Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Dahsyat Kak!" - Kongsi mangsa gempa Palu kepada keluarganya di S'pura

Khabar berita yang dinanti-nantikan akhirnya muncul. Mesej WhatsApp pertama yang diterima Ustaz Mas'udin sekitar tiga jam kemudian berbunyi: “Dahsyat kak!”. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Setelah gempa besar 7.5 Richter memukul bandar Palu, Ustaz Mas'udin Syarifuddin yang menetap di Yishun, gagal menghubungi dua orang adiknya yang menetap di Palu, ibu kota wilayah Sulawesi Tengah, meskipun mencuba berkali-kali. Beliau cemas.

Khabar berita yang dinanti-nantikan akhirnya muncul. Mesej WhatsApp pertama yang diterima Ustaz Mas'udin sekitar tiga jam kemudian berbunyi: “Dahsyat kak!”. Dua perkataan yang memberi gambaran cukup mendalam.

Mesej tersebut membuatkan hati Ustaz Mas'udin - yang kini bertugas sebagai Pengarah Eksekutif di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri - semakin khuatir dan dicengkam perasaan tidak tentu arah tentang keadaan keluarganya di Palu.

Palu antara kawasan yang hebat disapu ombak tsunami ekoran gempa tersebut pada 28 September lalu.

Adakah adik-adiknya selamat? Adakah mereka masih hidup? Itulah persoalan-persoalan yang bertubi-tubi hinggap di benak fikiran Ustaz Mas’udin Syarifuddin, warga Indonesia asal Sulawesi yang sudah enam tahun menjadi Penduduk Tetap (PR) Singapura.

“Waktu pertama kejadian itu saya tak ambil kisahlah. Sebab satu, mungkin kejadian itu kecil tetapi bila saya duduk di pejabat, itu dah jam 6.00 petang, tiba-tiba saya terbaca berita terjadi gempa di Palu dan kemungkinan ada peringatan tsunami.

“Tapi peringatan tsunami itu sudah dicabut jadi saya pun tak ragulah. Bila saya mesej adik saya, ‘Saya dengar ada gempa di Palu, semua ok?’ Jadi tak ada balasan. Kedua-dua adik saya tak ada balasan.

"Jadi saya mulai merasa khuatir. Prihatin. Jadi saya tanya lagi, saya tanya lagi tidak ada jawapan, tak ada respons,” cerita Ustaz Mas’udin kepada BERITAmediacorp tentang perasaan yang membelenggunya ketika itu.

(Gambar-gambar: Mas'udin Syarifuddin)

Ustaz Mas'udin (paling kiri), adik lelakinya Ihksan (paling kanan) dan adik perempuan Nahdah (dua dari kanan). (Gambar: Mas'udin Syarifuddin)

USTAZ MAS'UDIN: HAMPIR YAKIN ADIK LELAKI TERKORBAN

Beliau menambah dua orang adiknya, seorang lelaki dan seorang perempuan, yang masing-masing sudah berumahtangga dan mempunyai anak, menetap di Bandar Palu. Kedua-dua ibu bapanya pula tinggal di kampung yang terletak di Desa Soni, kira-kira 270 kilometer jauhnya dari bandar.

“Tapi alhamdulillah adik saya yang perempuan sempat jawab. Jawapannya satu saja - ‘dahsyat!’ jadi saya tambah khuatir, prihatin tentang keadaan mereka,” tambah beliau.

Meskipun sekurang-kurangnya sudah mengetahui adik perempuannya masih hidup, persoalan tentang adik lelakinya masih tidak terjawab. Mentelah lagi, adik perempuannya sendiri terputus hubungan dengan adik lelakinya. Lantaran itu, beliau sudah hampir yakin bahawa mungkin adik lelakinya itu sudah menjadi antara ribuan orang yang terkorban akibat bencana alam itu.

“Itu menguatkan, mungkin adik saya sudah tidak ada. Satu hari itu dari pagi sampai petang saya mesej, saya telefon, saya mesej (lagi) tak ada respon. Hari Ahad (hari ketiga selepas gempa) sepanjang hari memang saya termenunglah. Termenung sedih dan sebagainya.

"Sehingga pada Ahad malam jam 10.00, alhamdulillah adik (perempuan) saya telefon. Dia cakap pagi ini kita dah jumpa dengan abang Ihksan,” kata beliau, merujuk kepada adik lelaki yang bernama Ihksan Syarifuddin.

(Gambar-gambar: Mas'udin Syarifuddin)

(Gambar: Mas'udin Syarifuddin)

TAK JADI KE PANTAI; MUJUR MESYUARAT BERLARUTAN LEBIH WAKTU

Berkongsi detik-detik sebelum kejadian seperti yang diceritakan oleh kedua-dua adiknya itu, Ustaz Mas’udin berkata adik lelakinya nyaris-nyaris menjadi korban.

Pada hari berlakunya gempa dan tsunami (28 Sep), sebuah pesta nasional yang dipanggil Pesta Nomoni sedang berlangsung dekat dengan pantai Talise. Adik beliau, Ikhsan, memang mengambil bahagian dengan membuka dua gerai untuk berniaga di sana. Malah beliau sepatutnya datang untuk meninjau kedua-dua gerai tersebut pada waktu tsunami berlaku.

Namun secara kebetulan mesyuarat yang sedang dihadiri Encik Ikhsan di tempat lain berlarutan dan habis lebih lewat, sekaligus menyelamatkan beliau daripada berada di pantai itu semasa gempa-tsunami melanda.

(Gambar-gambar: Mas'udin Syarifuddin)

(Gambar: Mas'udin Syarifuddin)

BARU 3 MINGGU LAWAT PALU...

Bencana ngeri gempa-tsunami itu ternyata mengejutkan bagi Ustaz Mas’udin memandangkan beliau serta isterinya Norjanah Ramli, seorang rakyat Singapura, dan empat anaknya baru sahaja pulang ke kampung di Palu.

Mereka menziarahi adik-beradik Ustaz Mas'udin di Palu selama 9 hari - dari 1 hingga 9 September - sebelum kejadian mengerikan itu berlaku.

Ustaz Mas’udin memberitahu BERITAmediacorp beliau berasa amat lega dan bersyukur bahawa adik-adiknya terselamat dan sekiranya pada waktu kejadian itu ada yang terkorban, beliau pasti akan terus pulang sekali lagi.

IBARAT PADANG JARAK PADANG TEKUKUR

Berkongsi cerita tentang keadaan adik-adiknya di sana sekarang, beliau mendedahkan bahawa rumah mereka meskipun tidak roboh, ia rosak dan perlu dibaiki. Suasana di kawasan Palu juga digambarkan seolah-olah seperti ‘ground-zero’ atau ibarat padang jarak padang tekukur.

(Gambar-gambar: Mas'udin Syarifuddin)

(Gambar: Mas'udin Syarifuddin)

“Adik saya bilang tidak ada apa-apa lagi di Palu. Ia macam ‘ground zero’. Kalau mengikut adik saya itu, dia punya kenyataan, dia macam Palu ini undur 20 tahun kebelakang dan untuk membangun Palu itu balik maknanya memerlukan (lagi) 20 tahun. Jadi saya terus berikan mereka semangat,” ujar Ustaz Mas'udin penuh harapan.

Adik perempuan beliau, Nahda Syarifuddin, terpaksa menginap di tempat perlindungan selama tiga hari sebelum dapat pulang ke kampung ibu bapanya.

(Gambar-gambar: Mas'udin Syarifuddin)

(Gambar: Mas'udin Syarifuddin)

"Mereka memang fobialah, suara kecil pun merasa itu adalah tsunami yang akan datang atau gempa bumi yang akan datang (lagi)," tambah beliau tentang pemikiran yang menghantui mangsa-mangsa gempa dan tsunami di sana.

Beliau juga lega sekurang-kurangnya masih ada ibu bapa yang menetap di kawasan lain yang tidak terjejas di Sulawesi, membolehkan adik-adiknya untuk pulang ke kampung.

MAHU PULANG KE PALU HUJUNG TAHUN

Meskipun beliau pastinya mahu berada dekat dengan keluarga tercinta pada masa-masa sukar ini, beliau terpaksa terus berada di sini disebabkan pelbagai komitmen seperti kerja dan pelajaran. Ustaz Mas’udin sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Teknologi Malaysia dan berada di tahun akhir serta sedang menyelesaikan tesis.

Sekalipun demikian, beliau tidak putus harapan dan berusaha memberikan sokongan seberapa yang mampu walaupun dari jauh. Ini selain kerap menghubungi mereka menerusi kiriman mesej.

“Saya mengambil keputusan, baik saya dekat sini kumpulkan dana dengan teman-teman. Alhamdulillah kita ada kumpulkan dana dengan teman-teman di pejabat, untuk bantulah beban mereka. Nak baiki rumah, sebab rumahnya memang pecah, lantai-lantai pecah,” kata beliau.

(Gambar-gambar: Mas'udin Syarifuddin)

(Gambar: Mas'udin Syarifuddin)

Beliau merancang untuk pulang menjenguk keluarga pada hujung tahun ini, jika tiada aral melintang.

Setakat ini, angka rasmi kematian dilaporkan melepasi 1,600 orang. Kebanyakan mayat ditemui di bandar Palu sukar dikenal pasti. Harapan untuk menemui mangsa masih hidup juga dikatakan amat tipis.

Dalam pada itu, pelbagai usaha antarabangsa dipergiat untuk membantu. Ini termasuk dari Singapura, di mana kesemua 70 masjid sudah memulakan kutipan dana sejak 5 Oktober lalu bagi membantu pada mangsa gempa dan tsunami di Sulawesi, Indonesia. Usaha itu akan diteruskan sehingga Khamis (11 Okt). 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan