Skip to main content

Singapura

Dana galak pengambilan pekerja inklusif, pekerjaan gig antara rancangan bantu 4,500 golongan kurang upaya SG dapatkan kerja

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Sep 2024 02:12PM Dikemas Kini : 16 Sep 2024 08:51PM
SINGAPURA: Menyediakan dana yang menggalak syarikat melaksanakan amalan bersifat inklusif dalam pengambilan pekerja, serta pekerjaan gig yang membolehkan golongan kurang upaya kembali bekerja, antara saranan yang didedahkan di bawah Pelan Induk Pemerkasaan 2030 pada Isnin (16 Sep).

Pelan induk itu adalah peta hala tuju nasional untuk pemerintah bekerjasama dengan masyarakat demi menyokong golongan kurang upaya.

Dengan saranan-saranan tersebut, tambahan 4,500 orang kurang upaya dijangka boleh bekerja menjelang 2030, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga dalam kenyataannya.

Kadar pengambilan pekerja kurang upaya berusia antara 15 hingga 64 tahun terus meningkat dari 28.2 peratus pada 2018/2019 kepada 32.7 peratus pada 2022/2023, menurut MSF.

Singapura bermatlamat menambah perangkaan tersebut kepada 40 peratus menjelang 2030.

Di bawah Pelan Induk Pemerkasaan 2030, dua pasukan bertindak - satu fokus kepada usaha menggalakkan amalan inklusif dalam pengambilan pekerja sementara satu lagi fokus kepada hidup bermasyarakat bagi golongan kurang upaya - ditubuhkan pada 2022.

Mereka terdiri daripada para anggota dari masyarakat, sektor-sektor privet dan awam, mahupun para individu.

Pasukan bertindak itu membentangkan pelbagai saranan selepas menjalankan perundingan menyeluruh bersama para majikan, golongan kurang upaya, penjaga, pembimbing kerjaya dan agensi-agensi perkhidmatan sosial, menurut MSF.

Di Festival Pembelajaran Akademi Pemerkasaan hari ini (16 Sep), Setiausaha Parlimen Kanan Eric Chua berkata lebih banyak boleh dilakukan untuk menyokong golongan kurang upaya yang berusia 18 tahun dan ke atas.

"Dua perkara utama yang kita boleh lakukan adalah meningkatkan pelibatan golongan kurang upaya dalam tenaga kerja, di samping menyediakan lebih banyak pilihan tempat tinggal dalam masyarakat," kata Encik Chua.

Beliau menambah, MSF menyokong saranan-saranan utama yang diusulkan dua pasukan bertindak kerana mereka menyokong usaha pihak kementerian dalam membina "Singapura yang lebih prihatin dan inklusif".

Menurut satu laporan oleh Pasukan Bertindak bagi Penggalakan Amalan Inklusif dalam Pengambilan Pekerja, lebih 7,000 syarikat sudah menggajikan golongan kurang upaya yang dikenal pasti di bawah khidmat-khidmat kurang upaya yang disokong pemerintah.

Ramai majikan tidak menggajikan pekerja kurang upaya kerana mereka tidak tahu manfaat daripada pengambilan pekerja inklusif atau kurang tahu dan tidak berupaya berbuat demikian, menurut laporan.

Mentelah lagi, hampir 80 peratus majikan inklusif hanya boleh menggajikan satu individu kurang upaya.

Maka itu, ada keperluan untuk menyokong lebih baik majikan agar mereka dapat menambah pekerja dari golongan kurang upaya lalu mewujudkan tempat kerja inklusif di mana kumpulan sasaran dapat membuat sumbangan bermakna kepada syarikat, tambah pasukan bertindak dalam laporannya.

Ini akan memerlukan lebih banyak majikan inklusif di mana mereka berupaya bertahan dan menggajikan lebih ramai individu kurang upaya.

Pemerintah menyasar untuk meningkatkan jumlah syarikat inklusif daripada 7,000 buat masa ini kepada 10,000 menjelang 2030.

Sehingga 30 peratus daripada jumlah itu diharap akan menggajikan lebih daripada satu pekerja kurang upaya.

Untuk berbuat demikian, pasukan bertindak menyarankan agar sokongan untuk membina keupayaan syarikat melaksanakan amalan inklusif dalam pengambilan pekerja, terus ditambah.

Ini termasuk menampung kos untuk melantik, menggajikan atau mendapatkan dan melengkapi seorang "pejuang" tempat kerja inklusif atau pembimbing pekerjaan dalam syarikat untuk memupuk persekitaran yang inklusif.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita