Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dadah bernilai S$182,000 dirampas; lelaki disyaki edar dadah diberkas

Anggaran Waktu Membaca:
Dadah bernilai S$182,000 dirampas; lelaki disyaki edar dadah diberkas

Dadah yang dirampas pada 21 Feb 2023. (Gambar: CNB)

Diterbitkan : 23 Feb 2023 10:50AM Dikemas Kini : 23 Feb 2023 10:57AM
SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Singapura berusia 32 tahun ditangkap pada tengah hari Selasa (21 Feb) atas kesalahan-kesalahan disyaki mengedar dadah, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB).

Dalam kenyataan medianya pada Khamis (23 Feb), CNB menyatakan hampir 5 kilogram (kg) dadah, yang dianggarkan bernilai S$182,000, dirampas semasa operasi tersebut.

Ini termasuk sekitar 2.123kg ganja, 967 gram (g) heroin, 131g Ice, 123g ketamin, 263g pil Ecstasy dan 1.325kg bahan-bahan serbuk yang dipercayai mengandungi dadah terkawal.

Jumlah ganja dan heroin yang dirampas itu masing-masing cukup untuk melepaskan ketagihan sekitar 300 dan 460 penyalahguna dadah selama seminggu, menurut CNB.

CNB menyatakan lelaki itu ditahan dalam sebuah kereta mewah di kawasan Bukit Timah Road di mana dia diberkas. Para pegawai kemudian menggiringnya ke rumahnya di sekitar Punggol Field, di mana dadah itu ditemui dan dirampas.
(Gambar: CNB)
Superintenden William Tan, penolong pengarah kanan operasi risikan CNB berkata: "Meskipun mereka mengetahui bahaya dadah, para pengedar dadah terus menjual dadah dan meraih keuntungan dengan menjejas kehidupan ramai orang.

"Bagi mencegah dan menghentikan pengedaran dadah dalam masyarakat, CNB mengambil pendekatan pencegahan menyeluruh termasuk undang-undang dan penguatkuasaan ketat bagi memberikan isyarat jelas pencegahan terhadap kegiatan haram dadah."

Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, ia adalah satu kesalahan bagi sesiapa untuk mengedar atau menawarkan diri untuk mengedar dadah terkawal.

Jika didapati bersalah kerana mengedar lebih 500g ganja atau 15g heroin, pesalah itu boleh berdepan dengan hukuman mati.
Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan