Daftar pengundi dibuka untuk pemeriksaan; hampir 2.6 juta rakyat Singapura layak mengundi
Daftar senarai pengundi rakyat negara ini sudah dikemas kini dan hampir 2.6 juta rakyat Singapura layak untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Isnin (15 Apr).
Gambar fail pejabat Jabatan Pilihan Raya. (Gambar: Xabryna Kek)
SINGAPURA: Daftar senarai pengundi rakyat negara ini sudah dikemas kini dan hampir 2.6 juta rakyat Singapura layak untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Isnin (15 Apr).
Terdapat sebanyak 2,594,740 rakyat Singapura di dalam daftar pengundi yang disahkan pada Isnin, kata ELD.
Warga Singapura boleh menyemak butiran peribadi mereka di dalam daftar itu melalui 4 saluran:
- Di laman Jabatan Pilihan Raya (ELD)
- Di balai rakyat/kelab masyarakat dengan kad pengenalan/pasport
- Di kedutaan Singapura di luar negara yang bertindak sebagai pusat pendaftaran
- Di Jabatan Pilihan Raya dengan kad pengenalan/pasport
Warga Singapura yang nama mereka sudah dikeluarkan dari daftar pengundi kerana tidak mengundi semasa pilihan raya sebelum ini boleh memohon untuk memasukkan semula nama mereka supaya mereka boleh mengundi dalam pilihan raya akan datang.
Mereka digalakkan supaya membuat permohononan awal kerana pendaftaran akan ditutup dari tarikh Writ Pilihan Raya dikeluarkan. Pemohonan bagi menyertakan semula nama dalam daftar pengundi pula dibuka semula selepas Hari Penamaan Calon jika tiada pertandingan atau selepas Hari Mengundi jika ada persaingan.
PENDAFTARAN BAGI WARGA SINGAPURA DI LUAR NEGARA
Warga Singapura yang menetap di luar negara perlu mendaftar semula sebagai pengundi setiap kali daftar pengundi disemak.
Hanya mereka yang namanya tersenarai dalam daftar pengundi dan menetap di Singapura selama sekurang-kurangnya 30 hari antara 1 Feb 2016 dengan 31 Jan 2019, boleh terus mendaftar sebagai pengundi di luar negara.
Pemohonan bagi pendaftaran sebagai pengundi luar negara akan ditutup sejurus Writ Pilihan Raya dikeluarkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.