‘Cycle For Hope’ buka peluang cungkil bakat muda sertai sukan lumba basikal BMX

(Gambar: Danish Aiman)
SINGAPURA: Sekitar 70 peratus daripada hasil kutipan dana ‘Cycle For Hope 2022’ akan didermakan kepada Persatuan Barah Singapura (SCS) manakala bakinya akan disalurkan kepada Akademi Kanak-Kanak Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF).
Menyusuli kejayaan Cycle For Hope 2022 yang dilancarkan tahun lalu, kempen kutipan dana tahun ini dirasmikan oleh Setiausaha Parlimen Kanan Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan, Encik Baey Yam Keng pada Sabtu (17 Jun).
“Kami melancarkan Cycle For Hope tahun lalu dan sangat berbesar hati dengan hasil yang memberangsangkan. Banyak dana berjaya dikumpul untuk menjalankan kerja-kerja amal, sama ada untuk pesakit barah, pelumba muda kita atau untuk membiayai keperluan SCF,” kata Encik Baey.
Sasaran kempen tahun ini adalah untuk mengumpul S$300,000, melebihi jumlah dana yang berjaya dikumpul pada tahun lalu.
Kempen tahun ini juga akan menyokong lebih ramai pelumba muda BMX.

“SCF juga menyokong bakat-bakat baru dalam sukan berbasikal; ini semua adalah usaha berterusan dan saya amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada usaha ini,” dedah Encik Baey kepada BERITAmediacorp.
Bagi jurulatih pasukan negara, Encik Junaidi Hashim, 41 tahun, beliau turut berbesar hati dengan perkembangan ini.
Dalam perlumbaan yang dianjurkan oleh SCF pada April lalu, acara yang diberi nama ‘Gen Z Alpha Series 2’ menyaksikan lebih 100 peserta bawah usia 12 tahun mengambil bahagian.
Ini adalah satu tanda yang positif bagi sukan lumba basikal, tegas Junaidi.
“Acara ini adalah suatu interpretasi yang baik untuk kita melihat ramai kanak-kanak terlibat dalam kegiatan berbasikal dan dengan adanya program atau akademi yang kita akan jalankan, sudah pasti ia akan menarik lebih ramai orang,” kata Junaidi.
Sungguhpun demikian, minat tidak boleh berkembang tanpa tempat yang sesuai untuk berlatih.
Tapak latihan di Tampines misalnya sudah diubah suai untuk memberi laluan kepada projek perumahan pada 2014 sebelum SCF memutuskan untuk mengendalikan akademinya dan program pembangunan di Turf City dari 2018 hingga 2022.
Tempat latihan bukanlah satu-satunya cabaran yang perlu dihadapi oleh Tara Alayna Weilin, 15 tahun, yang merupakan salah seorang pelumba remaja BMX dalam Akademi Kanak-Kanak SCF.

“Kami pernah pergi ke litar perlumbaan di Johor tetapi ia mengambil masa untuk ke sana, jadi sebagai seorang atlit remaja, ia kurang baik buat kami kerana kami perlu mengimbangi pelajaran dan latihan. Maka itu, sukar untuk kami berlatih di Johor," luah Tara.
“Banyak kemahiran kami khusus kepada BMX jadi tanpa litar perlumbaan, maka sangat sukar untuk mempertingkatkan kemahiran, membina asas itu,” kata Tara.
Pandangan Tara turut disokong oleh Junaidi:
“Penting untuk kami mempunyai tempat yang sesuai untuk mereka berlatih kerana jika kita mempunyai jumlah pelumba yang diinginkan, tetapi terbatas untuk berlatih, itu juga akan menimbulkan masalah. Kami mahu mereka mempunyai minat dan meneruskannya,” kata Junaidi.
Melalui kempen ‘Cycle For Hope’, atlit muda seperti Tara berharap ia akan dapat memikat lebih ramai kanak-kanak dan remaja untuk menceburi kegiatan berbasikal dan sukan lumba basikal.
“Saya sangat teruja dan semoga melalui kutipan dana ini, kita boleh mewujudkan lebih banyak peluang untuk generasi muda seperti saya dan menggalak lebih ramai kanak-kanak untuk menyertai BMX sebagai satu sukan dan saya berharap ia akan menjadi asas kepada mereka yang mahu berlatih dengan gigih seperti kami,” kata Tara.

Menurut Tara, manfaat daripada kempen mengumpul dana bagi Cycle For Hope bukan hanya diraih oleh atlit muda sepertinya, tapi ia juga akan membuka mata orang ramai kepada kegiatan berbasikal dan sukan lumba basikal.
“Saya rasa dengan adanya litar perlumbaan ini, ia akan membolehkan lebih ramai kanak-kanak untuk melihat sukan lumba basikal sebagai sesuatu yang lebih daripada setakat sukan. Malah mereka boleh menceburinya secara serius dan mudah-mudahan menjadikannya sebagai satu laluan kerjaya. Semoga ini juga akan mengubah pandangan mereka terhadap sukan lumba basikal,” tambah Tara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.