'Dakapi definisi kejayaan lebih luas': Laporan Melakar Hala Tuju Singapura bentang visi baharu SG
(Gambar fail: iStock)
SINGAPURA: Lebih daripada setakat kebendaan, rakyat Singapura kini memburu makna – dan Impian Singapura yang berkembang mesti mencerminkan perubahan-perubahan utama tentang bagaimana rakyat Singapura mentakrifkan kejayaan yang merangkumi segala aspek kehidupan.
Ini digariskan dalam laporan Gerakan Melakar Hala Tuju Singapura yang dikeluarkan pada Jumaat (27 Okt), yang membentangkan hala tuju untuk visi baharu Singapura.
Gerakan Melakar Hala Tuju Singapura, dilancarkan pada Jun 2022, diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong dan para pemimpin politik Generasi Keempat (4G) yang lain untuk menyemak dan menyegarkan semula "kompak sosial" Singapura. Ini digambarkan sebagai "gerakan yang menyatukan masyarakat, pemahaman bersama tentang peranan dan tanggungjawab kita terhadap satu sama lain, dan nilai dan aspirasi bersama kita sebagai rakyat negara ini".
Gerakan itu mendampingi lebih 200,000 rakyat Singapura sepanjang tempoh selama 16 bulan untuk membincangkan isu-isu daripada kerjaya hingga ke penuaan dan kemampanan alam sekitar.
Satu bidang yang "sentiasa dibangkitkan" dalam perbincangan tersebut, menurut laporan yang merangkumi hampir 180 muka surat, ialah bagaimana idea "kehidupan yang baik" telah berkembang melangkaui kejayaan duniawi.
"Secara khususnya, terdapat perubahan yang ketara pada pemikiran belia kita. Apabila orang muda hari ini bercakap tentang kerjaya dan pekerjaan, mereka sering menyuarakan tentang makna dan tujuan dalam apa sahaja yang mereka lakukan, bukan hanya untuk mendapatkan gaji yang baik. Dalam erti kata lain, kita mahu menerima definisi kejayaan yang lebih luas," dedah laporan itu.
Laporan itu juga mendapati bahawa rakyat Singapura bersetuju bahawa adalah penting untuk memiliki ekonomi yang kukuh dan bertenaga, serta menegakkan nilai-nilai keadilan, keterangkuman, kepimpinan, dan "perpaduan dan tanggungjawab bersama, di mana setiap rakyat menyumbang semula kepada masyarakat dan saling membantu mereka yang memerlukan".
Pada masa yang sama, "perbincangan menyeluruh" yang sekalipun melibatkan pandangan berbeza akan mengukuhkan prinsip teras Singapura untuk terus menegakkan dan menyerlahkan pendekatan sedia ada yang perlu disegarkan.
Secara keseluruhannya, laporan itu mendapati bahawa rakyat Singapura mahukan masyarakat yang cergas bertenaga dan inklusif, adil dan berkembang maju, serta berdaya tahan dan bersatu padu.
PERUBAHAN DIPERLUKAN DALAM PENDIDIKAN, PEKERJAAN, SOKONGAN SOSIAL
Untuk menyegarkan Impian Singapura, ia memerlukan beberapa anjakan penting, merangkumi pendidikan, pekerjaan dan sokongan untuk keluarga dan warga emas, dedah laporan itu.
Dalam bidang pendidikan, tumpuan harus beralih daripada sikap berlumba-lumba kepada mentaliti atau pemikiran yang mengutamakan pembelajaran sepanjang hayat. Pada masa yang sama, ini bermakna mewujudkan laluan kerjaya yang pelbagai untuk rakyat Singapura demi mewujudkan "versi terbaik tentang diri mereka" dan membuat perubahan dengan cara mereka yang tersendiri.
Tanggungjawab individu pula harus seiring dengan "tanggungjawab kolektif yang lebih besar" - daripada menyediakan lebih banyak sokongan untuk keluarga dan warga emas kepada membantu rakyat Singapura bangkit semula daripada cabaran-cabaran yang dihadapi dengan sistem sokongan sosial yang lebih baik.
"Akhirnya, kami menyasarkan untuk membina perpaduan dan jati diri yang lebih kukuh sebagai rakyat Singapura... Kami mahu setiap rakyat Singapura menyedari dan merasakan betapa pentingnya masa depan kita bersama, sambil memiliki rasa kewajipan dan tanggungjawab antara satu sama lain," dedah laporan itu selanjutnya.
