Dakwaan 'usia kelayakan menerima bayaran persaraan' dinaikkan kepada 70 tahun tidak benar: Lembaga CPF
Catatan-catatan dan mesej-mesej di media sosial yang mendakwa bahawa Pemerintah sudah menaikkan usia kelayakan bayaran daripada Skim Jumlah Persaraan (RSS) kepada 70 tahun adalah "tidak benar".
SINGAPURA: Catatan-catatan dan mesej-mesej di media sosial yang mendakwa bahawa Pemerintah sudah menaikkan usia kelayakan bayaran daripada Skim Jumlah Persaraan (RSS) kepada 70 tahun adalah "tidak benar". Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) menegaskan demikian dalam satu catatan di laman Facebooknya pada Sabtu (19 Jan).
"Anda mungkin ternampak catatan-catatan dan mesej-mesej media sosial baru-baru ini yang mendakwa bahawa Pemerintah secara senyap-senyap menaikkan 'usia kelayaran bayaran jumlah persaraan' kepada 70 tahun bagi Skim Jumlah Persaraan," menurut Lembaga CPF.
"Ia tidak benar sama sekali dan inilah fakta-faktanya," menurut lembaga tersebut.
Dalam catatannya, lembaga itu menerangkan bahawa usia kelayakan bayaran pencarum di bawah RSS adalah 65 tahun bagi mereka yang dilahirkan dari 1954.
Ia diumumkan pada 2007 dan usia tersebut kekal tidak berubah, menurut lembaga itu. "Ini bermakna para pencarum boleh mula menerima bayaran bulanan apabila berusia 65 tahun."
Isu berkenaan menerima perhatian selepas beberapa catatan menjadi tular di media sosial, mendakwa bahawa surat-surat yang dikirimkan Lembaga CPF seolah-olah memberi bayangan bahawa usia kelayakan bayaran itu sudah dinaikkan kepada 70 tahun.
Salah satu surat yang dikongsi oleh pengguna Facebook Padma Fl menyatakan bahawa penerima tidak perlu mengambil sebarang tindakan jika beliau mahu mula menerima bayaran pada usia 70 tahun.
Menurut surat itu lagi: "Jika anda ingin mula menerima bayaran itu sebelum usia 70 tahun, anda perlu memaklumkan kami sebulan sebelum anda menerima bayaran dengan menyerahkan: Surat yang dikirimkan; atau melakukan permohonan secara online jika anda memiliki akaun POSB, DBS, OCBC dan UOB."
Padma Fl berkata surat itu dihantar kepada bapa saudara salah seorang bekas rakan kerjanya, yang genap menyambut usia 65 tahun dalam tempoh tiga bulan akan datang.
PENGAGIHAN AUTOMATIK 'BAGI MEMUDAHKAN PROSES PENGAKTIFAN'
Dalam catatan Facebooknya, Lembaga CPF menyatakan sebelum pencarum mencapai usia kelayakan itu, mereka akan menerima kiriman surat daripada lembaga berkenaan bagi memaklumkan bahawa mereka boleh mula menerima bayaran bulanan menerusi borang permohonan yang dikirimkan ataupun secara online.
"Para anggota juga diingatkan menerusi penyata akaun tahunan bahawa mereka boleh membuat permohonan untuk mula menerima bayaran tersebut."
Ia menambah: "Sebelum 2018, jika para anggota tidak membuat permohonan untuk mula menerima bayaran daripada RSS dari usia 65 tahun, bayaran tidak akan dibuat sama sekali kerana usia permulaan tidak ditetapkan secara automatik."
Maka itu menurut Lembaga CPF, sebilangan pencarum tidak menerima bayaran bulanan mereka meskipun setelah mencecah usia 70 tahun.
"Oleh itu, lembaga CPF memperkenalkan bayaran automatik bagi para pencarum yang berusia 70 tahun mulai Januari 2018.
Langkah itu, tambahnya, bagi memudahkan proses mengaktifkan bayaran supaya pencarum dapat menikmati bayaran persaraan daripada simpanan CPF mereka.
Usia permulaan automatik yang sama ditetapkan bagi anggota CPF Hayat yang berusia 55 tahun mulai Julai 2015, sekiranya mereka belum lagi memaklumkan Lembaga CPF jika mereka ingin mula menerima bayaran antara usia 65 hingga 70 tahun.
"Ini membolehkan para pencarum CPF untuk menikmati bayaran bulanan lebih tinggi, iaitu sejajar dengan saranan Panel Penasihat CPF bagi menawarkan para anggota pilihan untuk menangguhkan usia permulaan bagi menerima bayaran daripada RSS sehingga berusia 70 tahun."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.