Daging kultur halal: Jawatankuasa Fatwa
Dalam ucaptamanya semasa Muktamar Fatwa, Mufti Negara berkongsi tentang perkembangan baharu berkaitan daging yang dihasilkan dalam makmal.
SINGAPURA: Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa halal untuk makan daging kultur yang dihasilkan menggunakan sel yang diambil daripada haiwan yang halal atau dibenarkan dalam Islam.
Perkara itu dikongsikan Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam ucaptamanya pada hari pertama Muktamar Fatwa 2024 pada Jumaat (2 Feb).
Menurut beliau, ini juga selagi ramuan akhir yang digunakan dalam hidangan tidak mengandungi komponen yang tidak halal.
"Saya bersyukur Jawatankuasa Fatwa sudah membuat keputusan tentang teknologi daging yang dihasilkan dalam makmal. Jawatankuasa itu mempertimbangkan secara berhati-hati bukan sahaja keperluan masa kini tapi juga masa depan.
Terdapat banyak perkara baharu untuk dipelajari daripada teknologi itu sendiri. Kami mengunjungi makmal-makmal di mana daging dihasilkan dalam bioreaktor," kata Dr Nazirudin.
Beliau menjelaskan ini bagi menangani cabaran berkaitan kemampanan dan alam sekitar.
Langkah itu dianggapnya sebagai berpandangan jauh.
"Daripada menunggu keadaan bertambah buruk atau terlalu parah apabila sudah terlalu lewat untuk ubah apa-apa, kajian fatwa boleh kaji pembangunan baharu yang boleh menyumbang kepada sekitaran yang lebih mampan dan selamat. Contohnya, sumber makanan alternatif. Ada yang anggap tak perlu bagi perkara tersebut buat masa ini. Kita boleh dan patut nikmati makanan 'asli' seperti daging asli. Mereka berhak untuk buat pilihan.
Namun apa pilihan yang institusi fatwa perlu ambil? Bagaimana kita tafsirkan tradisi kita bila teknologi-teknologi baharu ini belum wujud lagi pada ketika itu? Ini merupakan persoalan yang sukar dan rumit. Ini bukan sahaja memaksa pandangan lama pada isu baharu atau membiarkan perubahan atau teknologi baharu hanya kerana ada keperluan atau semasa waktu kecemasan," jelas beliau.
Kata Dr Nazirudin, ini bagi menerapkan keyakinan, daya tahan dan pemerkasaan pada pemikiran agama "untuk terus mencari huraian kreatif dengan menelaah prinsip-prinsip dinamik agama dan tradisinya".
Lebih banyak perincian mengenai fatwa berkaitan daging kultur itu akan dikongsikan pada hari kedua persidangan pada Sabtu (3 Feb).
GUNA AI PERKASA KAJIAN FATWA
Mufti Negara juga berkongsi tentang projek baharu oleh Makmal Fatwa yang menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Ia mengkaji bagaimana teknologi AI boleh digunakan untuk memperbaiki lagi kajian fatwa.
"AI boleh bantu kami mengenal pasti dimensi penting dan aspek-aspek kepada persoalan atau isu baharu yang kita ingin tangani," kongsi Dr Nazirudin.
Bagi tujuan itu, pasukannya di Pejabat Mufti juga sudah memulakan projek Google AI Trailblazer dengan sokongan Negara Bijak Singapura.
FATWA BERPERANAN BANGUNKAN MASYARAKAT DINAMIK
Dalam pelbagai ketidaktentuan geopolitik dan kemajuan pesat teknologi, Dr Nazirudin berpendapat bahawa fatwa boleh menjadi sumber kekuatan masyarakat.
Ini kerana ia ada peranan yang signifikan dalam membangunkan masyarakat yang dinamik, yakin dan berdaya tahan dalam kehidupan beragama.
Namun ia juga boleh menyebabkan kecelaruan, cepat berasa puas dan sikap pesimistik dalam kalangan masyarakat.
"Ini lebih genting lagi dalam konteks masyarakat Islam minoriti di mana keberadaan masyarakat kita selalu berdepan dengan persoalan atau cabaran rumit dan perlu memikirkan tentang penyesuaian sukar dalam kehidupan beragama kita.
Cabarannya lebih jelas kerana tidak banyak rujukan sejarah untuk kita harapkan. Banyak tulisan perundangan yang menjadi asas perundangan Islam, walaupun tidak secara eksklusif, dibangunkan dalam konteks majoriti," kata Dr Nazirudin.
SUMBANGAN PENTING MASYARAKAT ISLAM MINORITI
Di sini kata beliau, masyarakat Islam minoriti mempunyai peluang untuk menyumbang kepada masyarakat lebih luas.
"Dengan pandangan dan imaginasi yang tidak terbatas, masyarakat Islam minoriti boleh bekerjasama dengan masyarakat lain bagi manfaat masyarakat mereka. Keadaan-keadaan begini menjadikan situasi kumpulan minoriti unik tapi pada masa yang sama pengalaman kolektif dan kesedaran masyarakat Islam," jelasnya.
Dr Nazirudin juga berpendapat bahawa isu-isu yang dihadapi masyarakat Islam Singapura sepanjang lebih lima dekad mencabar dan menimbulkan persoalan-persoalan penting.
"Adakah identiti keagamaan, tugas dan tanggungjawab kita bercanggah dengan masyarakat moden dan berbilang agama? Setiap kali ada ciptaan teknologi dan bioperubatan, perubahan undang-undang atau sosial, atau pembangunan geopolitik luar, ada persoalan baharu atau cabaran kepada kepimpinan agama. Bolehkah Muslim menjadi sebahagian daripada pembangunan ini, bolehkah mereka mengakses teknologi, patutkah mereka bertindak seperti yang lain?" ujar Dr Nazirudin.
FATWA BAHARU SEBAGAI TANDA KELEMAHAN?
Beliau juga merakamkan penghargaannya kepada para mantan mufti yang sudah tangani pelbagai isu baharu sewaktu mereka menggalas peranan selaku mufti seperti pendermaan organ, wakaf dan prosedur perubatan.
Menurut Dr Nazirudin, mereka menumpukan kepada pemerkasaan dan pembaharuan pemikiran agama yang secara semula jadinya agak berbeza daripada pendirian lama yang sudah diterima umum.
"Ada yang salah anggap keputusan ini sebagai tanda kelemahan. Bagi mereka, agama digunakan sebagai alat untuk bangkang atau lawan kemodenan dan institusi moden. Jadi apabila penguasa agama membolehkan penyesuaian itu, ia dianggap sebagai tanda kelemahan. Apabila keputusan ini berdasarkan nilai-nilai seperti rahmah dan fleksibel, ia dilihat sebagai melanggar hukum Tuhan yang sepatutnya tegas dan tidak berubah," tegas Dr Nazirudin.
Baginya, pandangan sedemikian mengelirukan masyarakat dan syariah mempunyai prinsip untuk memelihara kehidupan dan kesejahteraan manusia.
"Ini lebih kritikal pada masa di mana banyak perubahan besar seperti pemanasan global dan penggunaan kecerdasan buatan," tambahnya.
Menggulung ucapannya, Dr Nazirudin mengingatkan bahawa fatwa bukan sahaja tentang perundangan dan keputusan dan institusinya bukan sekadar jawatankuasa perundangan.
Sebaliknya, ia memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan beragama dan keperibadian masyarakat Islam.
Beliau juga berharap Muktamar Fatwa 2024 boleh menyumbang kepada pembaharuan dalam cara masyarakat memikirkan tentang fatwa dan panduan agama.
Selain Dr Nazirudin, ulama-ulama ulung termasuk Mufti Besar Mesir, Dr Shawki Allam, Anggota Majlis Fatwa Amiriah Arab Bersatu, Dr Amany Lubis dan Setiausaha Agung Akademi Fiqih Islam Antarabangsa, Dr Koutob Sano turut membuat pembentangan dalam persidangan dua hari Muktamar Fatwa 2024.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.