Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dana untuk warga emas, orang kurang upaya dipertingkat mulai 14 Feb

Anggaran Waktu Membaca:
Dana untuk warga emas, orang kurang upaya dipertingkat mulai 14 Feb

Gambar Hiasan. Warga emas di Singapura.

SINGAPURA: Dana Mobiliti dan Pengupayaan Warga Emas dan Dana Teknologi Bantu (ATF) bagi golongan kurang upaya akan dipertingkat mulai 14 Februari.

Warga emas dan orang kurang upaya boleh mendapatkan bantuan kewangan pemerintah bagi alat-alat bantu dengan lebih mudah lagi. Ini termasuk kerusi roda dan juga alat pendengaran. 

Warga emas juga boleh mendapatkan subsidi untuk menggantikan peralatan mereka yang sudah rosak. 

Salah seorang yang akan dapat memanfaatkan skim tersebut, adalah Encik Yassin, 65 tahun, yang merupakan pesakit angin ahmar yang sedang menjalani terapi.

Bagi Encik Yassin, harga sebuah kerusi roda bermotor yang baru akan menjadi lebih berpatutan pada masa akan datang. 

Pesakit angin ahmar itu tidak boleh menggerakkan otot-otot pada sebelah kiri badannya dan bergantung kepada isterinya sebagai penjaga utama beliau. 

"Selepas menggunakan kerusi roda yang biasa selama dua tahun, saya menerima subsidi daripada pemerintah untuk beli kerusi roda baru ini. Saya mendapati kerusi roda ini amat berguna," katanya semasa ditemu ramah Mediacorp. 

"Sangat berguna, (sekarang) saya boleh jalan jauh dan pergi ke hospital menggunakan kerusi roda ini untuk mengambil MRT dan bas," tambahnya lagi. 

Encik Yassin juga perlu menjalani terapi tiga kali seminggu dan menggunakan kerusi roda bermotor tersebut untuk ke pusat terapi.

Sekarang, isterinya juga tidak perlu lagi menolak dan mengendalikan kerusi roda Encik Yassin, yang mendapati kerusi rodanya sebelum ini "amat susah" untuk digunakan memandangkan beliau tidak boleh menggunakan tangannya sendiri untuk menolak roda kerusinya.

Menurut Khidmat Masyarakat TOUCH, kebanyakan klien mereka memerlukan skuter ataupun kerusi roda yang bermotor untuk bergerak di kawasan kejiranan mereka seperti untuk ke kedai kopi yang terdekat ataupun ke pusat-pusat TOUCH bagi rawatan mereka. 

Badan kebajikan itu juga menyaksikan terdapat permintaan daripada mereka yang perlu menggantikan atau membuat perubahan pada alat-alat bantu tersebut untuk kegunaan diri mereka sendiri.

"Untuk alat-alat bantu ini, secara lazimnya, ia rosak rosot dalam masa kira-kira dua atau tiga tahun. Kami sedia maklum bahawa sekarang warga emas mempunyai jangka hayat yang lebih panjang dan peralatan ini akan rosak rosot dalam beberapa tahun akan datang," kata Ketua Pusat Pemulihan Seharian dan Penjagaan Rumah TOUCH,  Encik Cheng Guang Hao.

Dengan perubahan kepada skim-skim dana tersebut, beliau berharap warga emas dapat terus bergerak di kawasan-kawasan kejiranan mereka kerana mereka kini diberikan subsidi-subsidi untuk menggantikan alat-alat mereka yang sudah rosak. 

Pada masa akan datang, warga-warga emas mungkin mempunyai keperluan-keperluan baru, di mana para penjaga mereka boleh menilai keadaan dan menyarankan perubahan-perubahan baru untuk kegunaan warga-warga emas tersebut. 

Lebih 38,000 warga emas dan kira-kira 2,200 individu kurang upaya dijangka akan memanfaatkan skim-skim yang dipertingkat itu tahun ini. 

Skim-skim tersebut juga akan meliputi alat-alat baru seperti alat bantuan pernafasan dan penglihatan. 

Selain itu, kedua-dua skim tersebut akan diperkemaskan dengan peringkat-peringkat subsidi yang sama. 

Warga tua dan orang kurang upaya boleh memanfaatkan salah satu skim itu untuk membeli alat-alat bantu sepanjang hayat mereka, jika perlu.

Pendapatan per kapita kurang atau sama dengan $1,200 akan mendapat subsidi 90 peratus.

Manakala mereka yang dalam lingkungan  $1,201 - $2,000, akan menerima subsidi sehingga 75 peratus.

Individu-individu kurang upaya di bawah usia 60 tahun tidak perlu lagi mendaftar untuk mendapatkan bantuan itu di bawah skim warga emas sebaik sahaja mereka mencecah usia 60 tahun. 

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli, mengatakan semasa lawatannya ke salah sebuah pusat TOUCH bahawa peningkatan itu dibuat menyusuli maklum balas daripada anggota masyarakat. 

"Kami menerima maklum balas daripada anggota masyarakat dan juga pasukan bertindak kami, terutama sekali untuk individu-individu kurang upaya, di mana mereka bergabung tenaga untuk melihat di mana dan bagaimana kami boleh menghulurkan lebih banyak bantuan. Oleh itu, kami memutuskan untuk menerima saranan tersebut," kata Encik Masagos. 

Khusus bagi ATF, ia akan dilanjutkan dan bukan hanya untuk orang kurang upaya, bagi sokongan peralatan perubatan. Bagi Dana Mobiliti dan Pengupayaan Warga Emas pula, ia juga sesuatu yang akan disemak dari masa ke semasa.

"Kami sudah menentukan bahawa ya, kita boleh dan kita harus memberikan lebih banyak sokongan," kata Encik Masagos.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan