Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dana S$5 juta biaya sektor khidmat sosial; sokong inisiatif bantu golongan lemah

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Jul 2022 07:18PM Dikemas Kini : 13 Jul 2022 09:04PM
SINGAPURA: Keluarga-keluarga yang menghadapi isu-isu kompleks akan mendapat sokongan lebih baik melalui satu dana bernilai S$5 juta.

Dana baru yang bermula hujung tahun ini, bertujuan meningkatkan ekosistem khidmat sosial.

Ia dilakukan dengan menyokong inisiatif-inisiatif yang memperkukuh penyelarasan antara agensi dan badan-badan yang memacu perjuangan sosial.

Ia juga adalah sebahagian daripada rancangan pemerintah untuk membantu golongan lemah dengan memperbaiki ekosistem khidmat sosial.

Sebilangan keluarga di Singapura terus dibelenggu masalah kerana cabaran yang dihadapi begitu pelbagai.

Sebagai contoh, pencari nafkah utama keluarga tidak bekerja kerana masalah kesihatan. Pekara demikian boleh menjerumuskan keluarga itu kepada hutang. Anak-anak mereka pula terkapai-kapai dalam persekolahan.

Walaupun sudah dibantu agensi masyarakat, keluarga sebegini masih gagal keluar dari masalah mereka.

Malah ada yang berasa, meminta bantuan daripada pelbagai agensi termasuk kementerian hanya membebankan.

Kini, demi membantu keluarga sedemikian, pemerintah menawarkan hala tuju dipertingkat bagi sektor khidmat sosial.

Ia terhasil selepas setahun merujuk kepada 250 pihak berkepentingan dan menjalankan kerjasama lebih luas dengan pemain sektor itu, serta memberi tumpuan kepada pelan jangka sederhana hingga panjang.

"Kita perlu bergerak ke arah kepelbagaian dan kemampanan sumber, disokong oleh pendekatan lebih inovatif dalam pendermaan,
dan kerjasama lebih mendalam dan erat antara para penyumbang dan pertubuhan yang disokong, " kata Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Penyepaduan Khidmat Sosial, Desmond Lee.

"Pastikan kita fokus kepada kerjasama untuk memaksimumkan kesannya, mengoptimumkan sumber dan menangani cabaran sekarang dan masa depan," tambah beliau.

"Dengan dana ini, kami boleh lakukan lebih banyak lagi. Kami juga boleh pastikan kami menceburi bidang-bidang seperti pendigitalan dengan golongan belia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Tuminah Sapawi.

Sumber-sumber online juga akan disediakan untuk membimbing pihak agensi dan pertubuhan, cara-cara menguruskan sumber dengan lebih baik dan melakarkan pelan strategik.

Sebuah jawatankuasa akan dibentuk untuk menyelia pelaksanaannya dalam lima tahun ini.
Sumber : CNA/RU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan