Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dana bantuan Gaza: RLAF kumpul lebih S$800,000 12 jam selepas dilancarkan

Kutipan dana yang dijalankan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) bagi membantu rakyat Palestin di Gaza, sudah mengumpulkan lebih S$800,000 dalam tempoh 12 jam sejak usaha itu dilancarkan, menurut badan tersebut pada Sabtu (22 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Dana bantuan Gaza: RLAF kumpul lebih S$800,000 12 jam selepas dilancarkan

Kemusnahan yang dirakam di Carikan Gaza (Gambar ihsan: UNRWA)

SINGAPURA: Kutipan dana yang dijalankan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) bagi membantu rakyat Palestin di Gaza, sudah mengumpulkan lebih S$800,000 dalam tempoh 12 jam sejak usaha itu dilancarkan, menurut badan tersebut pada Sabtu (22 Mei).

Pengumpulan dana bagi menyokong bantuan kemanusiaan dengan kerjasama Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) itu dilakukan secara online mulai hari ini hingga 30 Mei.

Ia diadakan ekoran konflik berdarah antara Israel dengan Palestin pada 10 Mei yang kemudian berlarutan untuk 11 hari sebelum gencatan senjata diumumkan.

Kementerian Kesihatan Gaza pada Sabtu (22 Mei) menyatakan sekurang-kurangnya 248 warga Palestin terbunuh termasuk 66 kanak-kanak.

Lebih 1,600 orang cedera dengan sekitar 72,00 orang terpaksa melarikan diri dari rumah mereka.

Tentera Israel pula menyatakan sekitar 12 penduduknya terbunuh termasuk dua kanak-kanak manakala 333 orang cedera.

Pada Khamis, RLAF menyatakan Gaza menyaksikan "kecederaan tragis, kehilangan nyawa dan pemusnahan prasarana fizikal".

"Tekanan psikososial yang tinggi, terutama dalam kalangan kanak-kanak, kini menjadi lebih buruk," tulis pertubuhan tersebut.

RLAF mendedahkan jumlah S$800,000 yang dikumpulkan setakat ini termasuk sumbangan sebanyak S$200,000 dari syarikat rangkaian pasar raya tempatan, Sheng Siong Group Ltd.

Sumbangan itu diserahkan oleh CEO syarikat tersebut, Encik Lim Hock Chee, kepada CEO RLAF, Encik Muhammad Faizal Othman dalam satu majlis penyampaian di Masjid Yusof Ishak pagi ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Wakil Singapura bukan Pemastautin ke Palestin Encik Hawazi Daipi dan Ketua Eksekutif MUIS, Encik Esa Masood.

CEO Sheng Siong Grp Ltd Lim Hock Chee (kiri) serahkan derma S$200,000 kepada RLAF bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza (Gambar: MUIS)

(Gambar: MUIS)

"Sheng Siong sentiasa berusaha untuk membantu masyarakat. Jadi, jumlah wang ini adalah satu cara kami untuk menyumbang kembali dan membantu orang-orang di Palestin," kata Encik Lim.

"Ini menunjukkan bagaimana kita dapat bekerjasama tanpa mengira bangsa atau agama. Kita semua merasakan sifat ihsan tentang kehidupan rakyat Palestin di Gaza," kata Encik Muhammad Faizal, sambil menambah bahawa beliau berharap sumbangan itu akan sedikit sebanyak membawa keceriaan kepada penduduk Gaza dengan memberikan bekalan asas seperti air, makanan dan penjagaan kesihatan.

Pada Jumaat, Pemerintah Singapura mengumumkan sumbangan AS$100,000 (S$133,000) bagi usaha-usaha kemanusiaan di Gaza.

(Sumber: RLAF)

(Sumber: RLAF)

Orang ramai masih boleh menyumbang derma menerusi wadah-wadah berikut, sehingga Ahad depan:

  • PayNow – masukkan UEN RLAF: 200910530ZCHQ dan tulis 'Gaza' di ruang 'remarks'.
  • Giving.SG – www.tinyurl.com/aidforgaza (pautan hanya aktif mulai 22 Mei 2021, 12.00 tengah malam)
  • Muslim.SG – RLAF - Humanitarian Aid for Gaza
  • Pemindahan dana antara bank menerusi RLAF (Rahmatan Lil Alamin Foundation) – Salurkan dana ke
  • OCBC Current Account nombor: 601313315001
  • Menulis cek kepada ‘RLAF’. Tuliskan nama dan nombor telefon penderma di belakang cek dan tulis "Gaza". Cek boleh dikirimkan melalui pos ke: RLAF (Masjid Yusof Ishak, No 10, Woodlands Drive 17, Singapura 737740) atau ke MUIS (No. 273 Braddell Road, Singapura 579702) 
Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan