Skip to main content

Singapura

Daftar baharu SkillsFuture bakal pertingkat mutu pendidik melalui latihan berkala mulai April 2026

SkillsFuture Singapore (SSG) berhasrat untuk meningkatkan mutu pendidik menerusi satu daftar nasional baharu.

Anggaran Waktu Membaca:
Daftar baharu SkillsFuture bakal pertingkat mutu pendidik melalui latihan berkala mulai April 2026

Menteri Pendidikan, Desmond Lee, berkata pemerintah komited untuk bekerjasama dengan rakyat Singapura, pihak industri dan penyedia latihan bagi memastikan para pekerja kekal relevan, semasa merasmikan Festival SkillsFuture pada 7 Julai 2025. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 09 Jul 2025 12:56PM
SINGAPURA: SkillsFuture Singapore (SSG) berhasrat untuk meningkatkan mutu pendidik menerusi satu daftar nasional baharu.

Lembaga berkanun pembelajaran hayat itu menyatakan usaha tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif yang digelar Laluan Profesional Latihan dan Pendidik Dewasa (TAEPP).

Inisiatif tersebut dibangunkan oleh Institut bagi Pembelajaran Dewasa (IAL) dengan sokongan SSG, yang bertujuan mempertingkat profesionalisme dalam sektor latihan dan pendidikan dewasa.

Mulai 1 April tahun depan, pendidik yang menyampaikan latihan yang disokong SSG perlu disenaraikan di dalam daftar baharu tersebut.

Proses pendaftaran akan bermula pada suku keempat tahun ini.

TAEPP bertujuan untuk memastikan individu dalam daftar tersebut terus meningkatkan kemahiran dan memperbaiki kandungan pembelajaran agar ia kekal relevan.

MELATIH PENDIDIK

Menurut SSG, inisiatif itu menyasarkan peningkatan kemahiran bagi sekitar 11,000 pendidik dewasa.

Ia juga membolehkan majikan dari pelbagai sektor untuk memanfaatkan ekosistem latihan yang lebih kukuh untuk memberi manfaat kepada pekerja.

“(Pendidik dewasa) adalah tunjang utama dalam membolehkan industri kita berubah ... Pelajar mereka adalah pelajar dewasa. Pelajar dewasa merupakan individu yang sedang bekerja dalam industri, dengan segala perubahan yang berlaku begitu pantas,” kata Dr Samson Tan, pengarah pembelajaran dan pembangunan profesional di IAL.

"Seorang pendidik dewasa yang cekap, mengikuti perkembangan semasa dengan kemahiran yang betul untuk menyampaikan dan membolehkan mereka cemerlang di tempat kerja adalah penting dan mustahak."

Dr Tan turut memaklumkan Mediacorp bahawa TAEPP akan mengubah tumpuan daripada pensijilan sekali sahaja untuk pendidik kepada pembangunan profesional secara berterusan.

TAEPP juga akan merekrut pengamal industri untuk berkhidmat sebagai pendidik berdaftar.

Sebagai permulaan, ia sedang mengenal pasti pakar yang sesuai dalam sektor penjagaan kesihatan dan undang-undang.

Untuk kekal dalam daftar SSG, seseorang pendidik itu perlu memperbaharui status mereka setiap dua tahun dengan melengkapkan sekurang-kurangnya 40 jam pembangunan profesional berterusan dan mengajar selama 80 jam.

Penolong ketua eksekutif dan ketua pegawai kemahiran sektor NTUC LearningHub, Encik Tay Ee Learn, berkata bahawa laluan itu membolehkan penyedia latihan untuk mendapatkan akses kepada tenaga pelajar yang lebih luas dan mampan.

“(Ia boleh) membantu kami meningkatkan jumlah latihan untuk memenuhi permintaan (semasa dan masa hadapan),” tambahnya.

Encik Tay turut berkata bahawa NTUC LearningHub menawarkan platform-platform online bagi menjadikan latihan dan peningkatan kemahiran lebih mudah diakses oleh pendidik dalam memenuhi keperluan tempoh amali yang ditetapkan.

TANDA KREDIBILITI

Cik Clare Poon, yang mengendalikan kelas mingguan untuk pelajar yang ingin menjadi jurulatih, merupakan antara individu yang menyambut baik inisiatif tersebut.

Menurut beliau, dengan dimasukkan ke dalam daftar baharu itu, kredibilitinya sebagai pendidik dewasa akan meningkat dan ini boleh membantunya mendapatkan lebih ramai pelanggan.

“Kerja kami agak kompetitif, jadi pengiktirafan seperti ini boleh menjadi kelebihan tambahan apabila kami mencari peluang latihan atau pelibatan dalam projek,” katanya.

“Ia juga menjadi peringatan untuk kami mengikuti pembangunan profesional kami sendiri.

Cik Poon menggunakan gabungan pelbagai bentuk pembelajaran – online, kelas fizikal dan pembelajaran di tempat kerja – untuk mengajar pelajarnya bagaimana orang dewasa belajar serta bagaimana kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan dalam pembelajaran.

Beliau turut menyatakan bahawa jurulatih seperti dirinya memainkan peranan dalam mewujudkan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan ruang bagi pelajar untuk berbincang, mengambil bahagian serta melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran.

MELABUR DALAM TENAGA KERJA

Menteri Pendidikan Desmond Lee menyatakan bahawa usaha sedemikian memainkan peranan penting dalam mempersiapkan tenaga kerja untuk menghadapi cabaran yang akan datang.

“Ketegangan perdagangan global dan penghakisan norma antarabangsa mewujudkan banyak ketidaktentuan dalam ekonomi (dan) pekerjaan.

"Keadaan ini boleh menggugat keyakinan perniagaan yang mendapatinya mencabar untuk merancang ke hadapan,” kata Encik Lee semasa merasmikan Festival SkillsFuture pada Isnin (7 Jul).

Tambah beliau, dengan teknologi yang terus berkembang, pekerjaan dan mata pencarian mungkin berubah atau terjejas.

Justeru itu, katanya, pemerintah komited untuk bekerjasama dengan rakyat Singapura, industri dan penyedia latihan bagi memastikan pekerja kekal relevan.

“Kita mesti melabur dengan lebih banyak lagi dalam rakyat kita, memastikan rakyat Singapura mampu menyesuaikan diri dengan perubahan, mengekalkan kelebihan daya saing kita dan terus menjadi rakan kongsi yang bernilai kepada seluruh dunia,” tambahnya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita