Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dana rangsangan $20 juta sokong pekerja bebas dan perniagaan sektor seni dan budaya

Ini membawa kepada jumlah sokongan sebanyak S$75 juta secara keseluruhandi bawah pakej tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Mar 2021 04:45PM Dikemas Kini : 08 Mar 2021 11:48PM

SINGAPURA: Para pekerja bebas dan perniagaan-perniagaan dalam sektor seni dan kebudayaan akan meraih manfaat daripada geran-geran baru sebagai sebahagian daripada suntikan dana sebanyak S$20 juta kepada Pakej Daya Tahan Seni dan Budaya.

Demikian diumumkan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong pada Isnin (8 Mac).

Ini membawa kepada jumlah sokongan sebanyak S$75 juta secara keseluruhandi bawah pakej tersebut.

Berucap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) di Parlimen, Encik Tong berkata pandemik COVID-19 meninggalkan "kesan besar" ke atas sektor yang bergantung kepada persembahan baik di atas pentas mahupun di depan penonton.

"Sedang persembahan-persembahan secara langsung disambung semula dengan cara yang selamat dalam Fasa 3, jumlah penonton yang kembali kepada tahap keupayaan penuh akan mengambil masa. Ini bagaimanapun meletakkan tekanan ke atas pertubuhan dan pengamal seni untuk menanggung kos operasi," kata Encik Tong.

Geran Individu Bekerja Sendiri (SEP) yang baru akan memperuntukkan sehingga S$50,000 bagi setiap projek, menurut Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Low Yen Ling, dan boleh melibatkan persembahan secara langsung, persembahan digital atau pembangunan kemahiran.

Geran itu akan membantu mengekalkan mata pencarian para pekerja bebas dengan mengurangkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Dalam ucapannya, Encik Tong menambah: "Kami mengiktiraf bahawa bekerja bebas atau bekerja sendiri menambah ciri spontan dan inovasi kepada sektor itu. Ia membantu kita merangsang ekosistem seni dan geran ini bertujuan untuk memeliharanya."

Ini terbuka untuk rakyat Singapura dan penduduk tetap dalam sektor seni dan kebudayaan serta pertubuhan-pertubuhan seni dan budaya yang bekerjasama dengan para pekerja bebas.

Majlis Seni Kebangsaan (NAC) akan mengutamakan projek-projek yang memberi manfaat kepada lebih ramai pekerja bebas, yang berbentuk digital dan melibatkan pembangunan keupayaan.

Selain itu, satu Dana Transformasi Perniagaan baru akan menyokong pertubuhan-pertubuhan seni dan budaya sedang ia melalui perubahan.

Terdapat dua bahagian pada dana tersebut. Geran Transformasi Perniagaan akan memperuntukkan sehingga S$30,000 untuk pertubuhan sedemikian memanfaatkan teknologi digital atau memperbaiki penyampaian tadbir urus serta khidmat mereka, kata Cik Low.

Ia akan menyediakan sehingga S$200,000 bagi setiap projek apabila pertubuhan-pertubuhan bekerjasama dalam projek IT yang memberi manfaat kepada berbilang pengguna atau projek-projek yang berpotensi memberi hasil lebih meluas dalam industri.

Bagi bahagian kedua pula, MCCY dan NAC akan secara proaktif menyelenggarakan atau bekerjasama dengan rakan-rakan sesuai, untuk merintis huraian-huraian transformasi perniagaan bagi sektor seni dan budaya.

NAC akan mendampingi sektor itu dalam beberapa minggu mendatang berhubung Geran Individu Bekerja Sendiri dan Geran Transformasi Perniagaan bagi memastikan ia memenuhi keperluan sektor tersebut.

NAC menyasarakan untuk melancarkan kedua-dua geran menjelang Jun.

MCCY memperkenalkan Pakej Daya Tahan Seni dan Kebudayaan bernilai S$55 juta pada 7 April tahun lalu untuk menyokong sektor itu di tengah-tengah krisis COVID-19. Ia juga menyokong pembangunan keupayaan jangka panjang dalam sektor seni dan budaya.

