Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Daftar nasional bagi karyawan senaman jasmani dilancar pada Apr

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebuah daftar bagi para karyawan senaman jasmani akan ditubuhkan dalam usaha untuk meningkatkan piawaian industri kecergasan.

Daftar Nasional Karyawan Senaman Jasmani (NREP) akan dilancarkan pada bulan depan untuk membantu "meningkatkan piawaian" sektor tersebut.

Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan, bagi Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Eric Chua pada Isnin (6 Mac).

Mulai April tahun depan, agensi-agensi pemerintah yang bekerjasama dengan "sekumpulan besar" karyawan senaman jasmani hanya akan mengambil mereka yang berdaftar untuk bekerja.

"Langkah ini akan memastikan tahap tertentu dan ketekalan kelayakan dalam kalangan karyawan senaman jasmani yang menjalankan program-program yang dikendalikan agensi-agensi pemerintah bagi orang awam," kata Encik Chua semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) kementeriannya.

Semua karyawan senaman jasmani amat digalakkan untuk mendaftarkan diri walaupun ia tidak diwajibkan, menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam kenyataan berasingan.

Orang ramai akan mempunyai akses kepada daftar tersebut supaya mereka dapat membuat "keputusan lebih berhemah" dan berasa "lebih terjamin" apabila bekerjasama dengan karyawan senaman jasmani yang bertauliah, jelas kementerian itu.

Mereka yang mendaftar antara April 2023 dengan Mac 2024 akan mendapat keahlian percuma dengan Persatuan Pengajar dan Jurulatih Kebangsaan pada tahun pertama.

Sebagai ahli persatuan itu, mereka akan menerima manfaat seperti sokongan pengantaraan bagi pertikaian di tempat kerja, pembiayaan bagi yuran kursus latihan penting serta rangkaian perniagaan dan sumber.

Untuk mendaftar di bawah NREP, para karyawan senaman jasmani perlu memiliki:

Pensijilan bantuan perubatan standard dengan defibrilator luaran automatik (AED) dan bantuan pernafasan (CPR)

Pengakuan kod etika

Pentauliahan kecergasan atau senaman jasmani yang berkaitan

Rangka kerja pentauliahan itu akan diperkukuh pada fasa seterusnya daftar tersebut, kata Encik Chua.

Butiran keperluan bagi pensijilan Sains Senaman Jasmani Asas dan rangka kerja pendidikan yang berterusan akan diumumkan SportSG dalam masa terdekat, tambahnya.

KAWASAN KALLANG ALIVE

Berucap di Parlimen pada awal hari ini, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Edwin Tong berkata kerja-kerja pembangunan di kawasan Kallang Alive "berjalan seperti yang dirancang", dengan Hab Bola Sepak Kallang dan Pusat Tenis Kallang yang dijangka siap dibina tahun ini.

Sebanyak tujuh gelanggang tertutup dan 12 gelanggang terbuka akan dibangunkan di Pusat Tenis Kallang.

Hab Bola Sepak Kallang pula akan menampung empat padang berbumbung dan tiga padang terbuka bagi sukan bola sepak serta futsal, menurut MCCY.

Encik Tong menambah bahawa persatuan-persatuan sukan nasional akan terus diberi keutamaan bagi tempahan Hab Sukan Singapura dan kemudahan-kemudahan ActiveSG untuk sesi latihan pasukan negara.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan