Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dahulu pelajar pertama madrasah masuk fakulti undang-undang NUS, kini bergelar Timbalan Pendakwa Raya

Keazaman untuk membantu dan menyumbang semula kepada masyarakat mendorong Muhd Nur Hidayat Amir untuk menukar kerjaya dalam sektor undang-undang.

Anggaran Waktu Membaca:
Dahulu pelajar pertama madrasah masuk fakulti undang-undang NUS, kini bergelar Timbalan Pendakwa Raya

(Gambar ihsan: Muhd Nur Hidayat Amir)

Diterbitkan : 29 Sep 2021 01:38PM Dikemas Kini : 29 Sep 2021 01:44PM

SINGAPURA: Keazaman untuk membantu dan menyumbang semula kepada masyarakat mendorong Muhd Nur Hidayat Amir untuk menukar kerjaya dalam sektor undang-undang.

Ini walaupun pada ketika itu beliau sudahpun bertugas di salah satu daripada empat firma guaman utama di Singapura dan menangani kes-kes mahkamah melibatkan jutaan dolar.

Kini, graduan jurusan undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS) itu adalah seorang Timbalan Pendakwa Raya di Pejabat Peguam Negara (AGC).

Sebagai seorang Timbalan Pendakwa Raya, beliau menjalankan pelbagai tugas yang berkaitan dengan sistem keadilan jenayah - antara lain, meneliti bukti yang diserahkan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang untuk menilai sama ada berlaku kesalahan, mengendalikan perbicaraan kes di Mahkamah Negara dan mewakili Negara dalam Rayuan Majistret di Mahkamah Tinggi.

PENCAPAIAN BERKAT SOKONGAN IBU BAPA, GURU MADRASAH

Walaupun pencapaiannya dalam sektor undang-undang boleh dianggap sangat membanggakan, Encik Hidayat, 28 tahun dengan rendah hati berkata segala pencapaiannya adalah berkat sokongan ibu bapa dan gurunya dari Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.

Menurut Encik Hidayat, bapanya adalah seorang pemandu pesara dan ibunya pula seorang suri rumah.

Beliau pula dibesarkan dalam keluarga seramai enam anggota yang menetap di sebuah flat empat bilik HDB.

Walaupun dibesarkan dengan latar belakang keluarga yang sederhana, beliau tidak menganggap dirinya kurang bernasib baik.

Malah, beliau menganggap dirinya cukup bernasib baik dapat dibesarkan dalam suasana keluarga yang rukun dan saling menyokong antara satu sama lain.

"Setiap hari, ayah saya akan membawa pulang surat khabar bahasa Inggeris daripada tempat kerjanya, yang ditinggalkan oleh individu tidak dikenali dan kami akan membacanya.

"Saya bernasib baik kerana mempunyai sistem sokongan yang baik dalam keluarga saya dan dalam masyarakat, dan saya sedar ada sesetengah individu di luar sana yang mungkin lebih pintar dan berbakat namun tidak mempunyai latar belakang keluarga yang baik," katanya dalam wawancara bersama Muslim.sg.

(Gambar: Muslim.sg, Ihsan: Hidayat Amir)

Encik Hidayat juga berkongsi bahawa pada awalnya beliau adalah seorang pelajar yang 'biasa-biasa saja'.

"Hanya menjelang penghujung peringkat sekolah menengah barulah saya menyedari bahawa saya terhutang budi kepada ibu bapa dan masyarakat untuk melakukan yang terbaik.

"Setelah menerima bantuan daripada Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), saya merasakan bahawa sumbangan oleh para penderma wajar dimanfaatkan dengan sebaiknya."

Berkat kerja kerasnya, Encik Hidayat muncul sebagai pelajar terbaik dalam peperiksaan peringkat GCE 'O' dan 'valedictorian' Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah pada 2010.

Beliau juga menerima Anugerah MENDAKI atas pencapaian cemerlangnya bagi peperiksaan GCE 'O'.

Malah, Encik Hidayat merupakan pelajar madrasah pertama yang berjaya memasuki Fakulti Undang-Undang NUS.

CABARAN DIHADAPI

Walaupun dengan segala pencapaian yang dikecapinya sejauh ini, Encik Hidayat masih merasakan kekurangan pada dirinya.

"Saya sentiasa merasakan bahawa saya amat bernasib baik dan tidak mungkin ia akan berterusan," katanya kepada Muslim.sg.

Apabila beliau membuat permohonan untuk memasuki Fakulti Undang-Undang NUS, beliau tidak mengenali sesiapa pun yang dapat membantunya dalam persiapan bagi proses permohonan itu.

"Saya tidak tahu apakah esei-esei yang harus dijangkakan, apakah jenis temu bual yang akan saya jalani. Saya menghadiri temu bual itu berbekalkan maklumat yang saya perolehi daripada laman NUS."

KEJAYAAN BUKAN HANYA PADA STATUS

Bagi Encik Hidayat, kejayaan itu merujuk kepada melakukan usaha sebaik mungkin bagi apa saja yang dilakukan.

"Anda mungkin menceburi kerjaya yang masyarakat mungkin tidak menganggap, misalnya, sebagai paling elit, seperti seorang pemandu Grab atau 'chauffeur' seperti ayah saya, namun jika anda melakukan yang terbaik bagi pekerjaan yang dilakukan, ia sudah menjadi satu kejayaan.

"Ayah saya adalah seseorang yang berjaya dalam pandangan saya kerana tidak kira berapa lama beliau bekerja, beliau akan melakukan yang terbaik untuk memastikan beliau melakukan tugasnya dengan betul."

Menurut Encik Hidayat lagi, jawatannya sebagai seorang Timbalan Pendakwa Raya hanyalah satu "gelaran sementara".

Sehubungan itu, Encik Hidayat merasakan meskipun tanggapan masyarakat terhadap apa yang dianggap sebagai sesuatu kejayaan perlu diubah, ia menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membantu golongan yang memerlukan.

Justeru, dalam usaha membantu para pelajar madrasah dalam pelajaran mereka, Encik Hidayat memimpin program pementoran Maxima yang membantu para pelajar madrasah membuat persediaan sebelum menduduki peperiksaan GCE 'O'.

Beliau juga menyertai pelbagai program anjuran Mendaki bagi para pelajar yang ingin berjinak-jinak dalam industri undang-undang dan guaman.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan