Daftar 2.65 juta pengundi disahkan; kini dibuka kepada orang ramai untuk diperiksa
Daftar pengundi disahkan pada Rabu (15 Apr) dan kini dibuka kepada orang ramai untuk diperiksa. Secara keseluruhannya, terdapat 2,653,942 pengundi dalam daftar tersebut, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam kenyataan medianya.
SINGAPURA: Daftar pengundi disahkan pada Rabu (15 Apr) dan kini dibuka kepada orang ramai untuk diperiksa.
Secara keseluruhannya, terdapat 2,653,942 pengundi dalam daftar tersebut, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam kenyataan medianya.
Kali terakhir Pilihan Raya Umum diadakan di Singapura pada 2015, terdapat 2,460,484 pengundi dalam daftar tersebut.
Rakyat Singapura boleh memeriksa butiran peribadi mereka dalam daftar tersebut secara elektronik melalui Khidmat Pengundi di laman web ELD atau melalui "Profile" di dalam "Registers of Electors" bagi aplikasi SingPass Mobile.
Bagi rakyat Singapura yang nama mereka digugurkan daripada daftar tersebut kerana gagal mengundi pada pilihan raya lalu, mereka masih boleh memohon agar nama mereka dimasukkan semula ke dalam daftar berkenaan melalui Khidmat Pengundi di laman web ELD. Ini bagi membolehkan mereka untuk mengundi dalam pilihan raya seterusnya.
"Mereka digalakkan supaya membuat permohonan seawal mungkin, kerana mengikut undang-undang, kami tidak akan dapat menyenaraikan semula nama mereka sepanjang tempoh dari tarikh Writ Pilihan Raya dikeluarkan sehingga selepas Hari Penamaan Calon jika pilihan raya tidak dipertandingkan, atau selepas Hari Mengundi sekiranya pilihan raya diadakan,” menurut ELD.
Rakyat Singapura di luar negara yang menetap di Singapura bagi sekurang-kurangnya 30 hari dalam tempoh tiga tahun antara 1 Mac 2017 hingga 29 Februari 2020 juga boleh memohon untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi luar negara untuk mengundi di salah satu pusat mengundi di luar negara yang ditetapkan.
Rakyat Singapura di luar negara yang layak mengundi digalakkan supaya mendaftar atau mendaftar semula secepat mungkin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.