Skip to main content

Singapura

Dana Pendidikan Harun Ghani naikkan sokongan dermasiswa untuk anak-anak pesalah dadah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) meningkatkan sokongan dermasiswanya tahun ini di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup bagi memenuhi keperluan para pelajar dan keluarga mereka.

Tahun ini, penerima bantuan yang masih menuntut di sekolah rendah menerima S$200 naik daripada S$150, manakala pelajar sekolah menengah, madrasah dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) menerima S$300, naik daripada S$250.

Kenaikan paling tinggi ialah bagi pelajar politeknik iaitu sebanyak $300.
 

Related article image
Dana Pendidikan Harun Ghani naikkan sokongan dermasiswa untuk penerima bantuan, dengan kenaikan kos sara hidup. (Petikan Skrin)

Mereka menerima S$1,800 berbanding S$1,500 sebelum ini.

Bagi mahasiswa universiti pula, nilai bagi setiap dermasiswa sudah dinaikkan dua tahun lalu.

LEBIH RAMAI PERMOHONAN DARIPADA PENUNTUT UNIVERSITI, POLITEKNIK

Tahun ini, sebanyak 109 permohonan diterima HGEF secara keseluruhannya.

24 daripadanya merupakan penuntut universiti dan politeknik dan jumlah itu merupakan yang tertinggi sejak HGEF ditubuhkan dua dekad lalu.

Jumlah dermasiswa bernilai S$60,000 itu akan diagihkan untuk mengiktiraf anak-anak pesalah dadah yang berjaya kekal bersekolah dan menamatkan tahun akademik 2025.

Antara mereka menerima dermasiswa daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim di acara 'Health Knits' pada Sabtu (3 Jan).

BANTU PERSEDIAAN PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK

Related article image
HGEF berharap peningkatan dermasiswa itu dapat membantu meringankan beban kewangan penerima dan keluarga mereka. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Setiausaha Kehormat HGEF, Haslinda Putri Harun berkata, "HGEF berharap peningkatan dermasiswa ini dapat membantu meringankan beban kewangan penerima dan keluarga mereka. Walaupun jumlah bantuan yang diberikan tidaklah besar, kami berharap ia dapat sedikit sebanyak membantu, khususnya dalam persediaan untuk sesi persekolahan yang bermula pada minggu ini.

"Dengan sokongan ini, pelajar diharapkan dapat memberi tumpuan yang lebih baik kepada pelajaran mereka,manakala keluarga pula dapat mengurus kewangan dengan lebih tenang," tambahnya.

Tetamu terhormat, Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim turut melahirkan penghargaannya atas usaha HGEF dan langkah untuk menaikkan lagi kuantum dermasiswa.

Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim di acara 'Health Knits' pada Sabtu (3 Jan). (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

"HGEF turut memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat, dengan menghimpunkan para penderma yang pemurah, sukarelawan yang bersemangat serta pelbagai pihak berkepentingan lain bagi menyokong kanak-kanak dan belia rentan yang terjejas akibat penyalahgunaan dadah," kata Dr Faishal dalam ucapannya di acara itu.

"Anda sudah menyentuh kehidupan ramai anak muda dan membentuk mereka menjadi pemimpin masa depan. Usaha anda telah membantu membina sebuah masyarakat yang lebih kukuh dan penyayang," tambah beliau.

PELAJAR DAPAT DENGAR SESI PERKONGSIAN TENTANG LALUAN KERJAYA KESIHATAN DALAM KEJURURAWATAN

Related article image
Sesi perkongsian dan kegiatan daripada para jururawat dari Hospital Universiti Nasional (NUH). (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Selain sokongan kewangan, HGEF juga mendampingi anak dan keluarga pesalah menerusi acara 'Health Knits' yang memberi pendedahan kepada laluan kerjaya dalam bidang kesihatan termasuk kejururawatan menerusi perkongsian dan kegiatan dengan kerjasama para jururawat dari Hospital Universiti Nasional (NUH).

Selain itu, peserta juga dapat mendengar sendiri perjalanan Encik Zambri Othman, 46 tahun, yang pernah terjebak dalam gejala dadah ketika berusia 12 tahun.

Setelah berulang kali dimasukkan penjara, beliau tekad untuk memburu diploma dalam bidang kejururawatan pada usia 39 tahun.

Ini selepas beliau bekerja sebagai seorang Pembantu Penjagaan Pesakit di sebuah hospital selama tiga tahun.

"Saya melihat bahawa seorang jururawat itu boleh menyelamatkan nyawa dan dari situ, saya menyedari bahawa saya ingin menjadi seorang jururawat," kongsi Encik Zambri kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

ENCIK ZAMBRI TERDORONG JADI JURURAWAT UNTUK JAGA PESAKIT LANJUT USIA

Related article image
Encik Zambri kongsi pengalaman bersama pelajar dan keluarga pesalah dadah. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Beliau juga terdorong untuk menjadi jururawat bagi membantu pesakit lanjut usia selepas melihat ibunya menjaga datuknya.

"Saya masih ingat lagi sewaktu saya kecil dahulu, ibu saya pernah menjaga datuk saya tetapi ibu saya tidak berpelajaran. Bagaimanapun, dia bekerja selama 40 tahun dalam satu syarikat tetapi pada masa yang sama, dia menjaga datuk saya yang sedang sakit ketika itu. Jadi saya terdorong untuk menjaga orang-orang tua," ujarnya.

Setelah meraih diploma pada 2003, Encik Zambri bekerja sebagai seorang jururawat di hospital St Luke's sebelum memulakan Pertubuhan Bukan Meraih Keuntungannya (NPO) sendiri, Hope and Beyond Network Limited, yang mendampingi bekas pesalah.

UBAH DIRI SENDIRI UNTUK BANTU MEREKA YANG INGIN BERUBAH

Related article image
Sebelum membantu orang lain, perlu merubah diri sendiri terlebih dahulu.&nbsp;(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)<br /> <br /> &nbsp;

Encik Zambri berkata, "Biasanya orang beranggapan bahawa apabila seseorang itu mengambil dadah, dia tidak mempunyai masa depan. (Tanggapan) ini sering timbul kerana ada yang keluar masuk penjara.

"Namun, sebagai seorang sukarelawan, saya sendiri pernah melihat penagih berusia 60 tahun yang masih mahu berubah tetapi tidak tahu caranya. Dari situlah saya sedar bahawa kita perlu membantu mereka yang ingin berubah. Namun sebelum membantu orang lain, kita perlu merubah diri kita sendiri terlebih dahulu," tambahnya.

Dalam acara yang sama, hampir 100 hadirin juga bersama-sama Dr Faishal turut serta dalam kegiatan mengait untuk menyokong kesejahteraan emosi dan membina persekitaran yang selamat.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita