Skip to main content

Singapura

Daftar Pengundi dikemas kini jelang GE2025; orang ramai boleh periksa dari 15 hingga 28 Feb

Daftar Pengundi sudah disemak dan dikemas kini dan akan dibuka kepada orang ramai untuk memeriksanya dari 15 hingga 28 Feb.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Feb 2025 02:14PM Dikemas Kini : 16 Feb 2025 11:25PM
SINGAPURA: Daftar Pengundi sudah disemak dan dikemas kini dan akan dibuka kepada orang ramai untuk memeriksanya dari 15 hingga 28 Feb.

Daftar Pengundi mengandungi nama semua pengundi yang layak setakat 1 Feb.

Rakyat Singapura boleh memeriksa butiran mereka dalam daftar tersebut melalui laman web Jabatan Pilihan Raya (ELD) atau di bawah "My Profile" pada aplikasi Singpass.

Mereka yang tidak dapat menyemak dan memeriksa butiran mereka secara online boleh berbuat demikian di mana-mana balai rakyat, kelab masyarakat atau Pusat ServiceSG, atau di Pejabat ELD dengan membuat e-janji temu melalui laman web ELD atau menghubungi talian 1800-225-5353.

“Rakyat Singapura di luar negara yang tidak boleh berbuat demikian secara online boleh menyemak butiran mereka di kedutaan luar negara Singapura yang berkhidmat sebagai pusat pendaftaran di luar negara,” menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Jumaat (14 Feb).

Sepanjang tempoh pemeriksaan, orang ramai boleh:
  • Mengemukakan permintaan untuk memasukkan nama (jika ia telah digugurkan) atau mengemas kini butiran-butiran (iaitu, nama dan alamat pada Kad Pengenalan, NRIC) jika butiran-butiran dalam daftar tersebut berbeza daripada NRICnya; dan
  • Mengemukakan permohonan untuk mengeluarkan nama daripada Daftar Pengundi di kawasan undi di mana individu itu berada.
Permintaan dan permohonan boleh dikemukakan secara online di bahagian Perkhidmatan Pengundi di laman web ELD, atau secara peribadi di Balai Rakyat/Kelab Masyarakat/Pusat ServiceSG, Pejabat ELD dan kedutaan luar negara Singapura yang berkhidmat sebagai pusat pendaftaran di luar negara.

Daftar pemohon yang mengandungi senarai permintaan dan permohonan kemudian akan disediakan untuk diperiksa dari 12 hingga 19 Mac di Balai Rakyat/Kelab Masyarakat/Pusat ServiceSG yang terletak di kawasan undi pemohon, Pejabat ELD dan kedutaan luar negara Singapura yang berfungsi sebagai pusat pendaftaran di luar negara.

Mereka yang namanya telah digugurkan daripada Daftar Pengundi kerana gagal mengundi pada pilihan raya yang lalu boleh memohon supaya nama mereka dimasukkan semula ke dalam daftar tersebut melalui Perkhidmatan Pengundi (https://www.eld.gov.sg/online.html) di laman web ELD, supaya mereka boleh mengundi pada pilihan raya akan datang.

Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025) mesti diadakan selewat-lewatnya pada November.
Sumber : CNA/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita