Skip to main content

Singapura

Dana S$15 juta mulai 1 Feb bagi lindungi kebajikan mental, bimbing pengamal perlindungan

Agensi perkhidmatan sosial (SSA) boleh memanfaatkan dana penjagaan baharu bernilai S$15 juta bagi pengamal perlindungan mulai 1 Februari 2026, untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif kesejahteraan seperti sokongan psikologi dan bimbingan.
Anggaran Waktu Membaca:
Dana S$15 juta mulai 1 Feb bagi lindungi kebajikan mental, bimbing pengamal perlindungan
Agensi perkhidmatan sosial (SSA) boleh memanfaatkan dana penjagaan baharu bernilai S$15 juta mulai 1 Februari 2026. (Gambar: iStock)
Diterbitkan : 24 Jan 2026 05:29PM
  • NCSS akan menubuhkan dana penjagaan bernilai S$15 juta bermula 1 Februari 2026 untuk pengamal perlindungan di Singapura.
  • Dana ini bertujuan membantu SSA melaksanakan sokongan psikologi, bimbingan, dan cuti kesejahteraan sehingga dua minggu kepada karyawan sosial.
  • Langkah ini diambil selepas panel semakan mendapati kelemahan dalam sokongan kepada pengamal perlindungan, terutamanya selepas kes Megan Khung pada 2020.
  • Agensi seperti Montfort Care dan TRANS Family Services turut menyumbang idea untuk reka bentuk dana, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 pengamal perlindungan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Agensi perkhidmatan sosial (SSA) boleh memanfaatkan dana penjagaan baharu bernilai S$15 juta bagi pengamal perlindungan mulai 1 Februari 2026, untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif kesejahteraan seperti sokongan psikologi dan bimbingan.

Dana itu akan ditubuhkan oleh Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) bagi membantu SSA membina persekitaran kerja dengan lebih banyak sokongan, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan NCSS pada Sabtu (24 Jan).

Agensi-agensi juga boleh menggunakan dana tersebut untuk membuat aturan tenaga kerja alternatif supaya mereka dapat memberikan sehingga dua minggu cuti kesejahteraan kepada para pengamal.

Para pengamal perlindungan itu mesti merupakan karyawan perkhidmatan sosial yang bekerja di agensi perkhidmatan sosial yang dibiayai MSF, dan menyediakan perkhidmatan menyokong keselamatan serta kesejahteraan individu dan keluarga yang terjejas akibat keganasan rumah tangga.

Ini termasuk pekerja sosial, pekerja kes, rakan kerja sosial, kakitangan penjagaan serta penyelia mereka di agensi-agensi tersebut, menurut MSF dan NCSS.

“Kerja perlindungan datang dengan beban emosi yang berat. Para pengamal perlindungan kerap terdedah kepada trauma sepanjang menjalankan tugas mereka dan berdepan tekanan tersendiri apabila mengendalikan kes-kes yang mendesak dan berisiko tinggi setiap hari,” menurut MSF dan NCSS dalam satu kenyataan media bersama.

Agensi-agensi itu turut merakamkan penghargaan kepada SSA, termasuk Montfort Care, TRANS Family Services, Allkin Singapore dan Casa Raudha, kerana berkongsi idea untuk menyokong para pengamal perlindungan, seperti sokongan psikologi, program rahat dan bimbingan berstruktur.

“Usaha-usaha tersebut membantu dalam menghasilkan reka bentuk dana penjagaan tersebut, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 pengamal perlindungan,” menurut mereka.

Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial Desmond Lee, berkata di parlimen pada November 2025 bahawa MSF akan menubuhkan dana penjagaan para pengamal perlindungan untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif pembangunan keupayaan dan kesejahteraan bagi golongan itu.

Langkah tersebut menyusuli saranan agar sokongan yang lebih berstruktur diberikan kepada para pengamal perkhidmatan sosial, yang dikemukakan oleh sebuah panel semakan yang mendapati pelbagai kecuaian dan kelemahan dalam agensi-agensi yang terlibat dalam kes Megan Khung.

Megan, yang berusia empat tahun, meninggal dunia pada Februari 2020 selepas didera oleh ibunya dan teman lelaki ibunya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita