Skip to main content

Singapura

Dana S$25 juta bakal bantu majikan SG ambil pekerja kurang upaya

Sekitar S$25 juta akan diperuntukkan di bawah satu kategori pembiayaan baharu bagi menggalakkan para majikan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan kurang upaya yang memerlukan sokongan sederhana.

Anggaran Waktu Membaca:
Dana S$25 juta bakal bantu majikan SG ambil pekerja kurang upaya

Majikan boleh menerima sokongan bagi menampung kos usaha seperti rekaan semula pekerjaan, menyediakan latihan dan mengubah suai tempat kerja apabila menggajikan pekerja kurang upaya. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 10 Nov 2026 11:23PM
S$25 million fund to help Singapore employers hire workers with disabilities
  • Ong Ye Kung announced an initial S$25 million allocation for the S-EEG category to help employers hire more workers with disabilities who need moderate support; SG Enable will open applications by the end of 2026.
  • The Government will consolidate employer grants in the first half of 2027 to make it easier to claim costs such as job redesign and training, as the employment target for people with disabilities is 40 per cent by 2030.
  • By 2030, Singapore will add 2,300 places at day activity centres and workshops, while life skills programmes and 12 Enabling Services Hubs by 2028 will support independence and community participation.
  • More than 190 organisations have received the Enabling Mark, nearly double the number in 2024, and Enabling Mark 2.0 emphasises retention and career development so that inclusive hiring becomes a sustainable practice.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Sekitar S$25 juta akan diperuntukkan di bawah satu kategori pembiayaan baharu bagi menggalakkan para majikan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan kurang upaya yang memerlukan sokongan sederhana.

Berucap pada majlis Anugerah 'Enabling Mark' pada Selasa (10 Nov), Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Ong Ye Kung, mengumumkan bahawa pembiayaan tersebut akan disediakan di bawah kategori baharu Geran Pemerkasaan Pekerjaan (EEG), yang dikenali sebagai S-EEG. Huruf "S" merujuk kepada "stronger support" atau sokongan yang lebih kukuh.

Menurut Encik Ong, kategori baharu itu akan menyediakan pembiayaan tambahan kepada syarikat-syarikat yang menggajikan sejumlah besar pekerja kurang upaya yang memerlukan sokongan sedemikian.

Sebagai permulaan, sekitar S$25 juta akan diperuntukkan bagi S-EEG, manakala SG Enable, iaitu agensi nasional Singapura bagi golongan kurang upaya, akan membuka permohonan bagi pusingan pertama program itu menjelang akhir 2026. 

"Kami akan mengambil iktibar daripada pelaksanaannya dan memahami dengan lebih mendalam keperluan majikan (untuk) menyokong pekerjaan golongan kurang upaya serta memastikan peluang pekerjaan itu lebih mampan," tambah Encik Ong.

"Daripada situ, kami akan mempertimbangkan bagaimana sokongan pemerintah untuk pekerjaan golongan kurang upaya boleh diperluaskan lagi, dengan harapan pekerjaan yang disokong menjadi amalan biasa dari semasa ke semasa."

Kadar pekerjaan dalam kalangan golongan kurang upaya terus menunjukkan peningkatan. 

Pada masa ini, lebih sedikit daripada satu pertiga golongan kurang upaya dalam usia bekerja di Singapura mempunyai pekerjaan, dengan pemerintah menyasarkan untuk meningkatkan kadar pekerjaan mereka kepada 40 peratus menjelang 2030.

Encik Ong berkata majikan berdepan cabaran praktikal dalam menggajikan dan menyokong golongan kurang upaya kerana mereka juga perlu memastikan perniagaan terus berjalan, kekal berdaya saing selain menguruskan kos perniagaan yang semakin meningkat.

Ia termasuk kos tambahan untuk mereka semula pekerjaan, menyediakan latihan, mengubah suai tempat kerja serta menyediakan lebih banyak penyeliaan atau sokongan profesional.

"Jika kita mahu majikan melakukan lebih banyak lagi, pemerintah mesti bersedia memainkan peranan lebih aktif dan membantu menampung sebahagian daripada kos tersebut," kata Encik Ong.

Pada separuh pertama 2027, pemerintah akan menggabungkan geran-geran sedia ada untuk majikan di bawah satu Geran Pemerkasaan Pekerjaan (EEG). Geran itu akan membantu menampung kos yang ditanggung majikan dalam bidang-bidang seperti mereka semula pekerjaan dan menyediakan latihan.

"Ini akan memudahkan majikan mendapatkan sokongan serta meluaskan jenis perbelanjaan yang boleh dibiayai menerusi geran tersebut," kata Encik Ong.

Beliau turut menggesa lebih banyak syarikat supaya menggajikan golongan kurang upaya.

"Kita mesti menjadikan pengambilan pekerja secara inklusif sebagai kebiasaan, bukan pengecualian; tanggungjawab semua pihak, bukan sekadar inisiatif segelintir pihak; dan amalan biasa dalam industri, bukan sesuatu yang hanya bergantung pada sikap ihsan."

Beliau turut menonjolkan syarikat-syarikat seperti United Overseas Bank dan Marina Bay Sands, yang sudah melakukan penyesuaian di tempat kerja bagi menyokong pekerja kurang upaya dengan lebih baik.

Encik Ong turut menyebut perniagaan-perniagaan lebih kecil seperti Reta Social Enterprise dan syarikat barang kemas Eden and Elie sebagai contoh majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan kurang upaya.

"Dengan pekerjaan yang sesuai serta latihan dan sokongan yang mencukupi, golongan kurang upaya boleh melakukan kerja yang bermakna dan memberikan sumbangan yang nyata," tambah beliau.

MEMPERLUAS SOKONGAN MASYARAKAT

Selain peluang pekerjaan, pemerintah juga sedang memperluas khidmat masyarakat bagi menyokong golongan kurang upaya dengan lebih baik, sejajar dengan perubahan keperluan mereka dari semasa ke semasa.

Sebanyak 2,300 tempat tambahan akan disediakan di pusat kegiatan harian dan bengkel yang menyediakan khidmat bagi golongan kurang upaya menjelang 2030, sekali gus meningkatkan jumlah kapasiti kepada 5,800 tempat.

"Ini diharap dapat memendekkan tempoh menunggu," kata Encik Ong.

Pusat-pusat kegiatan harian dan bengkel-bengkel tersebut merupakan kemudahan berasaskan masyarakat di Singapura yang menyokong golongan kurang upaya berusia 18 tahun dan ke atas. 

Kemudahan tersebut membantu mereka memupuk sikap berdikari, menjalani kegiatan harian dan membuat persediaan untuk cuba memanfaatkan peluang latihan serta pekerjaan.

Pemerintah juga sedang menguji model penjagaan baharu menerusi Program Pemerkasaan Kemahiran Hidup, yang kini ditawarkan di beberapa pusat kegiatan harian dan bengkel terlindung.

Program tersebut bertujuan melangkaui aspek penjagaan dan pelibatan dalam kegiatan harian, dengan menyediakan kurikulum yang lebih tersusun bagi membantu golongan kurang upaya menjadi lebih berdikari, berintegrasi dalam masyarakat dan, jika sesuai, membuat persediaan untuk memasuki alam pekerjaan.

Dalam beberapa tahun akan datang, lebih banyak pusat kegiatan harian dan bengkel bagi golongan kurang upaya akan diubah secara berperingkat menjadi Pusat Pemerkasaan Kemahiran yang menawarkan program tersebut, dan dikendalikan oleh agensi-agensi perkhidmatan sosial.

"Menerusi Program Pemerkasaan Kemahiran Hidup, kami berharap lebih ramai individu kurang upaya dapat menguruskan kehidupan sendiri dengan lebih berdikari dan mengambil bahagian secara lebih aktif dalam masyarakat," kata Encik Ong.

Menjelang 2028, SG Enable juga akan menubuhkan 12 Hab Khidmat Pemerkasaan di seluruh Singapura bagi menghubungkan golongan kurang upaya dan penjaga mereka dengan pelbagai sumber, khidmat perancangan penjagaan masa depan serta program masyarakat.

Lebih 190 pertubuhan menerima pentauliahan 'Enabling Mark' di majlis anugerah yang berlangsung pada Selasa (10 Nov).

Jumlah tersebut hampir dua kali ganda berbanding jumlah penerima pada 2024.

Rangka kerja Enabling Mark 2.0 yang diperbaharui turut dilancarkan, dengan penekanan lebih besar diberikan terhadap hasil keterangkuman yang bermakna, termasuk pengekalan pekerja dan pembangunan kerjaya.

Encik Ong berkata: "Keterangkuman bukan sekadar membuka peluang, tetapi juga membantu para individu mengekalkan pekerjaan, berkembang dan membina kerjaya, supaya usaha kita dapat diteruskan dan kekal mampan."

Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita