak tempat di Singapura melainkan masjid untuk kita solat dalam tempat yang bersih dan aman. Jadi saya pun ingin mengajar dia untuk menjaga tempat-tempat awam ini untuk kita sama-sama sebagai masyarakat ada tempat yang kita boleh kongsi sama-sama," kata Encik Hadi.
Menurutnya, ia juga peluang untuk mengeratkan hubungan mereka sekeluarga.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk membawa keluarga saya, mengeratkan sama-sama silaturahim antara anak dan isteri saya. Saya juga ingin memberikan pendedahan untuk berdikari jadi satu hari nanti apabila dia sudah dewasa, dia akan pergi, dia akan tahu di mana 'musollah' di Singapura," kata Encik Hadi.

10 KUMPULAN DAFTAR, 9 DARIPADANYA DATANG DENGAN KELUARGA

Lazimnya inisiatif itu diadakan pada setiap bulan Ramadan namun tahun ini diadakan sewaktu cuti sekolah bulan Jun.

Antara tujuan utama acara diadakan menurut Encik Fadzuli adalah untuk memupuk semangat gotong-royong antara satu sama lain.

"Jadi inisiatif ini dimulakan balik untuk kembalikan satunya, semangat gotong-royong di antara keluarga, jadi kita rancangkan pada bulan Jun sebab cuti sekolah. Jadi keluarga yang ada anak-anak kecil boleh membawa mereka bersama-sama untuk melakukan aktiviti ini," ujar Encik Fadzuli.
Namun, pendaftaran buat acara tahun ini kurang mendapat sambutan dengan jumlah pendaftaran yang terendah dicatatkan iaitu seramai 36 orang.

Pada tahun-tahun sebelumnya, mereka lazimnya mendapat pendaftaran sehingga 100 relawan.

Awalnya, mereka juga merancang untuk membersihkan 120 lokasi namun hanya dapat melakukan demikian di sekitar 50 lokasi disebabkan jumlah relawan yang terhad.

"Alhamdulillah, tahun ini kami dapat sepuluh kumpulan dan kami sasarkan untuk membersihkan sekurang-kurangnya 50 musollah pada hari ini. Dalam sepuluh, sembilan keluarga yang mendaftar ada yang ada anak-anak kecil dan selama ini saya nampak satu kumpulan dengan mereka yang bujang, yang belum ada keluarga lagi, tetapi mereka ke depan menjadi relawan untuk acara ini," kata Encik Fadzuli.

Selain memperkukuh hubungan antara keluarga, acara itu juga diharap dapat mendidik masyarakat tentang ruang solat yang terdapat di Singapura selain masjid.

"Harapan saya supaya masyarakat kenal di Singapura ini adalah lebih 100 'musollah'. Ada yang mungkin kita pernah nampak seperti saya cakap tadi di Tampines Mall ataupun di Jurong Point tetapi ada juga tempat-tempat yang anda tidak pernah tahu seperti tempat ini di SGH sebenarnya ada 'musollah' yang antara terbesar di Singapura. Kita jarang datang ke sini.

"Jadi apabila kita membahagikan tempat-tempat ini, kalau boleh tempat yang tidak biasa (dikunjungi). Mungkin satu tempat biasa (dikunjungi), lagi satu tempat yang mungkin mereka tidak pernah pergi," kata Encik Fadzuli.

Pasukannya juga merancang untuk mengadakan acara itu setahun sekali pada masa hadapan jika mendapat sokongan lebih ramai relawan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan