Daftar korban di 52 masjid bermula, sebahagian daging diagih di Gaza
Pendaftaran korban tahun ini dibuka dari 10 April hingga 31 Mei, dengan sebahagian daging yang disumbangkan akan diagihkan kepada rakyat Palestin di Gaza, menurut SalamSG Korban dalam kenyataannya pada Khamis (10 Apr).
Sebanyak 52 masjid akan menawarkan khidmat korban di luar negara sempena Hari Raya Aidiladha 1446H/2025, kata jawatankuasa kecil SalamSG Korban itu lagi.
Hari Raya Haji dijangka jatuh pada 7 Jun.
Seperti tahun lepas, tiga jenis haiwan korban ditawarkan - lembu, anak kambing dan kambing biri-biri untuk upacara korban.
Menurut kenyataan SalamSG, kambing korban akan disembelih di Australia dan dagingnya dibekukan sebelum diterbang dan diagih kepada mereka yang memilih melaksanakan ibadah tersebut (sohibul korban) serta para penerima lain.
Seekor kambing korban berharga S$360, anak biri-biri berharga S$365 dan satu per tujuh lembu berharga S$365. Seekor lembu penuh berharga S$2,555.
Enam masjid di Singapura telah dikenal pasti sebagai lokasi untuk menjalankan ibadah korban di sini. Maklumat lanjut akan diumumkan oleh vendor korban yang diluluskan.
Bagi tahun ini, sebahagian daripada daging korban yang didermakan akan diproses, ditinkan dan diedarkan kepada rakyat Palestin di Gaza yang menghadapi krisis kemanusiaan.
Jawatankuasa kecil tersebut mengatakan ia telah bekerjasama dengan vendor berpengalaman yang mempunyai hubungan kukuh dengan organisasi kemanusiaan di Jordan untuk memudahkan penghantaran daging dalam tin yang selamat ke Gaza.
Sementara itu, daging yang akan dihantar ke Singapura akan diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik dalam masyarakat, termasuk penerima zakat, keluarga individu yang dipenjarakan dan pekerja migran sementara.
"Usaha pengagihan ini mencerminkan komitmen SalamSG untuk memupuk rasa syukur dan kemurahan hati, sambil memastikan ibadah Korban memperkaya kehidupan umat Islam di Singapura dan di seluruh dunia di kawasan konflik."
Mereka yang ingin mengambil bahagian dalam ibadah korban tahun ini boleh mendaftar secara online di www.ourmasjid.sg/korban atau pergi ke mana-mana masjid yang turut serta untuk membuat tempahan mereka.
Mereka yang telah menempah dan membayar bagi kambing korban mereka akan menerima daging yang beku dan dibungkus bermula 11 Jun.
SalamSG Korban merupakan jawatankuasa kecil di bawah Gerakan SalamSG yang dimulakan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada April 2022.
Menurutnya, ia telah memastikan semua pengendali luar negara yang dilantik turut serta dalam ibadah tahun ini mematuhi keperluan keselamatan makanan Agensi Makanan Singapura (SFA) bagi mengimport, menyimpan, dan mengagih produk daging.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.