Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dana sokong usaha galak pembelajaran bahasa ibunda ditingkatkan kepada $30 juta

Usaha menggalak penggunaan dan pembelajaran bahasa ibunda dalam kalangan pelajar bakal diberi rangsangan dengan sokongan dana tambahan oleh Kementerian Pendidikan (MOE).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha menggalak penggunaan dan pembelajaran bahasa ibunda dalam kalangan pelajar bakal diberi rangsangan dengan sokongan dana tambahan oleh Kementerian Pendidikan (MOE).

Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Bahasa Ibunda (MTLLPC) bakal menerima agihan dana sebanyak $30 juta berbanding $25 juta sebelum ini oleh kementerian tersebut, umum Menteri Negara Pendidikan Sun Xueling pada Sabtu (24 Apr), bagi tempoh Tahun Kewangan 2021 hingga Tahun Kewangan 2025.

MTLLPC terbentuk daripada tiga jawatankuasa bahasa, termasuk Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Dana tambahan $5 juta itu adalah sebahagian daripada dana jaminan daripada MOE kepada MTLLPC iaitu satu kenaikan 25 peratus dari $20 juta dalam peruntukan sebelum ini kepada $25 juta dalam peruntukan baru ini.

Baki S$5 juta adalah dalam bentuk geran padanan bagi dana yang dikumpul daripada masyarakat, jelas kementerian itu dalam satu kenyataan.

MOE menyatakan bahawa MTLLPC memainkan peranan penting yang saling melengkapi usaha pihak sekolah dalam menggalak penggunaan bahasa ibunda di luar bilik darjah.

"Dengan pembiayaan yang diperbaharui, MTLLPC akan dapat terus memulakan pelbagai program dan kegiatan yang memanfaatkan kepakaran dan jaringan dari berbagai pihak berkepentingan masyarakat," kata MOE.

Salah satu program anjuran MLLPC yang memanfaatkan dana sedemikian sebelum ini adalah kem Perkasa Warisan.

Dianjurkan dengan kerjasama PA Mesra, MAEC dan Kumpulan Kerja Guru Bahasa Melayu Arif Budiman, lebih 1,000 murid sekolah rendah diajar tentang ulam-ulaman menerusi kunjungan ke Taman Fort Canning.

"ISYARAT POSITIF DARI PEMERINTAH": MLLPC

Bercakap kepada BERITAmediacorp, anggota MLLPC Encik Abdul Rohim Sarip berkata jawatankuasa tersebut mengalu-alukan dana tambahan yang diperuntukkan oleh pemerintah.

"Dengan adanya dana tambahan, MLLPC dapat memperluaskan program-program dan inisiatif yang lebih popular dan mendapat sambutan hangat agar dapat menjangkaui lebih ramai orang," kata Encik Abdul Rohim yang merupakan anggota jawatankuasa itu sejak 2013.

Khususnya, satu program yang akan diperluaskan adalah Ops Baca. Pertandingan membaca yang dianjurkan di peringkat sekolah rendah itu, menurut beliau, bakal diperluaskan untuk merangkumi peserta di peringkat sekolah menengah kelak.

Sejauh ini, 23 sekolah rendah sudah mengambil bahagian dalam Ops Baca, menurut MLLPC. Jawatankuasa tersebut menyasarkan sebanyak 10 sekolah menengah akan terlibat apabila program itu mula ditawarkan di peringkat tersebut, dengan jumlah tersebut diharapkan akan meningkat pada tahun-tahun mendatang.

Encik Abdul Rohim menambah, selain Ops Baca, MLLPC turut menganjurkan beberapa program unggul yang memanfaatkan dana sokongan MOE - termasuk pertandingan Bahas 4PM dan Anugerah Guru Arif Budiman yang diadakan setiap tahun, selain Kesantunan Bahasa dan Fiesta Bahasa yang dianjurkan secara dwitahunan.

"Tokokan dana daripada $1 juta kepada $1.25 juta (bagi MLLPC) menunjukkan bahawa penggunaan Bahasa Melayu adalah sesuatu yang amat dititikberatkan, dan ini adalah satu isyarat yang baik dari Pemerintah," tambah beliau.

Ditanya sama ada MLLPC berhasrat untuk menambah sebarang program unggul baru selain memperluaskan jangkauan program sedia ada, Encik Rohim berkata ia sedang dalam "peringkat perancangan".

"Tahun ini adalah ulang tahun ke-15 MLLPC ditubuhkan. Jadi sebuah kumpulan akan ditubuhkan untuk memikirkan tentang program-program yang harus dianjurkan atau disokong sempena ulang tahun ini," kata Encik Rohim.

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan