Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Daging ayam dihasilkan makmal akan dijual di S'pura selepas dapat kelulusan

Daging ayam yang dihasilkan di makmal atau ayam kultur akan dijual di Singapura selepas syarikat pemula teknologi makanan Eat Just diberi kelulusan untuk melakukan demikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Daging ayam dihasilkan makmal akan dijual di S'pura selepas dapat kelulusan

(Gambar: Eat Just)

Diterbitkan : 02 Dec 2020 11:44AM Dikemas Kini : 02 Dec 2020 11:45AM

SINGAPURA: Daging ayam yang dihasilkan di makmal atau ayam kultur akan dijual di Singapura selepas syarikat pemula teknologi makanan Eat Just diberi kelulusan untuk melakukan demikian.

Mengumumkannya pada Rabu (2 Dis), Eat Just menyatakan ayam kulturnya diberi "kelulusan pengawalseliaan pertama di dunia" oleh pihak berkuasa Singapura. Ia akan digunakan sebagai bahan dalam produk "cemilan ayam" atau 'nugget' yang akan dilancarkan oleh syarikat itu pada satu tarikh kelak.

Ini juga mungkin kali pertama di dunia produk daging kultur dijual secara komersil, kata Agensi Makanan Singapura (SFA), yang mengumumkan pada Rabu garis panduan baru bagi memastikan keselamatan ciptaan makanan.

Daging kultur atau berasakan sel adalah daging yang dihasilkan dalam makmal menggunakan sel-sel haiwan.

Syarikat berpangkalan di San Francisco, Eat Just, yang terkenal dengan produk pengganti telur berasaskan tumbuh-tumbuhan, menyatakan tiada antibiotik digunakan dalam produknya.

Ia menambah bahawa ujian keselamatan mendapati bahawa ayam kulturnya mempunyai "kandungan mikrobiologi sangat rendah dan jauh lebih bersih" berbanding ayam biasa.

DIBUAT DI SINGAPURA

Ayam kultur itu dihasilkan di Pusat Inovasi dan Sumber Makanan, sebuah kemudahan kajian makanan yang dkendalikan bersama oleh Politeknik Singapura dan Enterprise Singapore.

"Singapura sudah lama merupakan peneraju pelbagai jenis inovasi, dari teknologi maklumat hingga biologi dan kini memimpin dunia dalam membangunkan sebuah sistem makanan yang lebih sihat dan selamat," kata Encik Josh Tetrick, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Eat Just ketika menjelaskan mengapa Singapura dipilih sebagai lokasi pertama untuk melancarkan produk ayamnya itu.

"Saya pasti kelulusan pengawalseliaan kami untuk daging kultur adalah yang pertama daripada banyak lagi seumpamanya di Singapura dan di seluruh dunia."

Encik Tetrick berkata syarikatnya merancang untuk menawarkan produknya di sebuah restoran dahulu sebelum mengedarkannya kepada pasaran am, sambil menambah bahawa harga yang ditetapkan akan serupa dengan apa yang dibayar oleh para pembeli "ayam bernilai tinggi" di restoran.

Kos ayam berasaskan sel tidak boleh didedahkan atas sebab hak milik intelek, katanya. Namun beliau menjangkakan ayam itu akan dijual pada harga lebih rendah berbanding ayam biasa "dalam tahun-tahun mendatang".

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan