Dana Minggu Memberi SG Cares dilancarkan; bantu badan-badan amal kecil yang teruk terjejas COVID-19
Sebuah dana baru dilancarkan pada Selasa (1 Dis) demi membantu badan-badan amal kecil dan yang teruk terjejas dek pandemik COVID-19.
SINGAPURA: Sebuah dana baru dilancarkan pada Selasa (1 Dis) demi membantu badan-badan amal kecil dan yang teruk terjejas dek pandemik COVID-19.
Dana Minggu Memberi SG Cares yang diadakan sempena acara tahunan Minggu Memberi (1 hingga 7 Dis), dianjurkan Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Kebangsaan (NVPC) dengan sokongan lebih 200 pertubuhan.
Minggu Memberi SG Cares dilancarkan Presiden Halimah Yacob dengan disertai Menteri Kebudayaan, Perhubungan dan Belia, Edwin Tong. Acara fizikal dengan jumlah tetamu yang terhad diadakan di Pusat Konvensyen Suntec dan disiarkan khas secara online.
Dalam ucapannya, Presiden Halimah melahirkan rasa bangga atas sokongan lebih 200 pertubuhan seperti Singtel, SAFRA, Shopee, Lazada dan Carousell dalam menyumbang kepada usaha murni itu dalam pelbagai cara berbeza.
"Pandemik COVID-19 menjadikan usaha pengumpulan dana lebih mencabar bagi badan-badan amal. Oleh itu Dana Minggu Memberi SG Cares ditubuhkan untuk menyokong badan-badan amal kecil di Singapura. Hasil dana yang terkumpul akan disalurkan kepada badan-badan amal yang layak," kata Presiden Halimah.
PENDERMA SERING 'TERLEPAS PANDANG' SEKTOR SENI DAN WARISAN
30 pertubuhan bakal menerima bantuan Dana Minggu Memberi SG Cares. Antaranya ialah Yayasan Warisan Melayu (MHF), yang memperjuangkan kegiatan-kegiatan seni dan warisan Melayu sejak 1999.
Jika pada tahun 2019, ia berhasil mengumpulkan dana sebanyak S$20,000, jumlah itu bertambah sukar untuk dicapai disebabkan langkah-langkah pengurusan selamat bagi mencegah penularan COVID-19.
"Sebagai salah satu badan amal yang kecil dan juga berada dalam sektor seni dan warisan, memang kami menghadapi pelbagai cabaran untuk mengumpul dana. Menderma untuk sektor seni dan warisan ini bukanlah salah satu yang dilakukan secara automatik.
"Untuk pergi ke seorang penderma meminta mereka menyumbang kepada kegiatan seni dan warisan agak sukar," kata Pengurus Besar, MHF, Cik Julina Khusaini.
Sumbangan kepada Dana baru itu dibuka sehingga 31 Disember.
Bagi MHF, selain memberinya wadah untuk mendampingi penderma baru, dana yang bakal diterima itu boleh menjadi pencetus bagi usaha-usaha sedia ada dan yang baru.
"Sudah tentu kami akan meneruskan kegiatan-kegiatan yang telah sedia ada seperti penerbitan buku kami, siri-siri ceramah dan bengkel.
"Kami ingin mengiktiraf sumbangan dan juga usaha golongan penggiat seni kita, pekerja-pekerja seni kita. Mereka telah bertahun-tahun membuat persembahan dan sebagainya dan menghidupkan warisan dan seni kita.
"Jadi kami sedang mempertimbangkan untuk mungkin menyediakan sebuah pengiktirafan baru supaya menggalakkan mereka juga untuk mendokumentasi usaha mereka supaya generasi akan datang ada sumber rujukan," tambah Cik Julina mengenai usaha baru yang ingin disahakan pasukannya.
Untuk menderma kepada badan-badan amal kecil seperti MHF, layari: giving.sg/gwfund.
BERHARAP MAJIKAN DAPAT SOKONG USAHA PEMBELAJARAN PEKERJA ASING
Sebuah lagi pertubuhan yang berharap dapat menerima tempias Minggu Menderma itu ialah badan amal Aidha.
Sejak 2006, badan pendidikan dan kebajikan ini sudah membantu lebih 5,000 pembantu rumah asing dan golongan wanita susah supaya lebih 'celik kewangan'.
Ini dilakukan menerusi kursus-kursus kewangan, komunikasi, IT dan keusahawanan yang dikendalikan para sukarelawannya.
Sebelum ini, kelas-kelas kendaliannya diadakan pada hujung minggu di kampus UWC South East Asia untuk diselaraskan dengan jadual kerja pekerja asing. Namun, sejak awal tahun ini, semua kelas sudah berpindah ke wadah online.
(Gambar: Aidha)
Subsidi diberikan kepada pekerja asing untuk mengikuti kelas di sana. Namun, Aidha berharap, lebih banyak majikan dapat memberi sokongan kepada pekerja mereka untuk mendakap pembelajaran.
"Setelah menamatkan kursus pengurusan kewangan, simpanan bulanan alumni kami meningkat hampir 80 peratus dan keyakinan dan juga kemahiran komunikasi mereka turut meningkat," kata Pengurus Perhubungan Aidha, Cik Amirah Ali.
Bersempena Minggu Memberi ini, Aidha berharap dapat mengumpul S$150,000 bagi menokok kempen tahunannya, 'Hadiah Pendidikan' dan meluaskan lagi programnya.
"Bayaran yuran kursus kami membentuk sepertiga kos kami untuk menjadikannya lebih termampu untuk pelajar-pelajar kami.
"Kami ingin mengumpulkan dana supaya dapat terus menawarkan pendidikan kewangan dan menyokong lebih banyak wanita supaya menabung agar mereka boleh menikmati kebebasan kewangan," jelas Cik Amirah lagi.
Untuk menderma kepada usaha Aidha, sila layari giving.sg/aidha-ltd/giftofeducation2020.
Pelbagai kegiatan menarik turut disediakan di givingweek.sg.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.