Pakej itu mewujudkan lebih 13,000 peluang kerja dan latihan, dengan lebih 5,000 daripadanya adalah untuk mereka yang bekerja sendiri, kata Cik Low.

Di bawah pakej yang dipertingkat, MCCY juga akan mengeluarkan agihan kedua Geran Operasi Pakej Daya Tahan Seni dan Kebudayaan. Setiap pertubuhan akan menerima S$35,000 yang dijadualkan diagihkan pada Julai 2021.

Sebelum ini, pemerintah menawarkan S$75,000 atau S$50,000 bagi setiap pertubuhan, bergantung kepada saiznya.

MCCY juga akan melanjutkan subsidi 80 peratus bagi sewa lokasi untuk tiga bulan lagi, sehingga Jun tahun ini.

Sejak dilancarkan pada 2020, lebih 300 lokasi disewa di bawah skim itu, kata Cik Low.

WARISAN DAN BUDAYA S'PURA

Lembaga Warisan Negara (NHB) akan bekerjasama dengan rakyat SIngapura dan agensi-agensi berkenaan untuk mengenal pasti elemen-elemen yang berpotensi dicalonkan bagi Senarai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara UNESCO, kata Cik Low.

Ini menyusuli pengiktirafan budaya penjaja Singapura dalam senarai itu pada bulan Disember tahun lalu.

NHB akan menjalankan beberapa siri perbincangan tahun ini dan mempelawa rakyat Singapura untuk berkongsi maklum balas mereka. Perinciannya akan didedahkan kelak.

Sebagai sebahagian daripada Jubli Emas Monumen Kebangsaan, NHB akan memulihara beberapa monumen yang siap pada pertengahan hingga lewat kurun ke-19.

Ini adalah bekas Istana Kampong Gelam, Muzium Negara Singapura dan bekas Bangunan Empress Place, yang sekarang ini merupakan lokasi Muzium Tamadun Asia.

Beberapa muzium akan dibuka semula. The Changi Chapel and Museum dan Reflections at Bukit Chandu akan dibuka semula tahun ini, sementara Muzium Peranakan akan dibuka semula pada suku pertama 2023.

Muzium Filatelik Singapura akan menjadi muzium khas kanak-kanak yang pertama di Singapura dan dijadual dibuka pada 2022.

PENERIMA PINGAT KEBUDAYAAN

Untuk menghargai para penerima Pingat Kebudayaan Singapura, pemerintah akan melancarkan Galeri Pingat Kebudayaan untuk mempamerkan amalan-amalan kesenian dan karya-karya para penerima Pingat Kebudayaan.

"Pingat Kebudayaan adalah pengiktirafan kesenian tertinggi di Singapura yang mengiktiraf para individu atas kecemerlangan kesenian serta sumbangan mereka kepada landskap kebudayaan kita," kata Cik Low.

Satu pelancaran kecil-kecilan dirancangkan dalam suku keempat tahun ini.

Ini adalah sebahagian daripada usaha MCCY untuk "mengiktiraf dan meraikan" warisan tidak ketara oleh bakat-bakat seni dan kebudayaan Singapura dan mempertingkat penghargaan awam kepada warisan itu, tambah beliau.

NAC juga bekerjasama dengan Lembaga Perpustakaan Negara untuk mewujudkan tempat simpanan digital kebangsaan bagi karya-karya para penerima Pingat Kebudayaan, yang akan dibuka kepada umum serta para pengkaji.

Cik Low menambah MCCY akan membangunkan Peta Hala Tuju Digital Seni dan Kebudayaan untuk menyediakan rangka kerja bagi sektor seni dan budaya untuk melaksanakan huraian-huraian digital.

Ia juga akan menjadi "rujukan sehenti" bagi geran dan skim relevan pemerintah, kata Cik Low.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan