Daerah Digital Punggol boleh jadi model bagi hartanah kegunaan campuran masa depan, menurut JTC
SINGAPURA: JTC menyatakan, Daerah Digital Punggol yang baharu boleh menjadi model bagi hartanah-hartanah kegunaan campuran pada masa depan.
Daerah seluas 50 hektar atau seluas 70 padang bola sepak itu dijangka dibuka secara berperingkat-peringkat bermula tahun ini.
Fasa pertama Daerah Digital Punggol itu meliputi kawasan seluas 21 hektar.
Daerah tersebut bakal menempatkan syarikat-syarikat keselamatan siber, robotik kecerdasan buatan (AI) serta teknologi kewangan (FinTech), yang boleh membantu merancakkan ekonomi digital negara.
Sebahagian daripada daerah itu akan dikhaskan buat institusi-institusi pendidikan.
Institut Teknologi Singapura (SIT) misalnya yang akan membina sebuah kampus di situ.
Ruang-ruang juga akan diperuntukkan bagi pengendali runcit.
Bagi bahagian bawah tanah daerah tersebut, kemudahan pengangkutan awam akan diwujudkan, termasuk pusat pertukaran bas dan stesen MRT.
Di bawahnya, akan disediakan kawasan tempat letak kereta yang dikongsi, dengan hampir 100 lot pengecas kenderaan elektrik.
Sistem pusat pengumpulan sampah juga akan diwujudkan menerusi kaedah pengangkutan sampah.
Penggunaan lori sampah yang dikurangkan sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Turut ditempatkan bawah tanah adalah sistem penyejuk bagi seluruh daerah.
Dengan jalan keluar masuk serta jalan susur juga terletak di bawah tanah, ia memberikan lebih banyak ruang di permukaan buat kegunaan para pejalan kaki dan penunggang basikal.
Ini juga bermakna akan ada lebih banyak ruang masyarakat dan ruang bermain, seperti penghubung taman untuk ke Taman Waterway Punggol yang berhampiran.
Ruang-ruang atas permukaan juga dimanfaatkan sepenuhnya dengan sebilangan bangunan di situ dihubungkan melalui jambatan.
Misalnya, menghubungkan sekolah kepada bangunan-bangunan perindustrian.
Daerah Digital Punggol juga akan memanfaatkan tenaga yang boleh diperbaharui, menerusi panel-panel suria yang akan dipasang di bumbung.
Pada masa hadapan pula, ia juga akan mempunyai ladang-ladang di bumbung bangunan.
Menggunakan huraian-huraian bijak dan hijau akan membolehkan bandar dan kawasan kejiranan berfungsi dengan lebih cekap lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.