Bagi merealisasikan visi bersama ini, ia menggariskan tujuh anjakan utama yang diperlukan:
1. Menyokong keluarga pada setiap tahap kehidupan
Menjadikan Singapura tempat terbaik untuk memulakan, mengembangkan atau membina keluarga bermakna dengan memberikan mereka lebih jaminan dan membantu mereka mengimbangi komitmen kerja dan keluarga, dedah laporan itu.
Sehubungan itu, lebih banyak sokongan akan diberikan kepada ibu bapa baharu, termasuk kemungkinan menambah cuti ibu bapa bergaji dan memperluaskan tempat penjagaan bayi dan pilihan penjagaan anak berdasarkan pusat.
Rakyat Singapura akan mendapat lebih banyak sokongan untuk kesejahteraan mental dan keharmonian kehidupan kerja, melalui satu set garis panduan perikatan tiga pihak mengenai aturan kerja fleksibel yang akan dikeluarkan pada 2024 dan strategi kesihatan mental dan kesejahteraan negara yang dilancarkan awal bulan ini.
Meningkatkan kemampuan intervensi awal, pendidikan dan khidmat penjagaan untuk keluarga yang mempunyai kanak-kanak dengan keperluan pembangunan dan pendidikan khas juga akan meningkatkan sokongan untuk para penjaga.
2. Setiap pekerjaan dihormati dan diberi ganjaran
Menangani keinginan rakyat Singapura yang semakin meningkat untuk pekerjaan dan peluang yang bermakna untuk membangunkan kemahiran, anjakan utama ini memerlukan usaha untuk merapatkan lagi jurang gaji bagi mereka yang mempunyai pekerjaan bergaji rendah. Laporan itu turut menyenaraikan karyawan seperti juruelektrik dan tukang paip, serta ramai dalam sektor jagaan kesihatan dan penjagaan warga emas.
Pemerintah akan mengkaji bagaimana ia boleh membantu lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) membiayai kos mendapatkan diploma dan mungkin menokok simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) (CPF) mereka apabila mereka tamat pengajian.
Pemerintah juga akan menyokong mereka yang ingin menukar kerjaya dengan menggunakan kaedah digital dan khidmat bimbingan kerjaya untuk memberikan saranan-saranan yang lebih diperibadikan tentang pekerjaan dan laluan kemahiran mereka.
Skim sokongan baharu untuk membantu "pemohon kerja yang menganggur bukan secara sukarela" akan dilancarkan untuk membantu mereka "bangkit semula dengan lebih kukuh".
Pemerintah juga akan bekerjasama dengan para majikan dan persatuan industri untuk memupuk bakat tempatan menjadi pakar dan peneraju dalam bidang-bidang mereka, terutamanya bagi peranan atasan di peringkat serantau dalam syarikat-syarikat berbilang negara (MNC).
3. Menimba ilmu melangkaui kecemerlangan akademik
Sehubungan itu, laporan itu menekankan keperluan untuk warga Singapura meneruskan pembelajaran sepanjang hayat "melangkaui kecemerlangan akademik".
"Sokongan yang ketara" kepada SkillsFuture akan disediakan untuk membantu rakyat Singapura matang dalam golongan pertengahan kerjaya menimba kemahiran baharu dan menajamkan lagi kemahiran sedia ada. Ini termasuk menokok kredit SkillsFuture dengan ketara dan sokongan untuk rakyat Singapura mendapatkan satu lagi diploma yang dibiayai awam.
Anjakan ini juga memerlukan definisi merit yang diperluaskan dan membangunkan laluan yang lebih pelbagai, seperti peralihan kepada Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) di sekolah menengah mulai tahun depan.
Memupuk minat untuk belajar juga bermakna memberi setiap kanak-kanak permulaan yang baik, termasuk memberi lebih perhatian kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.
4. Memperkasa mereka yang memerlukan
Sokongan untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah juga memerlukan usaha merapatkan "jurang awal" dengan meningkatkan pendaftaran dan kehadiran prasekolah, dedah laporan itu.
Perubahan yang akan dibuat dalam bidang ini termasuk memperluaskan subsidi penjagaan kanak-kanak penuh kepada keluarga berpendapatan rendah berdasarkan pendapatan mereka.
Anjakan utama untuk memperkasakan golongan yang memerlukan ini juga termasuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi masyarakat untuk memberikan sokongan tambahan bagi memperkasakan keluarga-keluarga rentan "mengekalkan kemajuan" dalam usaha memperbaiki keadaan hidup mereka.
Ia juga akan menghulurkan sokongan yang diperkukuh untuk golongan kurang upaya meneruskan pembelajaran sepanjang hayat dan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif di mana mereka boleh "menyertai dan hidup berdikari".
5. Membantu warga emas menua dengan sejahtera
Sedang bilangan penduduk Singapura terus menua, membolehkan warga emas menua dengan sejahtera adalah penting, dan ini dapat dicapai menerusi program di peringkat nasional seperti SG Lebih Sihat dan Sihat Menua SG atau Age Well SG.
Pemerintah akan menggalak penuaan aktif dalam masyarakat dengan memperluaskan rangkaian pusat penuaan aktif dan mengubah suai operasinya. Ia juga akan mengukuhkan sistem jagaan warga emas berlandaskan masyarakat, menjadikan perjalanan jagaan warga tua "lebih mudah dan lancar", menurut laporan itu.
Warga emas juga akan menyaksikan peningkatan pada persekitaran tempat tinggal mereka, termasuk lebih banyak ciri mesra warga emas dan lebih banyak pilihan kediaman yang disepadukan dengan khidmat jagaan.
Bagi memastikan warga emas dapat bersara dengan "minda yang tenang", skim-skim sedia ada seperti Skim Ihsan Senja (Silver Support Scheme) dan Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan akan dipertingkat.
Pakej Majulah, yang disasarkan bagi rakyat Singapura berusia 50 tahun ke atas tahun ini, juga akan diperkenalkan bagi meningkatkan simpanan persaraan mereka.
6. Melabur dalam masa hadapan yang mampan
Singapura boleh menangani cabaran hari ini sambil menyediakan asas kukuh bagi masa depan dengan "menguruskan sumber terhad secara bertanggungjawab dan mampan" dalam tiga bidang utama, dedah laporan itu.
Ini termasuk memaksimumkan tanah dan sumber alam sekitar yang terhad, sekali gus mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan dan air kita, dan terus mengekalkan prinsip berbelanja dengan hemat dan bertanggungjawab.
"Semua ini memerlukan lebih banyak sumber awam, yang sebahagian besarnya datang dari hasil cukai, serta pulangan pelaburan daripada rizab kita. Keputusan sukar perlu dibuat tentang bagaimana kita akan memberi keutamaan dari segi perbelanjaan kita, dan bagaimana untuk terus menjadikan sistem keseluruhan kita adil dan saksama," menurut laporan itu.
"Pertimbangan adil ini diamalkan bukan sahaja hari ini tetapi merentasi generasi. Jika kita fikirkan untuk jangka pendek sahaja, siapa yang akan warisi Singapura yang tidak cukup bersedia untuk cabaran masa depan?"
7. Memainkan peranan kita sebagai satu rakyat yang bersatu
Laporan itu juga merumuskan bahawa kekuatan seluruh masyarakat Singapura bergantung kepada perpaduannya dan bagaimana rakyatnya mengambil berat terhadap satu sama lain.
Lebih penting lagi adalah untuk memupuk budaya memberi yang lebih kukuh, terutama sekali mereka yang meraih kedudukan cemerlang, dan menghubungkan penyumbang dan relawan dengan lebih baik lagi dengan keperluan masyarakat setempat.
Ia juga memerlukan usaha mengukuhkan prinsip berbilang kaum dan identiti Singapura, serta mencipta lebih banyak wadah untuk orang awam turut terlibat dalam masyarakat.
"Jelas bahawa Singapura paling kukuh apabila kita bersatu padu - apabila kita sedar bahawa mengambil berat antara satu sama lain juga cara terbaik untuk menjaga diri kita, dan apabila kita mewujudkan rasa persaudaraan dan kepercayaan yang mendalam antara satu sama lain," menurut laporan itu.
"Secara khususnya, mereka yang sudah berjaya harus memainkan peranan mereka bagi membantu orang lain dalam masyarakat."
Kesimpulannya, "kompak sosial yang berfungsi dan bersemangat mewujudkan kepercayaan", dedah laporan itu. "Ia membawa kepada rasa terjamin bahawa ada seseorang yang mengambil berat tentang keperluan kita - bahawa kita saling menyokong satu sama lain."
Meskipun sebilangan anjakan utama sedang diusahakan, butiran inisiatif lain akan diumumkan pada bulan-bulan mendatang dan semasa Belanjawan 2024.
Orang ramai boleh meneliti saranan-saranan yang dikemukakan dalam laporan itu dengan mengunjungi Pesta Melakar Hala Tuju Singapura di Taman di Pesisiran dari Jumaat hingga Ahad.
Pesta itu kemudian akan diperluaskan ke pelbagai kawasan kejiranan sehingga 28 Jan tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.